8 Aspek dalam Perkahwinan

Perkahwinan merangkumi pelbagai aspek yang membantu kita dalam usaha memupuk keluarga yang harmoni. Dalam zaman moden kini, kita sering kali dengari dimana masyarakat Melayu mengutamakan aspek kewangan jika dikaitkan dengan isu perkahwinan. Walaupun ia merupakan aspek yang penting, namun masih banyak lagi aspek perkahwinan lain yang harus diutamakan.

Apakah yang dimaksudkan dengan aspek perkahwinan?

Ia merupakan ciri-ciri yang perlu diterapkan dalam perkahwinan Melayu. Dalam ruangan kali ini, kami ingin membincangkan dengan lebih mendalam mengenai 8 aspek dalam perkahwinan yang boleh membentuk institusi rumah tangga yang bahagia.

Kepentingan aspek perkahwinan

Sebelum menerangkan dengan lebih lanjut tentang aspek perkahwinan, pasti anda tertanya-tanya apakah kepentingan aspek-aspek yang ingin diperkatakan ini?

Lumrah kita sebagai seorang insan, setiap individu semestinya mempunyai kekuatan dan kelemahan yang tersendiri. Malah, alam perkahwinan tidak selalunya indah. Pasti ada masa dimana pasangan yang berkahwin akan menghadapi masalah. Oleh yang sedemikian, penekanan terhadap aspek-aspek ini akan membantu dalam membentuk pasangan suami isteri yang mampu mengharungi suka duka kehidupan semasa melayari bahtera perkahwinannya.

Rumah tangga yang mengambil berat terhadap 8 aspek perkahwinan ini mampu mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan mereka serta mengekalkan kebahagiaan dan keharmonian dalam kehidupan bekeluarga. Selain itu, mereka juga dapat memfokuskan usaha untuk menjadi pasangan yang baik melalui penekanan terhadap aspek yang bakal diperkatakan ini.

Aspek-aspek penting dalam rumah tangga

1. Beriman kepada Allah

Dalam ciri-ciri perkahwinan Melayu, perkara yang perlu diutamakan apabila mencari pasangan dan selepas berkahwin sudah semestinya berkaitan dengan agama. Aspek keimanan haruslah menjadi keutaaman dalam setiap perkahwinan. Seperti hadis yang menyatakan:

“Pilihlah perempuan yang beragama nescaya beruntunglah kamu.” Riwayat Bukhari dan Muslim

Hal ini bukan sahaja tertakluk kepada wanita, malah ia juga tertakluk kepada kaum lelaki. Menurut Shaik Abdullah dalam penulisannya berkaitan ‘Pengajian Islam’, iman membawa makna kesepaduan antara tiga perkara; iaitu percaya dalam hati, mengaku dengan lidah, serta beramal dengan segala rukun dan perintah. Berdasarkan pengertian tersebut, ini bermakna bahawa orang beriman adalah orang yang beramal… kerana amal membuktikan keimanannya.

Mengapa aspek keimanan adalah penting?

Iman merupakan dasar akidah bagi seorang Muslim. Dengan wujudnya pegangan agama yang kukuh dalam diri seseorang, ia akan membentuk asas yang teguh bagi sesebuah institusi perkahwinan. Dari sudut suami yang menggalas tanggungjawab ketua keluarga pula, kepimpinannya dalam membimbing seisi keluarga untuk lebih dekat kepada Allah SWT adalah penting. Tanpa keimanan yang utuh, hubungan kekeluargaannya pasti akan goyah.

Seiring dengan keimanan, takwa juga perlu wujud dalam diri individu. Takwa bermaksud menjaga jiwa dari segala perbuatan dosa dan meninggalkan semua larangan Allah SWT. Keimanan dan ketakwaan akan membentuk individu yang mengenali tanggungjawabnya dan bertindak mengikut kehendak Allah. Oleh itu, hak suami, isteri, dan anak-anak dapat dipelihara kerana masing-masing ingin mengejar reda Allah SWT. Sebab itulah mengapa aspek ini amat penting bagi membina keluarga yang harmoni.

2. Visi dalam rumah tangga

Visi ialah konsep atau matlamat yang ingin dicapai. Dalam hal ini, visi dalam rumah tangga merupakan matlamat atau aspirasi yang ingin dikecapi oleh suami dan isteri dalam perkahwinannya. Bagi ciri perkahwinan Melayu, aspek visi bersama pasangan ini hendaklah seiring dengan kehendak Allah SWT serta menjauhi laranganNya.

Pasangan suami isteri dalam institusi rumah tangga adalah satu pasukan. Oleh yang demikian, visi perkahwinan haruslah dirancang melalui perbincangan, komunikasi, dan membuat keputusan bersama agar matlamat tersebut jelas serta memenuhi kehendak kedua-dua belah pihak (suami dan isteri). Ia bukan sekadar meliputi duniawi, malah melibatkan akhirat.

