Bahasa cinta merupakan salah satu cara komunikasi dalam perhubungan yang menunjukkan bagaimana kita mengekspresikan rasa cinta terhadap pasangan serta kecenderungan kita untuk menerima cinta.
Dalam setiap perhubungan, kita sering berusaha untuk meluahkan rasa cinta kita terhadap pasangan. Namun kadang kalanya tindakan murni kita itu tidak sampai ke hati pasangan. Tahukah anda bahawa setiap orang memiliki bahasa cinta yang berbeza?
Sekiranya individu dalam sebuah perhubungan itu tidak mengenal pasti bahasa cintanya sendiri dan bahasa cinta pasangannya, ia akan mengeruhkan hubungan tersebut kerana masing-masing akan merasa seakan-akan tidak dihargai.
Walhal masing-masing telah pun berusaha menunjukkan rasa cintanya melalui cara tersendiri, namun kita atau pasangan itu yang tidak menyedarinya.
Walaupun hal ini kelihatan remeh, ia turut mengundang ketidak sefahaman dek kejahilan kita terhadap cara kita dan pasangan menerima / meluahkan perasaan cinta. Apabila ketidak sefahaman ini tidak diselesaikan dan makin terkumpul, maka ia akan menimbulkan keretakan dalam institusi rumah tangga.
Pada masa kini, seringkali kita dengari bahawa hubungan suami isteri menjadi tegang selepas beberapa tahun melayari bahtera perkahwinan. Antara punca selalunya terjadinya perkara sedemikian adalah disebabkan komunikasi.
Malah, kini terdapatnya peningkatan kes keretakan rumah tangga yang dilaporkan berlaku; dimana kebanyakannya juga dikatakan berpunca daripada masalah komunikasi. Apabila wujudnya gangguan dalam komunikasi antara pasangan, maka akan timbul salah faham dalam perhubungan tersebut. Oleh yang sedemikian, amat penting untuk anda mengetahui tentang 5 jenis bahasa cinta ini agar anda dapat memperbaiki komunikasi dalam hubungan perkahwinan.
Asal 5 bahasa cinta
Konsep ini dikenal pasti oleh Gary Chapman, seorang kaunselor perkahwinan yang berpengalaman. Menurut beliau, terdapat 5 jenis bahasa cinta dalam sesebuah perhubungan iaitu kata-kata penghargaan, masa bersama, perbuatan, hadiah, dan sentuhan fizikal. Setiap orang meluahkan dan mengharapkan luahan cinta yang berbeza. Kita akan membincangkan tentang bahasa cinta ini dengan lebih lanjut sebentar lagi.
Kenapa pentingnya untuk kita tahu jenis bahasa cinta?
Salah satu cara terbaik untuk memulihkan hubungan suami isteri adalah dengan memperbaiki cara komunikasi kita. Anda pasti tertanya-tanya, apa kaitannya bahasa cinta dengan memperbaiki cara berkomunikasi?
Dalam diri setiap individu, kita masing-masing memiliki bahasa cinta yang dominan. Anda hendaklah mengenal pasti bahasa cinta pasangan agar anda dapat memenuhi harapan atau jangkaannya dalam menerima cinta, serta mengelakkan daripada kekecewaannya. Setelah anda mengetahui bahasa cinta pasangan, maka anda boleh bertindak dengan lebih jelas agar pasangan anda menyedari bahawa dia amat dihargai dan disayangi.
Nyatanya, mengenali bahasa cinta dalam perhubungan membawa banyak kebaikan dalam sesebuah perkahwinan. Pertamanya, ia mampu merapatkan lagi hubungan suami isteri kerana masing-masing dapat mengenali diri sendiri dan pasangan dengan lebih dekat.
Melalui pemahaman ini juga, kita dapat berkongsikan rasa kasih sayang dengan lebih bermakna kerana setiap individu dalam perhubungan tersebut menerima cinta dalam bentuk yang diharapkannya. Selain itu, ia menggalakan sikap empati dan prihatin terhadap pasangan, serta membantu dalam memajukan diri sendiri untuk menjadi lebih baik.
Kesilapan dari sudut menggunakan bahasa cinta yang salah (kerana tidak mengenal pasti dengan tepat) dalam menunjukkan rasa cinta terhadap pasangan bakal mengeruhkan lagi hubungan anda. Mungkin pasangan anda mengatakan bahawa dia rasa tidak dihargai, sedangkan anda sering sahaja membantu dalam kerja rumah (disebabkan bahasa cinta anda adalah perbuatan). Pasangan anda sebenarnya mengharapkan luahan ayat cinta dari anda berbanding pertolongan anda di rumah – kerana bahasa cintanya merupakan kata-kata penghargaan. Oleh disebabkan ketidak sefahaman ini, anda tidak dapat memenuhi kehendak kasih sayangnya.
