Apa Itu Daya Tarikan?
Daya tarikan dalam perkahwinan boleh didefinisikan sebagai elemen magnetik. Seperti magnet, ia ibarat ‘kuasa’ yang mampu menarik dan menyatukan dua jiwa manusia menjadi satu bagi membentuk kesepakatan dalam menjalani kehidupan berumah tangga.
Secara umumnya, daya tarikan yang dimaksudkan adalah sesuatu yang membuatkan anda menjadi individu yang menarik dan juga sekaligus membuatkan pasangan anda tertarik. Ia juga merujuk kepada aura anda dan bagaimana anda melihat satu sama lain sebagai wanita dan lelaki.
Namun begitu, daya tarik suami isteri tidak hanya terhad kepada tarikan fizikal atau seksual semata-mata tetapi turut merangkumi gabungan semua aspek kehidupan termasuklah daripada segi emosi dan juga mental.
Daya tarikan juga akan dapat dirasai apabila anda menjadi versi diri anda yang paling selesa apabila bersama dengan pasangan anda. Ia menjadi antara elemen terpenting yang mampu mengekalkan kesejahteraan hubungan suami dan isteri sepanjang perkahwinan.
Mengapa Kita Perlukan Daya Tarikan Dalam Hubungan Suami Dan Isteri?
Allah SWT menciptakan lelaki dan wanita secara berpasangan untuk saling melengkapi di antara satu sama lain. Hubungan di antara lelaki dan wanita ini disucikan melalui ikatan perkahwinan. Dan, perkahwinan pula adalah merupakan amanah dari Allah S.W.T yang wajib dijaga sebaiknya.
Sifat Qawwam & Perintah Allah
Suami mempunyai tanggungjawab dan peranan tersendiri dalam rumah tangga, begitu juga sebaliknya. Seorang suami harus bersifat qawwam, menjadi pelindungi dan pemimpin kepada isteri dan keluarganya. Ini adalah berdasarkan firman Allah dalam surah An-Nisa, ayat 34 yang bermaksud:
“Golongan lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap golongan perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan- perempuan soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.”
Qawwam berasal daripada perkataan qaim yang bermaksud bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela.
Seseorang yang qawwam adalah orang yang memiliki sifat qaim secara berterusan, iaitu berterusan mengambil berat, bertanggungjawab, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela golongan wanita.
Menjadi Daya Tarikan
Sifat qawwam yang terdapat dalam diri seorang lelaki adalah merupakan daya tarikan utama kepada wanita. Hal ini kerana, secara fitrahnya wanita ingin dilindungi, didengari dan disayangi.
Memberi Kepercayaan
Sekiranya, suami berjaya mewujudkan ruang selamat untuk isteri merasa dilindungi, didengari dan disayangi, maka daripada situlah akan wujudnya kepercayaan dalam hubungan suami dan isteri.
Manakala, kepercayaan adalah antara tonggak utama dalam membina hubungan suami dan isteri yang harmoni dan sejahtera. Hakikatnya, mana-mana hubungan tidak akan dapat bertahan lama tanpa wujudnya kepercayaan.
Dengan adanya kepercayaan, mana-mana pasangan akan merasa selamat dari segi emosi dan juga untuk memberi komitmen. Ia membuka jalan untuk kedua-dua pasangan supaya dapat berhubung dan mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam, serta memberi motivasi untuk menghadapi waktu sukar bersama-sama.
Ketika dugaan dan konflik datang bertamu, pasangan yang sudi memberi kepercayaan di antara satu sama lain sudah pasti akan sudi memberi peluang kemaafan juga. Kemaafan adalah hasil kepercayaan yang dibina berdasarkan sifat qawwam yang boleh membantu untuk menghidupkan hubungan suami dan isteri.
Ruang Kemaafan
Dengan kepercayaan, pasangan akan sudi memberi ruang untuk kesilapan lalu memberi peluang kemaafan untuk membaik pulih hubungan suami dan isteri.
Perasaan Cinta Berdasarkan Kehendak Allah
Akhirnya, lahirlah perasaan cinta dalam hubungan suami dan isteri yang dipandu berdasarkan kehendak Allah dan semata-mata kerana Allah S.W.T.
Begitulah pentingnya daya tarikan bersandarkan sifat qawwam yang boleh membawa kepada kepercayaan dan membuka ruang kemaafan seterusnya mewujudkan rasa cinta kepada pasangan kerana Allah S.W.T.