Apabila wujudnya visi dalam institusi rumah tangga, ia membantu kita untuk mengenal pasti kelemahan dalam perhubungan, menentukan tindakan demi menambah baik situasi tersebut, serta mendapatkan matlamat yang jelas bagi hala tuju perkahwinan itu. Selain daripada itu, kita boleh merancang strategi demi mencapai visi yang diidamkan. Hasilnya, hubungan yang dijalinkan juga menjadi lebih kukuh dengan adanya aspek visi dalam ikatan perkahwinan.

Jelasnya, setiap keluarga mempunyai visi yang berbeza kerana masing-masing mempunyai keutamaan yang berlainan. Namun, kita juga harus ingat bahawa visi ini hendaklah sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa kerana kehidupan dan persekitaran kita senantiasa berubah.

3. Komunikasi

Aspek komunikasi adalah kunci utama dalam setiap perhubungan, terutamanya dalam perkahwinan. Komunikasi yang baik mampu menyatukan dua hati yang berbeza, meredakan ketegangan konflik, menemukan jalan penyelesaian yang terbaik.

Konflik dan masalah dalam rumah tangga adalah lumrah. Malah, banyak berita yang melaporkan bahawa kebanyakan hubungan perkahwinan berakhir dengan perpisahan disebabkan isu komunikasi antara suami isteri. Tanpa komunikasi yang baik, maka timbullah salah faham yang akhirnya menyebabkan keretakan rumah tangga. Sebab itulah pentingnya komunikasi yang berkesan antara suami dan isteri.

Antara ciri komunikasi yang berkesan merangkumi elemen menghormati, empati, sedia mendengar, keterbukaan dan ketelusan, serta rendah hati semasa berhubung. Sesungguhnya, dalam ajaran Islam sendiri menuntut kita untuk berbincang (berkomunikasi dengan kasih sayang) bagi menyelesaikan sebarang masalah, lebih-lebih lagi apabila melibatkan hubungan rumah tangga. Seperti firman Allah SWT:

Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

Surah Al-Imran, ayat 159

Menurut Dr Airil, seorang ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan selaku Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM); beliau menyatakan bahawa corak berfikir dan cara bertindak bagi lelaki dan wanita adalah berbeza sama sekali. Begitu juga dari sudut cara berkomunikasi… dimana wanita lebih suka berkias manakala lelaki lebih cenderung untuk berhubung secara literal.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa situasi tersebut boleh menimbulkan pelbagai salah faham dalam perhubungan perkahwinan. Oleh yang sedemikian, kita hendaklah saling memahami, menghormati, dan bertimbang rasa terhadap perbezaan pasangan kita demi melahirkan rumah tangga yang damai dan tenteram.

4. Peranan keibubapaan

Dalam perkahwinan, aspek peranan keibubapaan haruslah dititikberatkan kerana ia memainkan peranan yang besar terhadap pembentukan keluarga yang positif. Tanggungjawab membesarkan anak-anak berlandaskan syariat Islam digalas oleh kedua-dua ibu dan bapa.

Jelasnya, anak-anak membesar sambil meneladani sikap dan tindakan ibu bapanya kerana mereka merupakan tunggak dalam sesebuah keluarga. Sebagaimana peribahasa yang sering diungkapkan:

Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.”

Oleh yang sedemikian, pasangan suami isteri hendaklah peka terhadap tanggungjawab masing-masing dalam membesarkan anak-anak.  Interaksi positif daripada ibu bapa yakni akan mewujudkan hubungan kekeluargaan yang harmoni. Pastikan anda menunjukkan akhlak yang baik, memberi perhatian dan kasih sayang kepada mereka, serta memberikan didikan agama dan moral yang secukupnya sebagai persediaan mereka menghadapi kehidupan. Dengan ini, kita dapat membentuk keluarga yang bahagia dan melahirkan generasi yang berakhlak baik bagi masa hadapan.

5. Kesejahteraan diri

Menurut Dr Ratna, seorang pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan UPM; sejahtera membawa makna sihat, tenang, damai, dan membahagiakan. Beliau menyatakan bahawa pembentukan kesejahteraan diri hanya boleh dicapai apabila fizikal, intelektual, dan rohani kita dalam keadaan yang seimbang.

Kesejahteraan diri mampu membuatkan seseorang lebih berdaya maju. Malah, kegembiraan, kualiti kehidupan, kepuasan hidup, dan kebajikan berkait rapat dengan aspek kesejahteraan diri. Oleh itu, kita hendaklah menjaga kesejahteraan diri agar hubungan rumah tangga dapat dipelihara. Selain itu, suami atau isteri juga memainkan peranan yang penting untuk menjaga kesejahteraan diri pasangannya dengan sentiasa menjaga hati dan prihatin terhadap perasaannya.

