4 Virus Perkahwinan

Dalam kehidupan berumah tangga, sudah pasti kita akan menghadapi pelbagai cabaran dan ujian. Pasal anak, mertua, ekonomi keluarga, sikap pasangan dan sebagainya. Itu lumrah perkahwinan yang semua orang tahu terutamanya bagi mereka yang sudah berkahwin.

Mengetahui cara yang betul dalam mengendalikan segala masalah yang timbul, konflik dan ketidakpuasan hati dalam rumah tangga adalah perkara yang sangat penting. Ia adalah kemahiran yang perlu dikuasai oleh suami dan juga isteri.

Kebiasaannya, sesebuah rumah tangga tidak dapat diselamatkan disebabkan oleh cara pasangan menangani konflik dan rasa tidak puas hati, serta cara meluahkannya kepada satu sama lain yang kurang tepat, sehingga membuatkan mereka semakin berjauh hati.

Apa itu 4 virus perkahwinan?

Konflik dan ketidakpuasan hati boleh diatasi dengan kemahiran berkomunikasi yang baik dan berkesan. Cara berkomunikasi yang salah akan menyebabkan pasangan berjauh hati malah boleh menyebabkan berlakunya tawar hati.

Perkara ini ada diterangkan melalui konsep The Four Horsemen yang dihasilkan oleh John Gottman. Konsep ini digunakan sebagai sebuah metafora yang menggambarkan gaya komunikasi yang kurang tepat (atau toksik) boleh menjadi punca sesebuah perhubungan berakhir.

Gaya komunikasi yang kurang tepat inilah yang menjadi virus dalam perkahwinan. Virus ini boleh menyebabkan hubungan anda dan pasangan merenggang dan juga boleh menghancurkan rumah tangga anda secara ‘diam-diam’ sekiranya tidak diatasi.

Terdapat 4 jenis virus perkahwinan yang paling berbahaya dan boleh merosakkan hubungan anda dalam diam iaitu; kritikan, penghinaan, menuding jari, bersifat kaku. Fahami dan semak perkahwinan anda jika ia mempunyai 4 jenis virus ini.

Jenis virus dalam perkahwinan

Berikut ialah beberapa pola komunikasi yang dihuraikan dalam konsep The Four Horsemen dan menjadi virus dalam perkahwinan:

Kritikan (criticism)

Kritikan boleh menjadi satu bentuk komunikasi yang buruk sekiranya ia dilakukan dengan cara yang kurang tepat. Sebenarnya, secara tidak langsung, anda sedang menjatuhkan atau mengaibkan diri pasangan apabila anda mengkritik menggunakan cara yang salah.

Anda perlu bezakan diantara perbuatan mengkritik dan mengadu (aduan) atau meluahkan isi hati anda. Kritikan adalah tindakan untuk ‘menyerang’ peribadi seseorang. Manakala, aduan pula merujuk kepada reaksi mengenai tingkah laku tertentu. Berbeza ya.

KritikanAduan (Mengadu/Luahkan Isi Hati)
Kritikan bermaksud menyerang karakter dan sifat seseorang.

Contoh:
“Asal awak ni malas sangat? Nak basuh pinggan lepas makan pun susah ke?”

“Kenapa awak selalu pentingkan kawan-kawan awak dari saya, saya ni memang last dalam list hidup awak kan?”

Aduan merujuk kepada tingkah laku yang tertentu.

Contoh:
“Sayang, saya tak sukalah perbuatan awak tak basuh pinggan lepas makan. Kita dah setujukan lepas makan terus basuh pinggan”

“Saya harap lepas ni awak luangkan masa dengan saya dekat rumah setiap hujung minggu berbanding keluar dengan kawan-kawan. Boleh?”

Sekiranya komunikasi berbentuk kritikan berlanjutan dalam perhubungan anda, ia akan membuka jalan kepada isu yang lain pula. Contohnya seperti, pasangan yang dikritik akan merasa ‘diserang’ dan disakiti, malah boleh menyebabkan berlakunya penghinaan apabila kritikan secara melampau terjadi.

Selain itu, apabila sedang berkomunikasi dengan pasangan, sila berhati-hati dengan penggunaan ayat anda. Hal ini kerana, perbuatan mengadu atau meluahkan isi hati boleh bertukar menjadi kritikan dengan sangat mudah. Bahkan tanpa kita sedari sebenarnya kita sedang mengkritik pasangan.

Contohnya, menggunakan ayat seperti, “Apa masalah awak ni?”, boleh menjadikan aduan anda bertukar sebagai kritikan.

Ayat ini menyampaikan ada sesuatu yang tidak kena dengan pasangan anda. Ia boleh menjadi pencetus kemarahan pasangan dengan sangat mudah kerana mereka merasakan anda sedang menyerang keperibadiannya.

Contoh lainnya, kita cakap dekat pasangan, “Awak ni memang tak pernah nak ambil kisah hal anak-anak, saya penat tau.”

Persoalannya, betulkah pasangan kita tidak pernah LANGSUNG mengambil kisah anak-anak, atau hanya sekali dua sahaja dimata kita?

