5 Sebab Mengapa Kecantikan Tidak Menjamin Kebahagiaan dalam Rumah Tangga

Kecantikan selalunya dikaitkan dengan kesempurnaan fizikal seseorang. Walau bagaimanapun, aspek kecantikan bukanlah ciri yang mampu menjamin kebahagiaan dalam rumah tangga.

Apakah maksud kecantikan?

Kecantikan sebenarnya membawa maksud yang meluas. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, ia boleh didefinisikan sebagai perihal yang cantik, kemolekan, keindahan, serta keelokan dari segi paras rupa, benda, dan lain-lain.

Menurut pandangan Islam pula, kecantikan boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu kecantikan fizikal dan kecantikan rohani Secara umumnya, kecantikan fizikal dilihat berdasarkan ciri luaran seseorang yang menjadi daya tarikan individu tersebut; termasuklah paras rupanya, penggayaannya, dan ciri fizikal yang lain. Manakala kecantikan dari sudut rohani pula dapat dikenali melalui keperibadian atau personalitinya. Ini bermaksud ciri dalaman seseorang itu yang menjadi daya tarikan bagi sesebuah perhubungan.

Kita sedia tahu bahawa setiap orang pasti mempunyai pandangannya yang tersendiri terhadap aspek kecantikan. Namun, kecantikan yang diperkatakan dalam ruangan kali ini secara khususnya merujuk kepada kecantikan fizikal seseorang. Hubungan rumah tangga tidak mampu berdiri teguh hanya berdasarkan kecantikan luaran pasangan yang menjalani bahtera perkahwinan tersebut. Bagi memperoleh kebahagiaan dalam sesebuah hubungan rumah tangga, pasangan suami isteri hendaklah melibatkan pelbagai komponen lain yang mampu menyumbang kepada pengukuhan institusi kekeluargaan tersebut.

Komponen yang diperkatakan merupakan ciri yang perlu wujud dalam membina kebahagiaan keluarga. Berikut adalah antara komponen yang boleh menguatkan perhubungan perkahwinan:

Kesediaan untuk menerima komitmen

Apabila pasangan suami isteri bersedia menerima komitmen terhadap satu sama lain dan bekerjasama dalam menghadapi dugaan, ia akan mendorong perhubungan itu ke arah keluarga yang bahagia. Dengan sifat ini, ia membantu mereka dari segi tidak mudah berputus asa walau apa jua ujian yang membadai rumah tangga mereka. Setiap ujian yang berjaya ditempuhi pasti akan mengutuhkan lagi perhubungan mereka.

Rasa sayang

Kedua-dua pasangan suami isteri hendaklah menitikberatkan unsur kasih sayang dalam hubungan rumah tangga mereka. Ciri ini penting untuk menjamin kebahagiaan institusi kekeluargaan kerana curahan kasih sayang mampu menghasilkan ketenteraman jiwa terhadap pasangan anda. Malah, kasih sayang yang ditonjolkan merupakan pemangkin semangat bagi ahli keluarga. Ianya boleh dipaparkan melalui sifat prihatin, kemesraan, pengorbanan, dan mengambil berat terhadap pasangan anda. 

Toleransi

Sikap toleransi dan persefahaman dalam hubungan suami isteri penting untuk mengekalkan kebahagiaan rumah tangga. Toleransi di sini membawa maksud sifat bertolak ansur. Apabila seseorang itu berusaha untuk menerima ketidaksempurnaan pasangannya dengan menerima diri pasangan itu seadanya… maka ia akan menghasilkan kebahagiaan dalam rumah tangganya.

Dalam perkahwinan, setiap pasangan bukannya selalu sependapat apabila mencari jalan penyelesaian. Oleh itu, inilah pentingnya penerapan ciri toleransi dalam hubungan perkahwinan. Ketika berlakunya perselisihan pendapat, dengarkan pandangan pasangan anda dan cuba fahami isu tersebut dari perspektifnya. Berkomunikasilah secara positif dalam menyelesaikan masalah dan elakkan daripada kata-kata atau pemikiran negatif. Apa yang penting, utamakan kesepakatan pendapat berlandaskan hukum syarak.

Beragama

Suami dan isteri hendaklah faham terhadap konsep dan hukum agama, serta mengamalkannya. Suami berperanan untuk membimbing keluarganya untuk menuju keredaan Allah SWT. Isterinya pula boleh berkongsikan ilmu yang baik bersama ahli keluarganya. Hal ini akan membawa keberkatan, sekaligus menjemput kebahagian dalam hubungan rumah tangga tersebut.

Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah”

Seperti sabda Rasulullah SAW (Riwayat Muslim)

Keimanan seseorang akan mendorongnya untuk berakhlak mulia dan melaksanakan segala amalannya demi mendapat keredaan Allah SWT.  Tanpa pegangan agama, kehidupan manusia akan goyah… apatah lagi apabila hidup berumah tangga.