Jangan bimbang, ia bukanlah perkara yang sukar untuk difahami. Mari kita lihat penjelasan lanjut tentang 5 bahasa cinta yang wujud dalam perhubungan.
Jenis bahasa cinta
1. Kata-kata penghargaan
Bahasa cinta yang pertama ini merujuk lebih kepada cara meluahkan kasih sayang melalui ucapan yang manis, pujian, serta luahan penghargaan terhadap orang yang kita cintai. Orang yang memiliki bahasa cinta ini mudah terkesan dengan kata-kata; dari sudut positif mahupun negatif.
Individu yang mempunyai bahasa cinta ‘kata-kata penghargaan’ amat menghargai ayat cinta perkahwinan yang disampaikan menerusi lisan seperti “saya sayang awak”. Selain itu, individu ini juga lebih cenderung menyukai kata-kata yang memberi sokongan terhadapnya, serta mesej penghargaan melalui Whatsapp atau perkongsian di media sosial.
Anda mampu menceriakan individu ini hanya melalui kata-kata. Walau bagaimanapun, anda perlu berhati-hati… aspek keikhlasan dan intonasi perlu diambil berat semasa meluahkan kata-kata penghargaan tersebut kepada pasangan.
Elakkan intonasi “judgemental” atau sinis semasa bercakap kerana ia akan memberi kesan yang mendalam terhadap individu tersebut. Individu yang memiliki bahasa cinta ini lebih sensitif terhadap ucapan dan dia boleh mengetahui sama ada anda ikhlas mengucapkannya atau tidak.
2. Masa bersama
Seseorang yang mempunyai bahasa cinta ini menghargai masa yang diluangkan bersama orang tersayang. Individu ini akan rasa disayangi apabila pasangannya sudi meluangkan masa untuk melakukan aktiviti bersama. Selain itu, mereka sangat sukakan pendengaran aktif serta membuat “eye contact” semasa berbicara. Ini bermaksud, individu ini mementingkan perhatian sepenuhnya dari pasangan mereka; dimana 100% mental dan fizikalnya haruslah fokus terhadapnya semasa meluangkan masa bersama.
Oleh yang sedemikian, ketepikanlah telefon atau segala gangguan (cth: iPad, kerja) anda semasa meluangkan masa bersama. Dengarkan luahan hati pasangan anda dan berikan perhatian terhadapnya. Utamakan kualiti masa bersama itu kerana ia akan membantu anda dalam membina keluarga yang harmoni.
Bagi pasangan yang memiliki bahasa cinta ‘masa bersama’, selalunya dia mengharapkan agar anda bersama dengannya… lebih-lebih lagi bagi kehadiran untuk sebarang majlis. Sekiranya anda membatalkan janji atau tidak hadir (ke tempat yang telah dijanjikan), pasangan anda akan bertanggapan bahawa anda tidak menghormati dirinya serta tidak dihargai. Maka, luangkan sedikit masa untuk peristiwa yang penting bagi pasangan anda agar dia rasa disayangi.
Dengan kata lain, bahasa cinta ini lebih merujuk kepada harapan seseorang itu untuk menciptakan memori bersama pasangannya agar ianya boleh dijadikan sebagai kenangan.
3. Perbuatan
Jika bahasa cinta anda adalah perbuatan, ini bermaksud anda sangat menghargai pertolongan pasangan dalam kehidupan seharian. Walaupun kerja yang dilakukannya mudah seperti membuatkan teh ketika sarapan, memasak bubur semasa anda sakit, atau melipat baju ketika anda sedang sibuk bekerja… anda sangat menghargainya.
Secara ringkasnya, bahasa cinta ini dapat disimpulkan melalui pepatah:
Actions speak louder than words”
Individu yang memiliki bahasa cinta ini tidak gemar terhadap sikap malas atau memungkiri janji. Mereka akan bertanggapan bahawa pasangannya tidak menyayangi atau menghargai mereka kerana pasangannya tidak menunjukkan usahanya (meluahkan kasih sayang) melalui perbuatan.
