8 Mitos Dalam Perkahwinan Yang Kita Selalu Percaya

Apakah dimaksudkan dengan mitos?

Perkembangan pelbagai tamadun banyak bersandar kepada sesuatu simbol untuk dikagumi dan menjadi sebahagian asas untuk sesuatu kelompok manusia berpegang kepada identiti kaum; ini antara pandangan pengkaji sejarah dan ahli akademik. 

Seperti mana dewa Amaterasu dan cicitnya, Jimmu, dalam lagenda Jepun; Zeus dan Hades dalam lagenda Greece. Begitu juga dalam masyarakat Melayu adanya kisah Sang Kelembai dan Nakhoda Tanggang. Ini semua ceritera dahulukala atau mitos, yang disampaikan turun temurun dan dijadikan panduan hidup dan pengajaran darinya.

Mitos merupakan ‘cerita zaman dahulu yang dianggap benar’ atau ‘dongeng’; inilah definisi Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. Perkataan ‘mitos’ itu bersinonim dengan ‘legenda’, ‘dongeng’ dan ‘cerita karut’. Contoh mitos moden yang dipercayai ramai ialah, larangan menyatakan hasrat membeli kenderaan baru semasa berada hampir dengan kenderaan seidada kerana kononnya kenderaan sediada akan meragam kerana merajuk!

Punca mitos dalam rumah tangga 

Wujudnya mitos dalam perkahwinan asalnya bertujuan sebagai motivasi dan panduan dalam membina rumah tangga bahagia. Namun sudah semestinya mitos dalam perkahwinan ini tidak dapat disesuaikan dalam semua keadaan dan ke atas semua pasangan kerana semuanya berbeza.

Namun, ramai pasangan yang mempunyai pemahaman yang kurang tepat dan juga jangkaan yang tidak realistik mengenai perkahwinan mereka sendiri. Ada yang mengharapkan perkahwinan yang indah dan sentiasa bahagia, dan ia boleh menjadi punca kepada perceraian.

Mitos dalam perkahwinan 1:

“Perkahwinan itu bahagia hanya jika kehidupan pasangan itu sentiasa indah dan sempurna.”

Kehidupan yang indah dan sempurna adalah impian setiap insan, namun kehidupan yang sentiasa indah dan sempurna itu hanya wujud di syurga; ianya ganjaran di atas ketaatan dan ketaqwaan dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh dugaan dan cabaran.

Di alam berumahtangga tentu ada asam garamnya; asam dan garam itu sahaja rasanya tidak enak, namun masakan tidak akan menjadi enak juga tanpa asam dan garam. Pertengkaran yang berlaku atas perkara remeh turut menyumbang untuk lebih mengenali pasangan kita. 

Pertengkaran, bermasam muka, rajuk dan lain-lain bentuk luahan emosi merupakan satu bentuk komunikasi dan penyampaian mesej. Pepatah Melayu menyebut, ‘laut mana yang tidak bergelora dan bumi mana yang tidak ditimpa hujan’, begitulah juga kehidupan dalam setiap alam rumahtangga.

 Nabi Muhammad (s.a.w) yang begitu sempurna akhlaknya pun pernah terkesan dengan asam garam hidup berumahtangga – salah satunya dalam peristiwa fitnah ke atas isteri baginda, Saidatina Aisyah (r.a). Sikap Baginda terhadap Saidatina Aisyah (r.a) menjadi dingin sehinggakan Saidatina Aisyah (r.a) meminta izin Baginda untuk dia pulang dan tinggal di rumah ibunya buat sementara waktu – merajuk! Dalam satu peristiwa lain, pernah Saidatina Aisyah (r.a) meninggikan suaranya kepada Rasulallah (s.a.w) kerana perasaan cemburunya kepada Saidatina Khadijah (r.a). 

Berbahagialah dengan pasangan masing-masing dalam apa jua kekurangan dan ketidak sempurnaan. 

Mitos dalam perkahwinan 2:

“Perkahwinan akan menyelesaikan semua masalah”.

Perkahwinan dapat memudahkan jalan penyelesaian masalah namun bukan penyelesaian kepada semua masalah. Ini berhubung rapat dengan peranan pasangan dalam sesebuah rumahtangga. Contohnya, seorang yang mempunyai masalah penyakit kencing manis akan lebih mudah untuk mengawal pemakanannya hasil kawalan dan nasihat pasangan.