Hah, sedar tak ini adalah merupakan satu ayat kritikan walaupun sebenarnya anda berniat untuk mengadu.

Kenyataan berbaur kritikan yang anda keluarkan ini akan membuatkan pasangan anda rasa ingin mempertahankan diri dan melawan balik untuk menyatakan bahawa dirinya juga mengambil berat mengenai anak-anak.

Kesannya, pasangan akan merasakan bahwa kita sedang menyerang mereka walaupun itu bukanlah niat kita. Niat kita sebenarnya nak mengadu sahaja.

Disebabkan hal ini, pasangan kita boleh rasa sakit hati, terluka dan rasa seperti diserang, lalu menyebabkan mereka cenderung untuk membalas balik dan akhirnya terjadilah pergaduhan.

Penghinaan (contempt)

Konsep kedua yang dihuraikan dalam The Four Horsemen adalah penghinaan. Ia adalah rentetan daripada perbuatan kritikan yang melampau. Selalunya, sasaran penghinaan dibuat untuk membuatkan mangsa (iaitu pasangan) merasa hina dan tidak bernilai.

Penghinaan merupakan virus PALING BERBAHAYA dalam rumah tangga.

Ia adalah satu perilaku yang menyerang maruah pasangan dengan niat untuk merendah-rendahkan disebabkan rasa menyampah atau meluat terhadap pasangan. Sikap ini menunjukkan rasa kurang hormat dan memandang rendah pada maruah pasangan.

Antara komunikasi dalam bentuk penghinaan adalah memperlakukan orang lain (pasangan) secara tidak hormat melalui percakapan yang menyakitkan hati, menyindir dengan keterlaluan, mencebik, mencabar, mengejek, membuat lawak memburukkan pasangan dan menggunakan bahasa badan yang tidak sepatutnya seperti membesarkan mata, menjeling dan sebagainya.

Satu lagi bentuk penghinaan adalah, provokasi terhadap pasangan. Contohnya;-

“Habis tu awak nak buat apa? Ceraikan saya?”
“Pergilah.. pergi, saya nak tengok jauh mana awak boleh pergi!”

Perilaku menghina pasangan ini terjadi disebabkan oleh tanggapan negatif terhadap pasangan yang telah lama bertapak dalam diri seseorang.

Tanggapan negatif ini wujud apabila berlakunya pertelingkahan yang tidak diselesaikan dengan cara baik kemudian dipendam sendiri sehingga boleh menjadi pemicu kepada masalah rumah tangga.

Ketika anda mempunyai tanggapan negatif dan diapi-apikan pula oleh pemikiran yang tidak sihat, maka ia akan membawa kepada jalan kehancuran.

Hayati cara berfikir dengan sihat serta contoh pemikiran yang tidak sihat didalam rumah tangga melalui artikel ini: Fikiran sihat mempengaruhi tingkahlaku. Perbaiki rumah tangga dengan ubah mindset.

Menuding jari (defensiveness)

Seterusnya, defensiveness (pertahanan) atau melakukan pembelaan untuk diri sendiri. Sikap membela diri sebenarnya adalah cara untuk menyalahkan atau menuding jari kepada pasangan anda.

Menuding jari merupakan “coping strategy” apabila merasakan pasangan “menyerang” kita. Fitrah manusia mempunyai rasa untuk mempertahankan diri sendiri dan bersifat defensif apabila dikritik, dihina dan rasa seperti dipersalahkan. Ia adalah satu reaksi tindak balas.

Perilaku mempertahankan diri dengan menuding jari kepada pasangan terjadi apabila perasaan kita sering tidak diendahkan, tidak didengari dan merasakan tidak penting.

Apabila menuding jari berlaku, ia seolah-olah anda cuba memberitahu bahawa; “Bukan saya yang bermasalah tetapi awak” dan ini menjadi virus dalam perkahwinan.

Akibatnya, masalah itu tidak dapat diselesaikan dan konflik semakin meruncing. Bahkan, ia membuka jalan kepada ‘penunggang kuda lain’ seperti kritikan dan penghinaan (konsep The Four Horsemen) untuk turut serta dan seterusnya membawa kepada pertengkaran.

Sebaliknya, sekiranya pasangan tidak menjadikan perilaku menuding jari sebagai tindak balas dengan menyatakan penerimaan tanggungjawab, pengakuan kesalahan dan pemahaman tentang perspektif pasangan, maka masalah yang timbul boleh diselesaikan dengan baik tanpa pertengkaran.

Sebagai contoh, situasi menjemput anak balik daripada sekolah. Si isteri marahkan suami kerana terlupa menjemput anak.

Tindak balas defensiveness (menuding jari); ”Awak dah tahu saya sibuk, kenapa awak tak pergi jemput je? Nak tunggu saya jemput buat apa. Semua nak harapkan saya!”

Tindak balas yang si suami boleh berikan untuk mengelakkan perilaku menuding jari ialah;

“Aduh, saya terlupa. Sepatutnya saya bagitahu awak tadi untuk pergi jemput anak sebab saya agak sibuk hari ini. Saya terlupa pula. Maaf, maaf salah saya. Takpe, biar saya jemput anak-anak sekarang juga.”

