‘Baik’ ialah sesuatu yang tidak berlawanan dengan perasaan semulajadi manusia. Jika ‘baik’ itu disifatkan kepada benda, bermakna benda itu boleh digunakan dan boleh mendatangkan manfaat; jika baik itu disifatkan kepada makanan, bermakna makanan itu masih boleh dimakan dan tidak memudaratkan. 

Jika baik itu disifatkan kepada manusia, bermakna sikap dan perilaku seseorang itu tidak menyinggung atau menyakiti hati orang disekelilingnya. Dalam perkahwinan pula, yang dikatakan suami yang baik itu bagaimana?

Suami yang baik menurut Al-Quran

dan bergaullah dengan mereka (wanita /isteri) dengan cara yang makruf”

Surah an-Nisaa’ ayat 19, Allah s.w.t memerintah

Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik (hubungannya) dengan ahli keluarganya, dan aku adalah yang paling baik di antara kamu kepada keluargaku”

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah (1977) pula, Rasulallah (s.a.w) bersabda

Jika dilihat secara umumnya berdasarkan makna ‘baik’ yang dinyatakan tadi, suami yang baik adalah suami yang sikap dan perilakunya tidak menyinggung atau menyakiti hati isteri; dan juga melindungi atau menghindarkan isteri dari sakit hati akibat sikap atau perbuatan orang lain. 

Ini bermakna, suami yang baik perlu tahu apakah perkara yang boleh menyinggung dan menyakiti hati isterinya walaupun si isteri tidak menzahirkan perasaannya yang tersinggung itu. 

Siapakah gerangan suami yang sempurna?

Antara perkara yang boleh menyebabkan isteri berasa hati ialah berkenaan usaha dan sikap si suami dalam menyempurnakan tanggungjawab sebagai seorang suami. Suami yang tidak menyempurnakan tanggungjawab nafkah zahir dan batin malahan tidak berusaha untuk menunaikannya tentulah telah mengguris perasaan isterinya.

Untuk para suami pula, percayalah, seringkali usaha itu lebih tinggi nilainya di mata si isteri dari hasil yang diharapkan. Suami yang baik juga perlu menjaga isterinya dari tersakiti oleh orang lain atau akibat sikap dan perbuatan si isteri itu sendiri.

Contohnya, menasihati isteri agar menghindari kelompok kawan yang suka mengumpat; atau menasihati si isteri dalam perihal penggunaan atau pengambilan ‘food suplement’yang mungkin boleh memudaratkan kesihatan si isteri.

Baca mengenai ciri – ciri lelaki yang kaum wanita cari untuk dijadikan suami. 

Figura suami dalam masyarakat Melayu

Suami memainkan peranan penting dalam membentuk rumahtangga atau institusi keluarga yang aman dan bahagia. Dalam masyarakat Melayu, orang lelaki dalam suatu rumahtangga itu mempunyai ‘kuasa’ untuk membuat sebarang keputusan, namun seperti kata Benjamin Parker dalam filem Spider Man, “With great power comes a great responsibility”, yang bermaksud setiap kuasa itu datang bersama suatu tanggungjawab.

Al-Quran menetapkan,  “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka…” (surah an-Nisaa’, ayat 34); oleh yang demikian, suamilah yang perlu menjadi nakhoda yang baik dalam melayari kehidupan berumahtangga.

Bila bercakap mengenai masyarakat Melayu, baca mengenai perkara yang kita praktiskan dalam budaya kita tetapi bukanlah sebahagian daripada agama Islam disini.  

Empat cara untuk menjadi suami yang baik

Bagi tujuan tersebut, berusahalah untuk mensejahterakan empat perkara berikut:

Sikap dan perilaku

Antara cara untuk menjadi suami yang baik adalah dengan peka sikap dan perilaku isteri dan berusaha agar si isteri mencapai kesejahteraan sikap dan perilaku. 

Sikap dan perilaku isteri boleh memudaratkan dirinya sendiri, contohnya, isteri yang berkerjaya namun boros dalam perbelanjaan. Suami yang baik seharusnya menasihati isteri dengan penuh hemah dan diplomasi yang tidak menyinggung perasaan isteri, dan seharusnya suami itu sendiri seorang yang tidak boros. 

Ada juga isteri yang banyak meluangkan masa lapangnya dengan telefon bimbit. Suami yang baik akan mencari jalan untuk mengalihkan perhatian isterinya kepada aktiviti yang lebih baik seperti ‘jogging’ bersama isteri di taman. 

Suami yang ingin menambah baik sikap isteri ini seharusnya terlebih dahulu mempraktikkan sikap yang baik itu tadi – practice what you preach.

Baca artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai cara untuk meningkatkan aura maskulin dalam diri anda. 

Kerohanian

Suami yang baik juga perlu memastikan seberapa boleh kesejahteraan kerohanian si isteri. Kesejahteran kerohanian ini berkait terus dengan perihal hubungan manusia dengan penciptanya. 

Kaum wanita, apabila sudah datang bulan memang kita semua tahu mereka tidak akan dapat untuk mendekatkan diri (beribadah) kepada Penciptanya sekerap kaum lelaki. Ada banyak larangan dan halangan yang ditetapkan oleh agama terhadap kaum wanita dalam perkara ini – larangan solat, berpuasa, tawaf dan memasuki masjid ketika haid. 

