Apabila pasangan mengungkapkan ayat-ayat cinta perkahwinan kepada kita, pastinya dunia kita pada ketika itu kelihatan lebih indah. Kita akan berasa lebih dihargai dalam hubungan perkahwinan tersebut dan berasa gembira serta merta selepas mendengar ucapan yang manis itu.
Menurut seorang kaunselor perkahwinan; Dr Gary Chapman dalam bukunya yang berjudul ‘Four Seasons of Marriage’, wujudnya 5 jenis bahasa cinta dalam setiap perhubungan. Ia merupakan cara seseorang itu meluahkan perasaan cintanya terhadap pasangan. Menurut beliau, setiap orang memiliki bahasa cintanya yang tersendiri dan ianya mungkin berlainan daripada bahasa cinta pasangannya.
Antara bahasa cinta yang diperkatakan adalah luahan kata-kata penghargaan, perbuatan, pemberian hadiah, masa bersama, dan sentuhan fizikal. Dalam ruangan kali ini, saya ingin menceritakan lebih tentang bahasa cinta “Luahan Kata-kata Penghargaan” atau lebih dikenali sebagai ‘Words of Affirmation’.
Adakah anda telah mengenal pasti sama ada bahasa cinta anda atau pasangan anda merupakan ‘Luahan Kata-kata Penghargaan’?
Apa itu kata – kata penghargaan?
Kata-kata penghargaan yang dimaksudkan merupakan luahan ayat cinta yang memberi sokongan, dorongan, penghargaan, berempati, serta mampu menaikkan semangat pasangannya. Ia adalah cara seseorang itu menunjukkan kasih sayangnya dalam hubungan perkahwinan melalui kata-kata seperti pujian dan ucapan yang memaparkan penghargaan terhadap pasangannya.
Seseorang yang memiliki bahasa cinta ini biasanya akan menonjolkan rasa cintanya terhadap pasangan melalui kata-kata seperti “love you”, “awak nampak cantik hari ni!”, dan pelbagai lagi. Ia boleh diluahkan melalui lisan atau tulisan.
Orang yang mempunyai bahasa cinta ini mengambil berat terhadap niat dan emosi disebalik kata-kata yang diucapkan. Walaupun ayat cinta yang dilontarkan kedengaran biasa atau ‘cliché’, namun pasangan yang menerimanya pasti akan merasakan bahawa dia lebih dihargai dan bahagia kerana diberi perhatian.
Situasi dan cara mengekspresikan kata – kata penghargaan
Perkara yang harus diutamakan apabila anda ingin meluahkan ayat cinta dalam perkahwinan adalah ketulusan dan keikhlasan. Gunakan kata-kata yang lembut dengan nada yang bersesuaian dengan situasi semasa. Walaupun ayat cinta itu pendek, tidak mengapa. Asalkan ia menunjukkan keikhlasan anda semasa anda mengucapkannya.
Cara yang terbaik untuk menunjukkan ketulusan anda semasa meluahkan ayat cinta adalah dengan menyertakan ciri yang lebih terperinci terhadapnya – yang membuatkan anda rasa sedemikian. Contohnya ketika pasangan anda sedang bersiap-siap untuk pergi ke majlis;
“Sayang, awak nampak cantik hari ni”.
Ayat tersebut agak umum. Sekiranya anda menambah ciri terperinci seperti berikut:
“Sayang, abang nampak awak semakin berseri-seri bila pakai shawl maroon dengan dress ni.”
Ayat cinta yang diluahkan dengan ciri terperinci menunjukkan bahawa anda memberi perhatian lebih terhadap perubahan pasangan, malah anda benar-benar ikhlas memujinya.
1. Anniversary / Ulang Tahun Perkahwinan
Bagi pasangan yang telah berumah tangga, ulang tahun perkahwinan adalah tarikh yang istimewa. Ianya sering diraikan untuk menghargai pasangan masing-masing. Selalunya, mereka akan memberikan hadiah yang istimewa sambil menyelitkan sekali ucapan romantis untuk pasangan agar cinta mereka berputik kembali serta menghargai segala pengorbanan pasangan tersebut.
Berikut adalah contoh ayat-ayat cinta yang sesuai digunakan untuk anniversary perkahwinan anda.
“Setiap hari bersamamu adalah sebuah anugerah yang tidak ternilai. Namun, hari ini adalah hari yang lebih indah dan teristimewa kerana ia adalah hari ulang tahun perkahwinan kita. Happy Anniversary, Sayang! Semoga kita sentiasa bahagia dan kekal hingga ke Jannah.”