4. Hadiah
Kita sedia tahu bahawa pemberian hadiah merupakan simbolik kepada kasih sayang dan penghargaan terhadap seseorang. Bagi orang yang memiliki bahasa cinta ‘menerima hadiah’, individu ini sebenarnya sangat menghargai makna disebalik setiap hadiah yang diterima dan usaha pasangan dalam memilih hadiah tersebut. Ia bukanlah atas dasar mahal atau murah hadiah tersebut, tetapi individu ini lebih mementingkan nilai sentimental dan simbolik daripada setiap hadiah yang diberikan. Dengan kata lain:
It’s the thought that counts
Sekiranya anda mempunyai bahasa cinta ini, pasti anda sering merasa disayangi apabila diberikan sesuatu. Anda menghargai usaha pasangan yang sanggup meluangkan masanya yang berharga demi mendapatkan sesuatu yang istimewa untuk anda. Malah, ia menunjukkan bahawa pasangan anda benar-benar mengenali anda.
5. Sentuhan fizikal
Bahasa cinta ‘sentuhan fizikal’ bukanlah sekadar hubungan intim (seksual) bersama pasangan. Ia juga merujuk kepada interaksi harian dalam hubungan rumah tangga. Selalunya, individu yang memiliki bahasa cinta ini rasa sangat dicintai apabila pasangannya melakukan sentuhan fizikal seperti memegang tangan semasa berjalan bersama-sama, berpelukan, memberi urutan manja, dan kucupan.
Bagi mereka, keintiman dan sentuhan fizikal boleh menjadi suatu penghargaan yang sangat besar. Malah ia membantu dalam menjadi pemangkin terhadap hubungan emosi bagi individu tersebut. Secara ringkasnya, individu yang memiliki bahasa cinta ini sebenarnya mengharapkan untuk meluangkan masa bersama pasangan dalam suasana yang intim.
Kenali bahasa cinta anda dan pasangan
Setelah anda mengetahui tentang 5 jenis bahasa cinta ini, adakah anda telah mengenal pasti bahasa cinta anda dan pasangan?
Sekiranya masih belum, cuba salah satu daripada langkah mudah ini…
1. Fikirkan semula… antara 5 bahasa cinta yang telah dibincangkan, mana satukah tindakan yang mendapat reaksi positif apabila anda (atau pasangan) menerimanya? Soal diri anda dengan persoalan berikut;
Apakah cara yang selalu anda lakukan untuk meluahkan cinta kepada pasangan?”
Cara bagaimakah yang anda harapkan agar pasangan anda lakukan untuk meluahkan rasa cintanya terhadap anda?
Kenal pasti sama ada adakah tindakan tersebut mengubah dinamik perkahwinan anda.
2. Selain itu, anda juga boleh menjawab Kuiz Bahasa Cinta untuk mengenal pasti bahasa cinta yang dominan dalam diri anda. Ia hanya terdiri daripada 30 soalan dan sangat mudah untuk dijawab.
Kesimpulannya, setiap orang memiliki bahasa cintanya yang tersendiri dan ia boleh berubah mengikut peredaran masa. Jelasnya, bahasa cinta ini sememangnya tidak mampu menyelesaikan semua masalah hubungan rumah tangga anda, namun ia boleh digunakan sebagai panduan untuk memperbaiki cara anda berkomunikasi bersama pasangan. Serba sedikit, bahasa cinta ini boleh membantu untuk memulihkan hubungan suami isteri kerana anda dapat meluahkan cinta menggunakan cara yang tepat.
Masalah rumah tangga yang anda alami mungkin berpunca dari kesan yang mendalam, dan ianya perlu dirungkai secara perlahan-lahan… melalui cara yang betul. Di sinilah peranan mySakinah dimana kami menyediakan program Marriage Revival.
Melalui program ini, kami akan membantu anda untuk memulihkan hubungan rumah tangga anda berdasarkan gandingan elemen Al-Quran dan Hadis, serta ilmu kaunseling kekeluargaan Barat dalam modul program kami. Masih ada harapan untuk memulihkan hubungan anda bersama pasangan.
It ain’t over until it’s over
Jangan putus semangat dan tergesa-gesa dalam membuat keputusan. Cuba pelbagai ikhtiar untuk memperbaiki hubungan rumah tangga anda. Sesungguhnya, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya.
Sertai setiap usaha anda dengan doa dan tawakal. Insya-Allah, dengan berkat usaha anda untuk memulihkan hubungan perkahwinan anda… Allah akan merahmati anda dengan menganugerahkan keluarga yang lebih rapat dan harmoni. Seperti firman Allah SWT:
Dan berdoalah kepada-Nya dengan rasa takut (tidak akan diterima) dan harapan (akan dikabulkan). Sesungguhnya rahmat Allah amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik,”
Surah Al-A’raaf: ayat 56
Di tulis oleh: Fasha Hilya