16 cara untuk menambah baik hubungan suami isteri

Biasanya ramai yang segan nak buka topik tentang hubungan suami isteri. Mana tidaknya, majoriti akan mula kaitkan dengan hubungan kelamin semata-mata. Walhal, hubungan suami isteri sebenar ini luas konteksnya dan boleh jadi ia rutin seharian kita di rumah. Jadi rata-rata hubungan menjadi statik dan tiada penambahbaikan dalam komunikasi.

Isteri yang baik akan melayan suaminya dengan baik. Manakala suami yang bertanggungjawab pula bukan sekadar memberi nafkah zahir, tapi turut memenuhi kantung batin si isteri. Ini termasuk emosi, hubungan kelamin, perasaan dan sebagainya.

Pentingnya hubungan suami isteri ini boleh jadi perisai saat pertelingkahan. Bayangkan ada satu masa, macam bom meletup bergaduh dan berselisih faham. Ketika itu pasti tiada apa yang perlu dipertahankan, yang ada hanyalah sebuah kebencian. Namun, selepas kemarahan mula reda, percayalah satu persatu kenangan yang pernah dicipta bersama datang menjengah memori. Hubungan yang mula retak menanti belah itu mungkin bercantum kembali kerana manisnya hubungan erat sebelum ini.

Jadi apa kata kita tengok tip untuk mengembalikan atau menambah baik hubungan suami isteri. Ketahuilah, hubungan ini bukan wujudnya di atas katil sahaja, tapi lazimilah dalam kehidupan. Setiap deria kita memainkan peranan tersendiri. Mata, telinga, hidung, mulut, perut, sentuhan hatta kemaluan sekalipun ada peranan mereka.

1. Berhias untuk pasangan.

Ada orang khususnya wanita, kalau nak keluar rumah bukan main lagi. Dengan baju cantik, seluar baru, tudung bercorak siap dengan bersolek dan bau-bauan wangi. Tapi kalau dekat rumah, pakai pun baju ala kadar sahaja. Ada tu baju kelawar yang carik sana sini itulah yang menjadi pilihan.

Konsep itu salah sebenarnya. Firman Allah swt menerusi surah al-Ahzab ayat 33  yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berhias (di depan lelaki bukan mahram) dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah yang terdahulu.” Ayat ini jelas larangan untuk berhias kepada orang lain selain suami. Namun, bukannya bersolek atau kelihatan cantik ketika keluar rumah itu salah. Ianya fitrah setiap manusia untuk kelihatan cantik,  namun berpada-padalah.

Pentingnya berhiaa untuk pasangan kerana dandanan indah seorang wanita bergelar isteri mampu menciptakan getaran perasaan suaminya sehingga hatinya tertarik untuk selalu memandangnya.

2. Menunjukkan akhlak yang baik.

Akhlak yang baik dapat menjadi teladan buat orang sekeliling. Begitu juga dalam rumahtangga. Hubungan yang disusuli dengan akhlak yang baik pasti mewujudkan keluarga yang harmoni. Anak-anak akan membesar dalam suasana yang tenang dan indah seperti dituntut dalam Islam.

Sudah banyak terbukti, ego dan kemarahan dapat dilenturkan dengan akhlak yang baik. Seperti pepatah melayu menyebut, “Bagai air menitis di atas batu. Lama-lama melekuk jua.”

Kerasnya batu, begitulah kerasnya sikap seseorang. Namun, air yang lembut bisa menerjah sehingga lapisan batu itu turut sama larut mengalir mengikut arus air. Pastinya usaha ini bukan sehari dua, tetapi memakan masa. Jadi bersabar dan teruskan berbuat kebaikan, kerana hikmahnya pasti terlihat jua.

3. Menuturkan kata yang baik-baik.

Dari Abu Hurairah, bahawasanya Nabi Muhammad saw bersabda “Sesungguhnya hamba-hamba yang berbicara dengan kata-kata yang diredai Allah tanpa berfikir panjang, Allah akan mengangkatnya beberapa darjat dengan perkataannya itu. Dan hamba-hamba yang berbicara dengan kata-kata yang dimurkai Allah tanpa berfikir panjang, Allah akan menjerumuskannya ke neraka jahanam dengan kata-katanya itu.” (HR Bukhari, Ahmad dan Malik).

Hadis di atas jelas peringatan nyata buat kita semua dalam bertutur. Apatah lagi dalam rumahtangga. Hubungan yang baik antara suami isteri pasti terjalin jika masing-masing berkata yang baik-baik.   

Ingat satu perkara, kata-kata itu adalah doa yang terlantun. Baik yang keluar dari mulut pasangan, maka baiklah natijahnya. Begitu sebaliknya. Setiap pasangan selain berbual mesra biasa dengan kata yang baik, suami atau isteri juga boleh biasakan ucap selamat pagi, selamat malam, ucapan sayang dan macam-macam lagi.