Kematangan

Kematangan dalam rumah tangga boleh dilihat melalui pemikiran serta tindakan seseorang itu apabila berhadapan dengan konflik kehidupan perkahwinan. Individu yang matang mampu bertenang dalam menyelesaikan sebarang masalah rumah tangganya. Selain itu, dia bersikap terbuka untuk menerima sebarang pandangan orang lain terhadapnya serta sanggup berubah ke arah kebaikan.

Bertanggungjawab

Bagi pasangan yang telah berkahwin, mereka hendaklah mengenal pasti tanggungjawab serta peranan masing-masing. Hal ini penting demi memastikan agar kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga mereka terjamin.

Bersyukur

Sifat bersyukur bermakna seseorang itu sentiasa reda dengan setiap ujian dari Allah SWT, dan menghargai setiap nikmat pemberianNya. Ciri ini merupakan komponen penting bagi membentuk kebahagiaan dalam rumah tangga – dengan memperoleh keberkatan daripada Allah SWT.Jelasnya, apabila sesebuah perhubungan rumah tangga itu teguh… ia akan membawa kepada kebahagiaan dan keharmonian. Apabila wujudnya keluarga yang bahagia dan harmoni, maka ia akan melahirkan generasi akan datang yang lebih positif dan bertakwa.

Mengapa kecantikan bukanlah komponen yang menjamin kebahagiaan rumah tangga?

Kecantikan berubah mengikut trend dan budaya

Seperti yang kita ketahui, kecantikan adalah subjektif. Malah, standard kecantikan sentiasa berubah mengikut trend dan budaya… seiring masa. Misalnya, trend kecantikan dari segi gaya kening.

Pada era 1920-an, kecantikan gaya kening dipaparkan melalui kenipisan dan lengkungan kening seseorang. Semakin nipis keningnya, masyarakat akan memandang bahawa individu tersebutlah yang paling cantik. Namun pada era 1980-an pula, kebanyakan masyarakat bertanggapan bahawa kening yang tebal memaparkan kecantikan yang sebenar. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pandangan manusia terhadap kecantikan sentiasa berubah kerana ianya dipengaruhi oleh trend dan budaya.

Daya tarikan fizikal hanya menjadi daya tarikan permulaan sahaja

Kecantikan lahiriah sememangnya mempunyai peranannya tersendiri. Selalunya, kecantikan ini akan menjadi daya tarikan permulaan (awal) bagi seseorang untuk berminat mengenali individu seorang lagi. Ciri kecantikan tidak lagi memainkan peranan yang besar setelah mereka mengenali hati budi masing-masing.

Namun, ingatlah bahawa ciri tersebut hendaklah diletakkan di bawah ciri ketaatan kepada Allah, keimanan, dan peribadi yang mulia. Apabila seseorang itu meletakkan aspek kecantikan melebihi segalanya, ia hanya akan menghasilkan hubungan rumah tangga yang goyah.

Untuk tips lain bagi para isteri untuk kembali menghangatkan daya tarikan kepada si suami, lihat artikel tentang cara untuk memikat hati suami

Untuk memastikan hubungan itu berpanjangan, terdapat banyak komponen lain

Masih banyak lagi komponen lain yang memainkan peranan besar terhadap kebahagiaan hubungan rumah tangga supaya ianya kekal dan berpanjangan. Sejak dahulu lagi, Rasulullah SAW telah memberi panduan buat kita semua dalam urusan pemilihan jodoh berdasarkan syariat Islam. Hal ini dapat dijelaskan melalui hadis berikut:

Dinikahi seseorang wanita kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama, nescaya engkau akan beroleh keuntungan.”

Sahih al-Bukhari

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah SAW menyarankan bagi mereka yang ingin mencari pasangan – agar mengutamakan ciri beragama supaya memperoleh kebahagiaan dalam rumah tangga.

Ia adalah kerana keimanan seseorang itu akan memberi kesan terhadap amalan serta kehidupannya. Orang yang beriman yakni mempunyai keperibadian yang mulia. Adab serta akhlak yang baik bakal memberi impak yang positif dalam hubungan kekeluargaan. Malah, ciri tersebut akan membuatkan pasangan lebih selesa dan menyejukkan hati apabila dipandang, lalu mendorong kepada kebahagiaan dalam rumah tangga.

Namun begitu, daya tarikan fizikal hanyalah bersifat sementara. Aspek kecantikan akan lenyap apabila umur meningkat tua.  Harta pula akan berkurangan sekiranya ia tidak diuruskan dengan baik. Oleh yang sedemikian, aspek agama serta personaliti individu haruslah menjadi keutamaan berbanding kecantikan bagi memperoleh rumah tangga yang bahagia.