Berdasarkan larangan ini jugalah ada hadis Rasulallah (s.a.w) Riwayat Bukhari yang menyebut ‘wanita itu kurang agamanya’. Ini bukanlah bermaksud merendahkan keimanan seorang wanita tetapi hakikatnya mereka tidak dapat beribadat terus menerus seperti orang lelaki dek fitrah badannya. 

Bagi suami yang mendengar khutbah Jumaat setiap minggu, dan tiada larangan untuk menghadiri majlis ilmu di masjid atau surau setiap hari, seharusnya mempunyai ilmu agama yang lebih mendalam dari isteri dan dengan demikian seharusnya juga si suami mendidik dan membimbing isteri dalam perihal kerohanian. 

Bukan sahaja mendidik, tetapi kita juga seeloknya dan sepatutnya mempraktikkan bersama sama supaya ia menjadi rutin yang tersingkap dalam kehidupan seharian. 

Suami yang terlihat keta’atannya kepada Allah tentu membuatkan isterinya berasa tenang; isteri merasakan selamat kerana suaminya sentiasa mendoakan kebaikan untuknya. 

Emosi

Menurut sains, emosi seseorang banyak dipengaruhi oleh hormone. Di dalam otak manusia itu ada satu bahagian yang dipanggil hypothalamus yang memandu emosi dan arah pemanduan emosi itu pula banyak dipengaruhi oleh hormone.

Untuk menjadi suami yang baik, seseorang itu perlu memahami bahawa emosi seorang wanita sangat rapuh dan mudah berubah – ini bukan suatu kekurangan atau kelemahan, tetapi sesuatu pengimbang kepada sikap egois kaum Adam. 

Seringkali apabila si isteri bercerita kepada suaminya, ianya bertujuan sebagai luahan perasaan; dia bercerita tentang aktivitinya di pejabat dalam keadaan ceria merupakan ekspresi keceriaannya, isi kandungan ceritanya mungkin tiada kaitan dengan ‘mood’nya – dengarkanlah sambil tersenyum sebagai tanda anda (suami) juga berkongsi keceriaan tersebut dan jika sebaliknya dia bersedih, tunjukkanlah kesedihannya itu turut membuat anda (suami) bersedih. 

Hadis Shahih Bukhari (No. 5189) meriwayatkan bahawa baginda Rasulallah (s.a.w) mendengarkan Sadatina Aishah (r.a) bercerita panjang tentang perbualannya dengan 11 orang wanita; wanita-wanita ini bercerita tentang suami masing-masing. Wanita ke-11 bercerita panjang dan memuji suaminya yang bernama Abu Zar’in. 

Setelah selesai Sadatina Aishah bercerita kepada Rasulallah (s.a.w), baginda pun berkata, “Aku terhadapmu adalah seperti Abu Zar’in”. Begitulah Rasulallah (s.a.w) menjadi seorang pendengar yang setia sehinggakan baginda faham dan ingat nama yang disebutkan oleh isterinya dan mengambil peluang untuk berkata-kata manis dan romantis. Mungkin sesuatu perkara itu kelihatan remeh pada si suami, tetapi impaknya besar pada isteri.

Ada diantara kita diciptakan dengan rasa disayangi melalui kata-kata, dan jika pasangan anda begitu, maka baca artikel ini untuk merujuk contoh ayat-ayat cinta buat pasangan anda. 

Fizikal

Suami yang baik akan sentiasa memelihara dirinya dari menyakiti isteri dari segi emosi mahupun fizikal. Jangan sekali-kali sakiti isteri – sekiranya berlaku pertengkaran yang teruk, segeralah tinggalkan keadaan itu dan pergi ke tempat lain dan katakan kepada isteri yang anda (suami) beredar kerana bimbang kata-kata anda atau perbuatan anda boleh menyakitkan isteri. 

Wanita juga sangat sensitif dengan kecantikannya dan jangan sebut tentang kekurangannya walaupun bertujuan bergurau. Sebaliknya kaitkan perkara itu dengan keprihatinan anda (suami) terhadap kesihatan isteri. 

Contohnya, sekiranya si suami perlu katakan sesuatu tentang pertambahan berat badan si isteri, gunakanlah ayat, “Janganlah makan banyak makanan manis ni, saya bimbang kalau awak sakit siapa nak jaga saya dan anak-anak”.

Belaian dan sentuhan fizikal (yang bukan istimta’) juga menyemarakkan perasaan kasih sayang antara suami isteri – pegang tangan isteri bila berjalan; hulurkan tangan anda bila isteri hendak bangun (berdiri), ini juga simbolik kepada prinsip ‘suami itu tempat untuk isteri berpaut’. Rasulallah (s.a.w) itu seorang suami yang mengucup isterinya walaupun Baginda sedang berpuasa (berdasarkan hadis dari Ummu Salamah, Riwayat Bukhari dan Muslim); dan baginda meletakkan kepalanya di ribaan isterinya yang sedang datang haidh (berdasarkan hadis sunan Ibnu Majah, 626).

Sentiasalah tanamkan niat dan hasrat untuk menjadi insan yang baik, dan menjadi suami yang baik; berusaha dan berdoalah ke arah itu.

Open chat
Masih bergaduh? atau menuju penceraian?
MySakinah
Assalamua'laikum 👋
Perkahwinan masih dalam fasa dingin/bergaduh atau dah menuju perceraian? Sebab kami ada program berbeza mengikut situasi anda. Kami sedia membantu. Chat dengan kami segera.