4. Tidak mengkritik dan berbuat bising.

Penting untuk pasangan menjaga hati dan menghormati satu sama lain agar hubungan suami isteri kekal harmoni. Isu biasa yang diungkit, lelaki suka mendengar ceramah atau menonton youtube dengan bunyi yang kuat. Ada isteri yang tidak selesa tambah pula kalau sedang solat, makan atau bekerja di rumah.

Suami atau isteri patutnya ada common sense terhadap pasangan masing-masing. Jika nak mengkritik atau meluahkan sesuatu, pastikan emosi dan masa itu tepat agar tidak mengguris hati dan perasaan pasangan.

5. Memuji pasangan.

Lumrah manusia sukakan pujian. Begitu juga dengan pasangan. Puji-pujilah sentiasa agar pasangan tahu kita sedang melihat dia dan pasti dirinya menghargai dengan setiap ucapan yang terlahir dari bibir kita.

Selain memperkukuh hubungan, pujian dari pasangan juga dapat meningkatkan keyakinan diri, menaikkan semangat, tidak mencari perhatian di tempat lain dan banyak lagi. Jadi, rajin-rajinlah puji pasangan ya!

6. Mewangikan badan apabila berdamping dengan pasangan.

Wangi-wangian membangkitkan aroma. Begitu juga pada tubuh kita, bila sentiasa wangi, bukan hanya diri kita yang rasa segar. Tapi pasangan juga akan rasa dirinya istimewa dan kalau boleh tidak mahu berenggang. Biar sampai pasangan sudah mengenali bau masing-masing barulah makin erat hubungan rumahtangga itu.

7. Memberi kucupan.

Kucupan di kamar dan di khalayak ada bezanya. Kucupan untuk melakukan hubungan intim dan sekadar mesra juga berbeza. Jadi, meskipun disarankan untuk memberi kucupan pada pasangan, tapi tengoklah batasnya. Mungkin di hadapan anak, kucupan di pipi isteri atau suami itu lebih sesuai berbanding di bibir. Malah, suami atau isteri juga boleh biasakan mengucup kening. Pasti indah!

8. Mengetahui dan memasak masakan kegemaran pasangan.

Tugas memasak biasanya di bahu isteri. Namun, lelaki juga tidak terkecuali. Apa kata sesekali cuba masakkan isteri makanan kegemaran dia. Seperti contoh di hari lahirnya atau ketika hari ulangtahun perkahwinan. Semangkuk Mee Bandung kegemaran isteri pasti nampak terlalu istimewa jika dari air tangan si suami.

Macam orang dulu-dulu pesan, jangan biarkan pasangan kelaparan. Tiada gunalah perkahwinan kalau nak isi perut tak dapat. Pada sesetengah orang, rasa lapar boleh dianggap sebagai ancaman, jadi sebab itu ada yang mudah marah apabila lapar.

Rasa lapar dalam tempoh yang panjang juga boleh membuatkan tubuh berasa tertekan. Apabila hormon tertekan dilepaskan, maka hormon serotonin akan menurun yang berfungsi menjaga hati. Kadar serotonin yang rendah sangat berkaitan dengan munculnya rasa marah termasuk apabila seseorang itu lapar.

9. Sentuhan pada pasangan.

Ahli psikologi menyebut, sentuhan ini adalah sakti. Ketika sentuhan kasih sayang berlaku, badan akan mengeluarkan hormon yang dinamakan oksitosin. Hormon ini yang merembeskan rasa aman, tenang, dan rasa terlindungi oleh pasangan kita.

Dalam perkahwinan, bahasa sentuhan termasuklah memeluk bahu atau memegang tangan pasangan semasa berjalan. Meletakkan tangan di peha si dia semasa memandu, memberi ciuman mesra, pelukan dan juga sentuhan seksual.

10. Hubungan seksual.

Firman Allah dari surah al-Baqarah yang bermaksud “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu;”

Hubungan seksual antara suami isteri memang diharuskan dalam Islam. Malah mengikut ayat di atas, suami berhak melakukan apa sahaja ke atas tubuh isteri selagi tidak memudaratkan. Namun, suami perlu ingat, kepuasan itu tidak tertakluk hanya pada satu pihak sahaja. Isteri juga berhak merasa puas di atas hubungan seksual itu.

Jadi, janganlah malu untuk berkomunikasi tentang kepuasan masing-masing dalam rumahtangga. Ambil satu masa untuk berbincang topik ini kerana jika dibiar, ia boleh menjadi barah yang berbahaya. Tengoklah sendiri berapa ramai yang bercerai kerana faktor ketidakpuasan dalam hubungan seksual.

Justeru, setiap pasangan perlu terbuka untuk membincangkan topik ini sesama sendiri agar setiap hak itu terjaga dan barulah wujudnya hubungan suami isteri yang harmoni serta aman damai.