Indah bukan?
Cara Untuk Mengembalikan Daya Tarikan
Apabila sudah bertahun-tahun mendirikan rumah tangga, sesuatu perkara yang pada awal perkahwinan adalah merupakan perkara yang mengujakan, menggembirakan dan romantik mulai dirasakan tawar pada tahun-tahun berikutnya. Maka, anda perlu ‘asah’ kembali daya tarikan tersebut untuk hidupkan semula hubungan suami dan isteri yang sudah mulai pudar.
Sebelum itu, anda perlu fahami konsep “opposites attract” terlebih dahulu.
Seperti lelaki tertarik pada wanita dan sebaliknya, konsep “opposites attract” ini juga bermaksud sifat berbeza akan saling tertarik kepada satu sama lain. Hal ini adalah kerana, secara umumnya, manusia diciptakan untuk saling melengkapi antara satu sama lain.
Apabila kedua pasangan mempunyai aura yang sama, contohnya aura maskulin, maka daya tarikan akan berkurangan. Namun, apabila satu mempunyai aura maskulin dan satu lagi mempunyai aura feminin, maka daya tarikan akan menjadi tinggi.
Sama seperti magnet, dua kutub yang sama tidak akan mempunyai daya tarikan antara satu sama lain, tetapi apabila dua kutub berbeza daya tarikan yang terhasil adalah tinggi. Dalam hubungan suami dan isteri, aura yang saling bertentangan akan meningkatkan daya tarikan sekaligus membantu mengekalkan keintiman.
Oleh itu, bagi mengembalikan daya tarikan untuk hidupkan hubungan suami dan isteri yang mulai pudar, kedua-dua individu perlu memainkan peranan masing-masing. Anda perlu menjadi versi diri sendiri yang terbaik serta berusaha memperbaiki diri dalam semua aspek.
Apa Yang Boleh Dilakukan Oleh Suami?
Menguasai Aura Maskulin
Sebagai suami, menguasai aura maskulin adalah amat penting untuk kesejahteraan hubungan suami dan isteri. Bahkan, secara tidak langsung anda juga akan memahami konsep qawwam.
Dengan menguasai aura maskulin, anda akan membuatkan pasangan anda tertarik dengan mudah.
Ketahui Arah Tuju Kehidupan
Suami adalah merupakan pemimpin bagi isteri dan ahli keluarga. Maka, dengan itu, anda perlu mengetahui dengan jelas arah tuju kehidupan yang anda ingin pimpin keluarga anda. Tunjukkan bahawa anda mempunyai matlamat yang jelas dalam kehidupan bersama keluarga anda.
Anda perlu menunjukkan nilai positif yang boleh dijadikan teladan seperti bijak membuat keputusan, berkepimpinan, mempunyai keberanian, berdaya saing dan sebagainya.
Lakukan Sesuatu Diluar Zon Keselesaan
Sekali sekala, anda perlu keluar daripada zon keselesaan yang membuatkan anda terperangkap dalam situasi yang sama saban waktu. Ambil peluang untuk mengembara di mana-mana tempat yang anda inginkan, lakukan perubahan dan beranikan diri untuk mengambil risiko.
Sekiranya sebelum ini anda tidak pernah ajak isteri pergi makan malam romantis, inilah masanya untuk anda cuba. Walaupun anda tidak tahu penerimaan isteri anda kelak, namun itulah yang dinamakan risiko. Tetapi jangan risau, isteri anda pasti tersenyum lebar sekiranya anda berani ambil ‘risiko’ ini!
Keluarlah dari zon selesa anda dan lakukan perkara positif yang anda tidak pernah atau teragak-agak untuk lakukan sebelum ini.
Luangkan Masa Dengan Rakan Lelaki Yang Lain
Selain itu, anda juga boleh cuba untuk luangkan sedikit masa hujung minggu atau cuti anda untuk membina persahabatan yang baik bersama rakan-rakan lelaki anda yang lain.
Dengan berbuat demikian, anda boleh mempelajari perkara baru dan saling bertukar pandangan mengenai pelbagai hal sesama rakan sejantina.
Cari Contoh Teladan Yang Bagus
Disamping itu, cuba cari sosok yang boleh dijadikan contoh teladan yang baik. Sebagai contoh, ayah, atuk, guru, dan sebagainya. Anda boleh jadikan mereka sebagai panduan dan rujukan untuk menguasai aura maskulin dengan lebih baik.