“Genap setahun kita membina rumah tangga yang bahagia. Semoga Allah sentiasa melindungi keluarga ini dengan perasaan cinta dan bahagia, sayangku ❤️.”
2. Hari Jadi Pasangan
Mengingati hari jadi pasangan juga merupakan salah satu cara untuk menunjukkan penghargaan anda terhadap pasangan. Raikan hari istimewa pasangan anda supaya ia menjadi kenangan manis buatnya. Ambil peluang terbaik ini untuk meluahkan ayat cinta kepada pasangan anda agar hubungan perkahwinan anda semakin erat.
Apabila anda ingin meluahkan ayat cinta tersebut, lihat suasana di sekeliling terlebih dahulu. Pastikan hanya anda berdua dalam ruangan tersebut supaya wujudnya suasana intim. Kemudian, perhatikan emosi pasangan anda – pastikan dalam keadaan tenang, stabil, dan tidak penat. Aspek ini penting untuk memastikan pasangan anda fokus dan mampu menerima luahan ayat cinta anda dengan sepenuhnya. Dengan ini, dia boleh merasai ketulusan dan keikhlasan anda. Contoh ayat cinta yang sesuai;
“Awak mungkin tidak sempurna. Namun, awak sering membuatkan saya rasa sempurna. Cinta inilah yang membuatkan kita sempurna dan saya bahagia kerana memilihmu. Happy Birthday, Sayang!”
3. Apabila pasangan anda berasa sedih dan merajuk
Bagi setiap institusi rumah tangga, pasti ada pasang surutnya. Apabila wujudnya perselisihan faham, pasti berlakunya situasi dimana pasangan anda berasa sedih atau merajuk. Cara yang terbaik untuk memujuk pasangan anda adalah dengan mengucapkan ayat cinta supaya memulihkan kembali hubungan perkahwinan anda.
Semasa memujuk, pastikan terdapat kontak mata, sentuhan (sama ada memegang tangan atau pelukan), dan gunakan intonasi serta nada yang lembut ketika berkomunikasi. ‘Validate’ emosi pasangan dengan mendengar luahan mereka, serta cuba memahami pasangan dari perspektif mereka.
Selepas itu, minta maaf sekiranya anda telah melukakan hati pasangan. Teruskan memujuk pasangan dengan meluahkan ayat cinta seperti berikut;
“Saya sedar yang awak dah banyak berkorban dalam hubungan kita, dan saya mungkin telah melakukan kesilapan. Tapi saya betul-betul sayangkan awak. Saya nak awak tau bahawa saya sangat menghargai awak dalam kehidupan saya.”
4. Meraikan kejayaan pasangan
Apabila pasangan anda mencapai impiannya, anda haruslah meraikan kejayaannya. Hargai penat lelahnya dalam usaha untuk mendapatkan kejayaan tersebut. Gunakan bahasa cinta pasangan anda untuk meluahkan kegembiraan dan sokongan anda terhadap kejayaannya.
Sebagai contoh, berikan hadiah kepadanya sebagai kejutan. Raikan kejayaan pasangan anda dengan ceria. Luahkan ayat cinta yang romatis serta ikhlas untuk menunjukkan bahawa anda berbangga dengan usaha serta pencapaian pasangan anda.
“Sayang, abang nampak betapa susahnya awak hendak mencapai sehingga ke tahap ni. Abang kagum dengan sikap awak dalam mengecapi impian awak, dan abang sangat berbangga dengan sayang. Tahniah, my dear wife!”
5. Pasangan sedang marah
Timbulnya perasaan marah dalam kehidupan berumah tangga bukanlah perkara yang luar biasa. Walau bagaimanapun, perasaan ini hendaklah dikawal agar tidak timbulnya perkara-perkara yang tidak diingini. Oleh itu, penting bagi setiap orang untuk mengetahui cara mengawal situasi apabila pasangannya sedang marah.
Pertama sekali, pastikan kedua-dua belah pihak dalam keadaan tenang. Gunakan kata-kata yang lembut sahaja ketika berbicara. Apabila hendak membincangkan tentang sebarang isu, elakkan daripada menggunakan perkataan “kenapa” dan gantikan dengan “apa”. Misalnya;
“Apa yang membuatkan awak marah sangat?” berbanding “kenapa awak marah sangat?”
Penggunaan “kenapa” memberi aura negatif dan bakal membuatkan pasangan anda lebih terasa, lalu membuatkan isu tersebut lebih sukar untuk dirunding dan mendapat penyelesaian.