Kecantikan akan pudar ditelan masa, tetapi komponen lain akan kekal

Jelasnya, kecantikan fizikal hanyalah bersifat sementara. Ianya akan pudar seiring masa, namun komponen lain yang merangkumi personaliti seseorang akan kekal. Ciri seseorang itulah yang membantu dalam melengkapkan sesebuah hubungan perkahwinan.

Dari segi kenangan, aspek kecantikan bukanlah sesuatu yang bakal kita imbau kembali apabila mengenang kembali memori indah bersama pasangan kita. Seringkali kita akan memfokuskan terhadap tindakan, keikhlasan, serta peristiwa istimewa yang berlaku pada momen tersebut sehinggakan ia meninggalkan kesan terhadap diri anda.

Perkara yang membuatkan sesebuah memori jelas dalam ingatan adalah apabila ianya berkait rapat dengan kesan emosi anda terhadap sesuatu peristiwa. Apabila anda merasakan emosi yang kuat, otak anda yang bertindak balas dengan meningkatkan perhatian serta persepsi anda terhadap situasi tersebut. Hal ini kemudiannya membantu dalam proses penyimpanan memori yang lebih jelas kerana terjadinya pembebasan hormon kortisol dan adrenalin; dimana ia meningkatkan rangsangan.

Personaliti mengatasi kecantikan

Seseorang itu biasanya ingin dikenali dengan lebih mendalam disebabkan personalitinya yang menarik. Menurut kajian yang dijalankan oleh Nurul Hudani dan Baharudin, personaliti dari perspektif Islam dimaksudkan sebagai akhlak; yang merujuk kepada ciri peribadi seseorang individu. Secara lebih lanjut lagi, ia berkaitan dengan perangai dan tingkah laku seseorang terhadap Allah, dirinya sendiri, keluarga, orang di sekelilingnya, serta persekitarannya (alam).

Komponen yang telah diperkatakan di atas merangkumi sebahagian daripada personaliti seseorang yang mampu menguatkan lagi hubungan dan menghasilkan kebahagiaan dalam rumah tangga mereka. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW bersabda:

Orang mukmin yang paling sempurna keimanannya adalah orang yang memiliki akhlak yang terbaik. Yang terbaik diantara kalian adalah yang terbaik akhlaknya kepada pasangannya.”

Riwayat Tirmidzi

Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa tindakan kita terhadap pasangan mencerminkan akhlak sebenar diri kita. Seseorang individu hanya akan menonjolkan dirinya yang sebenar apabila bersama pasangannya kerana wujudnya perasaan selesa dan mereka hidup bersama dalam jangka waktu yang lama. Sekiranya seseorang itu bersikap baik bersama pasangannya, maka dia tergolong bersama mereka yang berakhlak mulia.

Secara umumnya, personaliti yang positif dan konsisten secara langsung memainkan peranan dalam membentuk nilai-nilai positif. Hal ini membawa kepada perhubungan yang lebih kuat dan seterusnya menyumbang kepada kebahagiaan dalam institusi kekeluargaan.

Sekiranya anda bertanyakan kepada kebanyakan pasangan yang telah lama berkahwin, mereka mungkin akan mengakui bahawa kecantikan fizikal sememangnya menjadi daya tarikan awal bagi perhubungan mereka. Walau bagaimanapun, kebaikan dan kasih sayang yang ditonjolkan dalam perhubungan tersebutlah yang membantu dalam mengekalkan kebahagiaan institusi kekeluargaan mereka.Kesimpulannya, kecantikan fizikal bukanlah penanda aras bagi kebahagiaan dalam rumah tangga. Penentu bagi kebahagiaan dan keharmonian sesebuah keluarga adalah berdasarkan niat kita kepada Allah SWT dan usaha kita untuk menjadikan keluarga yang dimiliki itu sebagai pelaburan masa depan di dunia dan akhirat.

Walau bagaimanapun, penjagaan penampilan lahiriah janganlah diabaikan sama sekali dalam hubungan rumah tangga. Usaha untuk menjaga penampilan dan berhias untuk tatapan pasangan adalah penting bagi mengekalkan kebahagiaan keluarga. Namun begitu, kita boleh simpulkan bahawa kecantikan sebenar seseorang terserlah melalui keperibadiannya. Maka, utamakan pembentukan akhlak yang mulia dalam diri terlebih dahulu agar ia memupuk kepada perhubungan suami isteri yang harmoni serta keluarga yang bahagia.

Ditulis oleh: Fasha Hilya

Open chat
Masih bergaduh? atau menuju penceraian?
MySakinah
Assalamua'laikum 👋
Perkahwinan masih dalam fasa dingin/bergaduh atau dah menuju perceraian? Sebab kami ada program berbeza mengikut situasi anda. Kami sedia membantu. Chat dengan kami segera.