Contoh teladan yang paling mulia adalah tidak lain tidak bukan, baginda Rasulullah SAW. Cuba fahami serta dalami karakter dan sifat baginda sebagai seorang lelaki, suami dan juga pemimpin.
Pupuk Rasa Ingin Melindungi
Tanamkan sifat ingin melindungi serta membela ahli keluarga dalam diri anda kerana ia adalah merupakan tanggungjawab serta amanah anda sebagai suami.
Kesimpulannya, kecantikan fizikal bukanlah penanda aras bagi kebahagiaan dalam rumah tangga. Penentu bagi kebahagiaan dan keharmonian sesebuah keluarga adalah berdasarkan niat kita kepada Allah SWT dan usaha kita untuk menjadikan keluarga yang dimiliki itu sebagai pelaburan masa depan di dunia dan akhirat.
Walau bagaimanapun, penjagaan penampilan lahiriah janganlah diabaikan sama sekali dalam hubungan rumah tangga. Usaha untuk menjaga penampilan dan berhias untuk tatapan pasangan adalah penting bagi mengekalkan kebahagiaan keluarga. Namun begitu, kita boleh simpulkan bahawa kecantikan sebenar seseorang terserlah melalui keperibadiannya. Maka, utamakan pembentukan akhlak yang mulia dalam diri terlebih dahulu agar ia memupuk kepada perhubungan suami isteri yang harmoni serta keluarga yang bahagia.
Apa yang boleh dilakukan oleh isteri?
Menyelami Dan Memahami Aura Feminin
Hidupkan hubungan suami isteri yang telah pudar bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan tidak boleh terjadi tanpa kerjasama dua pihak. Sebagai seorang isteri, anda perlu sentiasa menyokong pasangan anda dan memberi peluang kepadanya untuk menguasai aura maskulin dengan sepenuhnya.
Anda pula haruslah berusaha untuk menyelami aura feminin dengan mendalam sebagai seorang isteri bagi melengkapi rumah tangga yang dibina.
Cantikkan Dan Hiasi Diri Anda
Apabila sudah bergelar isteri, sudah pasti tidak lari dengan kesibukan menguruskan rumah tangga. Namun, anda juga perlu luangkan masa untuk diri anda sendiri. Contohnya, anda boleh pergi buat rawatan spa dari hujung rambut ke hujung kaki.
Terimalah rasa keperempuanan dalam diri anda. Pergi manjakan diri anda.
Lakukan Sesuatu Diluar Zon Keselesaan
Sekali sekala, anda perlu keluar daripada zon keselesaan yang membuatkan anda terperangkap dalam situasi yang sama saban waktu. Ambil peluang untuk mengembara di mana-mana tempat yang anda inginkan, lakukan perubahan dan beranikan diri untuk mengambil risiko.
Sekiranya sebelum ini anda tidak pernah ajak isteri pergi makan malam romantis, inilah masanya untuk anda cuba. Walaupun anda tidak tahu penerimaan isteri anda kelak, namun itulah yang dinamakan risiko. Tetapi jangan risau, isteri anda pasti tersenyum lebar sekiranya anda berani ambil ‘risiko’ ini!
Keluarlah dari zon selesa anda dan lakukan perkara positif yang anda tidak pernah atau teragak-agak untuk lakukan sebelum ini.
Fahami Diri Sendiri & Cara Untuk Berkomunikasi Secara Baik
Aura feminin juga perlu difahami. Pelajari cara untuk meluahkan perasaan dengan cara yang baik dan konstruktif.
Selain itu, anda juga perlu selami sebab mengapa aura feminin anda tercalar agar anda boleh atasi masalah tersebut. Cari sosok indvidu yang anda boleh jadikan panduan dan teladan untuk bersifat lebih feminin seperti ibu, nenek, mak cik, dan sebagainya.
Lakukan Aktiviti Untuk Ketenangan
Anda boleh cari dan pilih cara yang paling selesa untuk mendekatkan diri dengan emosi anda bagi mendapatkan ketenangan. Antara cara yang anda boleh cuba lakukan ialah meditasi dan menulis jurnal.
Jadi Seorang Yang Penyayang
Sekiranya anda ingin dilindungi, didengari dan disayangi, anda juga perlu menjadi seorang yang penyayang. What you give, you get back. Jangan malu untuk menunjukkan perhatian dan kasih sayang kepada suami anda.
Ditulis Oleh : Nasra