Sekiranya langkah untuk berbincang tidak boleh diteruskan, teruskan usaha yang boleh membantu pasangan anda bertenang; seperti memeluk pasangan anda, mengucup dahinya, memberikannya segelas air, dan lain-lain. Cuba lakukan perkara yang boleh menunjukkan bahawa anda mengambil berat terhadap perasaannya.
Terdapat juga sunnah yang menyatakan;
“Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.”Sunan Abi Daud (4782)
Setelah itu, bincanglah perkara yang berbangkit dengan baik. Mulakan komunikasi dengan kata-kata penghargaan. Kemudian cuba memahami isu tersebut dari sudut pandangan pasangan anda dan cari jalan penyelesaiannya.
Contoh ayat cinta yang sesuai bagi situasi ini;
“Sayang tau kan bahawa abang sayang sangat pada awak. Awak adalah penyokong setia abang. Abang faham perkara ini yang membuatkan awak marah. Abang hargai yang awak cuba membincangkan perkara ini dengan baik…”
6. Pasangan merasa kurang keyakinan diri
Adakalanya, terdapat masa dimana pasangan anda mungkin merasa kurang keyakinan diri. Ia mungkin berpunca daripada perubahan fizikal atau sekeliling yang mendadak… dan dia mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan situasi tersebut. Ketika waktu tersebut, anda sebagai pasangan hendaklah berusaha untuk memulihkan kembali keyakinan dirinya agar pasangan anda tidak terjerumus dalam perasaan negatif itu begitu lama. Hal ini boleh membuatkan seseorang itu mengalami kemurungan yang serius.
Antara usaha yang boleh anda lakukan adalah seperti ‘post’ gambar pasangan di media sosial anda dan menulis caption yang menunjukkan penghargaan serta kata-kata yang boleh menaikkan semangatnya. Contohnya;
“Ciri keperibadian awak yang sentiasa berusaha selalu menjadi inspirasi buat saya. Saya percaya awak boleh melakukannya. Jangan bimbang, saya akan sentiasa menyokong dan membantu awak. Mari kita mengecapi impian awak bersama-sama.”
7. Menghargai pertolongan pasangan
Pasangan yang baik adalah pasangan yang ‘ringan tulang’ – dia akan menolong tanpa diminta kerana dia sedar bahawa sebahagian tugasan tersebut juga merupakan tanggungjawabnya. Namun begitu, menyampaikan penghargaan atas pertolongannya juga merupakan aspek yang penting dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga. Anda tidak perlu berpuitis untuk menghargai pertolongan pasangan anda. Cukuplah sekadar ucapan atau ayat cinta ringkas yang ikhlas, serta memaparkan rasa sayang dan penghargaan kepadanya.
Walaupun pertolongan pasangan anda kecil, jangan sia-siakan usahanya. Hargai setiap bantuannya. Ayat cinta anda akan memberi dorongan kepadanya untuk lebih rajin memberi pertolongan dalam hubungan perkahwinan tersebut.
Misalnya apabila suami anda memasak sarapan pagi;
“Thank you sayang sebab tolong masak breakfast hari ni. Tak sabar saya nak rasa masakan dari suami yang tersayang ni. Mesti sedap~”
8. Apabila berjauhan dengan pasangan
Sesungguhnya, kehidupan berumah tangga penuh dengan dugaan. Sebahagian besar pasangan diduga dengan perhubungan jarak jauh. Apabila berjauhan dengan pasangan, cara komunikasi yang terbaik adalah melalui panggilan telefon atau video, serta mesej. Ketika inilah masa yang paling baik untuk anda meluahkan ayat cinta agar hubungan perkahwinan anda lebih erat. Jujur dan luahkan apa sahaja yang tersimpan di hati anda. Contohnya;
“Sayang, I miss you sooo much😭 ~ Tak sabar nak balik ke sisi awak ❤️️!”
Kesimpulannya, kata-kata penghargaan atau ayat cinta yang diluahkan dalam perkahwinan mungkin dipandang remeh. Namun kesannya terhadap pasangan adalah besar kerana ia mampu mengubah kebahagiaan dalam sesebuah hubungan. Ia mampu mendamaikan hubungan serta memberi semangat terhadap pasangan anda dalam meneruskan kehidupan yang penuh cabaran ini dengan lebih bermakna. Perlu diingati bahawa orang yang memiliki bahasa cinta ini mudah terkesan dengan kata-kata. Oleh itu, elakkan daripada berkata-kata kasar yang berunsur negatif atau menghina kerana ia mungkin akan memberi impak negatif terhadap kehidupannya.
Ditulis oleh: Fasha Hilya