Jelas perbezaannya kan? Sikap membela diri hanya akan meningkatkan konflik apatah lagi apabila kedua-duanya tidak mahu mengalah dan saling menyalahkan.

Bersikap kaku (stonewalling)

Untuk pengetahuan anda, stonewalling diberi nama sempena dinding yang tidak mempunyai sebarang respon hanya berdiri kaku.

Perilaku stonewalling atau bersikap kaku adalah merupakan perbuatan menarik diri daripada berinteraksi dan tidak memberi tindak balas kepada pasangan mereka. Biasanya, ia ditunjukkan dengan mengelak untuk bercakap atau berpura-pura sibuk.

Secara metaforanya, perilaku membina tembok antara dirinya dan pasangan. Stonewalling lebih kerap berlaku dikalangan lelaki berbanding wanita.

Permulaan stonewalling adalah apabila individu perlukan “coping mechanism” untuk mengelakkan daripada “emotional flooding”.

Emotional flooding adalah, apabila anda berasa serabut atau tekanan emosi yang luar biasa sehingga menyebabkan anda menjadi kaku dan tidak tahu harus memberi tindak balas yang macam mana.

Bagaimana ia boleh berlaku?

Biasanya, ia berpunca daripada serangan negatif secara berterusan atau berlanjutan daripada pasangan anda sama ada dari segi kritikan (criticism), penghinaan (contempt) atau menuding jari (defensiveness).

Apabila terjadinya emotional flooding, ia akan menyebabkan berlaku beberapa perubahan fisiologi kepada diri anda.

Antaranya ialah, peningkatan kadar denyutan jantung melebihi seratus (80 buat mereka yang aktif bersukan), pelepasan hormon tekanan ke dalam aliran darah, kadar oksigen dalam badan berkurang dan juga tindak balas melawan atau lari. Perubahan fisiologi ini akan menyebabkan badan anda “shutdown”, iaitu menjadi kaku.

Contoh situasi, isu mengemas rumah. Si isteri meluahkan tidak puas hati kerana suami jarang membantu.

“Awak ni jarang sangatlah nak membantu kemas rumah. Basuh pinggan ke, basuh baju ke sekali sekala kan bagus. Ni tidak, asyik main game je. Kalau tak pun tidur. Teman anak bermain pun susah bla bla bla bla…”

Suami: *kaku (rasa dikritik, rasa dipersalahkan sehingga menyebabkan “emotional flooding”)

Perilaku stonewalling atau sifat kaku suami tadi akan menyampaikan mesej yang tidak baik kepada pasangan anda dan menjadi virus dalam perkahwinan.

Ia akan memberi gambaran bahawa; anda merupakan seorang yang suka lari daripada masalah, tidak mengambil berat tentang hubungan ini, tidak bersetuju dengan pasangan anda dan ingin berpisah.

Padahal hakikatnya, diri anda sedang dibanjiri oleh emosi. Ia menyebabkan anda bersifat kaku untuk mengelakkan emosi tersebut memakan diri anda.

Oleh itu, untuk mengelakkan berlakunya situasi stonewalling ini, hentikan perbincangan dan minta pasangan anda berehat sekiranya perbincangan anda bertukar menjadi pertelingkahan.

Minta persetujuan daripada pasangan untuk berhenti bagi memikirkan solusi yang lebih baik. Persetujuan bersama untuk menghentikan perbincangan adalah amat penting bagi mengelakkan konflik baru pula.

Kemudian, setelah itu luangkan masa selama untuk melakukan sesuatu yang menenangkan anda sendiri. Contohnya seperti tidur, baca buku atau majalah, berjalan-jalan atau apa sahaja yang membantu emosi anda untuk stabil dan tidak dibanjiri dengan pelbagai perasaan.

Apabila sudah merasa tenang dan bersedia, kembalilah berbincang dengan baik bersama pasangan.

– Di tulis oleh: Nasra –

Saya 100% nak selamatkan perkahwinan saya.

Program pemulihan rumah tangga yang lebih harmoni dan tenang dengan menggunakan gabungan terbukti secara saintifik dan psikologi islam.

Luahan Sakinah

Bersama Ustaz di Masjid

Free

Kelebihan

Percuma untuk sesi 30 min

Asatizah terlatih

Isnin – Jumaat, 8:00am – 5:00pm

Walk-in di Masjid tertentu sahaja

Terapi Sakinah

Bersama terapis online

RM

99

KELEBIHAN

Berbayar untuk sesi 45 min

Pakar perkahwinan

Setiap hari dari 10:00am hingga 10:00pm

Secara online melalui Whatsapp

Artikel lain

Open chat
Masih bergaduh? atau menuju penceraian?
MySakinah
Assalamua'laikum 👋
Perkahwinan masih dalam fasa dingin/bergaduh atau dah menuju perceraian? Sebab kami ada program berbeza mengikut situasi anda. Kami sedia membantu. Chat dengan kami segera.