Rujukan : Mufti Wilayah – Adab Berasmara Suami Isteri

11. Mengingati pasangan dengan memberi.

Pemberian yang paling diingati bukanlah dinilai dari harganya, tapi keikhlasan hati. Kadang imaginasi pasangan terlalu tinggi. Contohnya minggu depan hari lahir isteri, suami mula fikir nak bagi gelang emas. Tapi harganya bukan murah, capai 4-5 ribu juga seutas. Lalu, hari semakin mendekat. Gelang tiada, barang lain juga tak tersedia.

Walhal, beri coklat sebekas pun sudah boleh menceriakan isteri. Berbunga-bunga hatinya. Modal mungkin tak sampai RM50, tapi kesannya isteri tersangatlah gembira.

12. Membantu di rumah.

Yakinlah! Hubungan suami isteri pasti terjalin lebih indah jika masing-masing faham dengan tanggungjawab. Tugas menguruskan rumahtangga bukanlah sesuatu yang mudah jika diletakkan sepenuhnya di bahu isteri. Tapi, tugas itu pastinya indah jika dibuat bersama-sama.

Saling membantu mengemas rumah dan menyediakan keperluan dapat harmonikan rumahtangga. Tambah pula kalau ada anak, lagi perlu pada kerjasama yang utuh antara suami dan isteri.

13. Hormati pasangan.

Kita nak dihormati, begitu juga pasangan. Jika ada yang tidak sependapat, tolaklah dengan baik. Orang kata, benda boleh bincang buat apa kita nak huru-harakan keadaan. Isteri terutamanya, suami pasti ada ego, maklumlah dia suami. Jadi, sebagai seorang isteri fahamilah sebaik mungkin tentang pasangan kita dan hormatilah si dia.

Jangan letakkan pasangan di belakang ketika membuat keputusan. Sentiasa menemai di kala susah dan senang juga jangan sebarkan aib dalam rumahtangga pada orang luar. Setiap tindakan pasangan tentunya beri kesan pada rumahtangga. Jadi, nak hubungan suami isteri yang baik, hormatilah sesama pasangan.

14. Dedicate masa untuk pasangan.

Pastikan dalam sehari, kita ada masa untuk berbual dengan pasangan. Beri masa untuk dia luahkan sesuatu atau habiskan masa bersama dengan berborak sampai membuat urutan manja. Biasanya, kalau seharian sibuk bekerja, pastikan sebelum tidur ada ‘pillow talk’ dengan pasangan.

Begitu juga dalam seminggu, mungkin ambil satu hari untuk bawa pasangan jalan-jalan di tempat yang disukainya. Kalau perempuan mungkin di pusat membeli belah, manakala lelaki pula mungkin di kolam pancing.

15. Ucapkan sayang pada pasangan.

Biasanya orang auditory lebih peka kepada ucapan berbanding perbuatan. Memang orang kata, sayang tak perlu diucap, cukup untuk dirasa sahaja. Tapi jangan kita lupa pada sesetengah golongan yang lebih cenderung untuk diucapkan untuk beri dia mengerti.

Selalunya perempuan, 10 kali sehari pun kalau boleh tidak cukup untuk mendengar kata sayang dari suami. Tapi, lelaki juga ada sifat ingin menakluki. Jadi, jika diluahkan sayang padanya, mungkin baru dia faham yang dia benar-benar sudah menakluki hati si isteri. Begitulah terwujudnya hubungan suami isteri yang sebenar.

16. Tidak bermasam muka terlalu lama.

Islam melarang umatnya bermasam muka melebih dari tiga hari. Rasulullah saw bersabda “Tidak halal bagi seorang Muslim tidak bertegur sapa saudaranya melebihi tiga hari, maka barangsiapa yang tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari, nescaya akan masuk neraka”. (HR Abu Daud).

Dalam rumatangga, jika isteri merajuk, suami perlu cepat pujuk. Begitu juga sebaliknya. Kekerasan hati dan kemarahan itu tidak dapat dibawa ke mana selain membawa kemusnahan. Ingat! Setiap dari kita tidak sempurna. Nikmat terbesar yang Allah kurniakan adalah pasangan kita. Melaluinya kita dapat menjadi ibu ayah pada anak-anak yang comel. Jadi, kendurkan ego, ukirlah senyuman dan hulurkan kata maaf buat pasangan.

Allah swt berfirman, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari dirimu sendiri, supaya tenteramlah kamu kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa cinta dan sayang…” (Ar Rum:21)

Di tulis oleh: Noni Wahab

Open chat
Masih bergaduh? atau menuju penceraian?
MySakinah
Assalamua'laikum 👋
Perkahwinan masih dalam fasa dingin/bergaduh atau dah menuju perceraian? Sebab kami ada program berbeza mengikut situasi anda. Kami sedia membantu. Chat dengan kami segera.