Dari sudut masyarakat yang beragama Islam, kesejahteraan diri berkait rapat dengan faktor ketuhanan. Ini bermaksud kita hendaklah menjaga hubungan bersama Sang Pencipta dengan mendekatkan diri dan memperbaiki hubungan dengan Allah SWT. Apabila hubungan kita baik dengan Allah SWT, kita akan menjalani kehidupan dengan lebih tenang (memperoleh kesejahteraan diri) lalu menghasilkan hubungan rumah tangga yang dipenuhi sakinah, mawaddah, dah rahmah.

6. Kewangan

Walaupun aspek kewangan sering diketengahkan dalam perkahwinan Melayu, kita harus ingat bahawa sumber rezeki datangnya dari Allah SWT. Status kewangan seseorang tidak akan berkekalan kerana ia boleh turun dan naik mengikut keadaan semasa. Isu kewangan yang dibincangkan di sini bukanlah mengetengahkan tentang jumlahnya, walhal ia lebih berkaitan dengan sifat pasangan itu sendiri dalam mencari rezeki.

Dalam hal ini, kita seharusnya lebih menitikberatkan dari sudut usaha pasangan itu sendiri. Sekiranya dia mempunyai sifat yang tidak mudah berputus asa, sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan rezeki, dan bertawakal kepada Allah SWT… yakni kehidupan rumah tangganya akan lebih teratur dan damai. Seperti firman Allah SWT dalam surah At-Talaq, ayat 3:

Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).”

Dalam ciri-ciri perkahwinan Melayu yang berlandaskan syariat Islam, pasangan suami isteri masing-masing mempunyai peranan terhadap aspek kewangan. Suami bertanggungjawab untuk mencari nafkah untuk keperluan keluarganya. Manakala wanita pula bertugas untuk memelihara harta suaminya. Sebarang perbelanjaan selain daripada apa yang diniatkan (cth: keperluan rumah) daripada duit yang suami berikan kepada isterinya perlulah mendapat keizinanan terlebih dahulu sebelum digunakan; walaupun untuk bersedekah.

7. Kerja dalam rumah

Bagi membina rumah tangga yang harmoni, aspek saling membantu bagi kerja-kerja rumah adalah amat penting. Sebenarnya, tugas di rumah (cth: menjaga kebersihan) adalah tanggungjawab bersama. Suami dan isteri haruslah bekerjasama dalam menguruskan hal rumah agar bukan hanya sebelah pihak yang terbeban dengannya. Walaupun dalam kesibukan, carilah masa untuk membantu pasangan untuk menunjukkan penghargaan anda kepada mereka.

Rasulullah SAW tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya di rumah walau dalam kesibukan memimpin ummah. Seperti mana berdasarkan hadis yang diriwayatkan:

Aisyah pernah ditanya mengenai perilaku baginda Rasulullah apabila di rumah. Maka kata Aisyah: Baginda suka membantu pekerjaan rumah isterinya, apabila tiba waktu solat, maka baginda akan pergi untuk melaksanakan solat.”

Riwayat Bukhari

8. Keintiman dan daya tarikan

Apabila menyentuh tentang aspek keintiman, pasti minda kita terus memikirkan tentang hubungan seksual. Nyatanya, hubungan seksual hanyalah meliputi sebahagian daripada maksud sebenar keintiman.

Secara jelasnya, terdapat 5 jenis keintiman dimana ianya merangkumi aspek emosi, fizikal, intelektual, pengalaman, dan rohani. Hubungan seksual yang diperkatakan sebelum ini tergolong dalam aspek keintiman fizikal.

Setiap pasangan masing-masing mempunyai kehendak intim yang perlu dipenuhi. Dalam pembentukan hubungan perkahwinan yang harmoni, kita hendaklah berusaha untuk memenuhi kehendak pasangan.

Selain itu, aspek daya tarikan juga perlulah diambil berat. Suami dan isteri kedua-duanya hendaklah menjaga keterampilan diri, memahami keinginian pasangan, serta mengembalikan keintiman dalam perhubungan. Keintiman emosi memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan rumah tangga. Terdapat pelbagai cara untuk mengembalikan semula hubungan baik antara suami isteri. Selain bermesra dan berhias untuk pasangan, kembalikan rasa cinta dengan menunjukkan penghargaan terhadap pasangan melalui ucapan ayat-ayat cinta.Kesimpulannya, 8 aspek ini merangkumi perkara yang penting untuk dipelihara dalam hubungan perkahwinan bagi memupuk keluarga yang bahagia. Walaupun timbulnya masalah dalam sebarang aspek perkahwinan, pasangan suami isteri haruslah berusaha untuk mengenal pasti puncanya dan mencari jalan penyelesaian agar menjamin keharmonian rumah tangga. Jangan sesekali biarkan masalah tersebut berpanjangan kerana ia akan merosakkan hubungan rumah tangga anda.

Ditulis Oleh: Fasha Hilya