Begitu juga dengan seseorang yang pendapatannya tidak mampu untuk membayar hutang, namun kerana pasangannya menguruskan makanan dan pakaian, telah memudahkan si berhutang tadi membuat pekerjaan atau perniagaan sampingan dan membantu meningkatkan pendapatannya.

Perubahan dari alam bujang ke alam berumahtangga itu sendiri sedikit sebanyak memberi kesan atau masalah yang baru; tidak jauh dari teori fizik Newton, ‘for every action there is a reaction’. Kesepakatan dan kerjasama akan membuka jalan dan memudahkan penyelesaian masalah dan kesepakatan dan kerjasama yang terhasil dari satu ikatan perkahwinan itulah yang lebih stabil.

Mitos dalam perkahwinan 3:

“Persamaan antara pasangan akan menjanjikan kebahagiaan dalam rumahtangga.”

Hadis Rasulallah s.a.w yang bermaksud, “Pilihlah tempat yang baik untuk meneruskan keturunanmu dan kahwinkanlah mereka yang sekufu dan kahwinkanlah mereka.”; (hadis Riwayat al-Hakim 2/163). 

‘Sekufu’ dalam hadis ini bermaksud ‘sama’ atau ‘seimbang’. Namun huraian ulama mengenai hadis ini bukanlah meletakkan kewajipan dalam perihal ‘persamaan’ kedua-dua pasangan tersebut. Ianya lebih kepada mengesyorkan mencari pasangan yang serasi antara satu sama lain, bukanlah sama dari segi personaliti, kesukaan dan lain lain. 

Pada zaman dulu pasangan berkahwin atas aturan ibubapa tanpa peluang untuk bakal pengantin mengenali hati budi masing-masing maka sukar untuk mereka menilai keserasian antara satu sama lain. Keserasian bukan bermakna persamaan tetapi penerimaan perbezaan. Perbezaan antara pasangan tidak menganggu gugat kesefahaman dan kesepakatan ikatan sesuatu perkahwinan.

Mitos dalam perkahwinan 4:

“Kecurangan adalah punca kepada kegagalan perkahwinan”.

Kecurangan itu selalunya berlaku rentetan sesuatu permasalahan, samada faktor yang datang dari luar atau faktor dalaman pasangan (kekurangan atau sikap). 

Contohnya, ada pasangan yang kurang memberi perhatian apabila pasangannya bercerita menyebabkan yang suka bercerita akan selesa bercerita dengan orang lain. Ada juga pasangan yang hanya mendengar sahaja keluh kesah pasangannya yang kepenatan bekerja sedangkan urutan di bahu selama 3 minit pun boleh menghilangkan segala kepenatan itu. 

Banyak kegagalan perkahwinan yang berlaku berpunca dari masalah kewangan. Kesempitan hidup boleh mengganggu emosi dan boleh menimbulkan perasaan ‘inferiority’ (kekurangan diri) terutama bagi suami kerana dia menganggap dia gagal memberi nafkah kepada keluarganya. 

Mitos dalam perkahwinan 5:

“Apabila pasangan saya berubah, maka perkahwinan ini akan jadi lebih baik.”

Perubahan boleh dilakukan atas sesuatu yang boleh kita kawal. Seperti pergerakan kenderaan, orang yang mengawal atau memandu kenderaan yang boleh merubah arah kenderaan itu untuk ke kiri atau ke kanan, malahan boleh merubah kenderaan itu untuk berhenti atau bergerak. 

Kita mempunyai kawalan ke atas diri kita sendiri dan bukan ke atas orang lain; oleh yang demikian kita juga boleh merubah cara kita berfikir dan kita tidak boleh merubah cara orang lain berfikir. 

Walau bagaimana pun kita boleh melakukan sesuatu yang memberi kesan atau mempengaruhi orang lain untuk berubah; contohnya melalui nasihat, perbincangan atau pun dengan melakukan sesuatu yang menjadi tauladan kepada orang lain. Namun seringkali juga perubahan yang diharapkan itu berlaku secara perlahan – jangan letakkan harapan terlalu tinggi untuk melihat perubahan mendadak.

Mitos dalam perkahwinan 6:

“Perkahwinan yang gagal berpunca dari personaliti pasangan.”

Zaman sekarang, kebanyakkan pasangan telah pun mengenali personaliti masing-masing sebelum mereka memilih untuk mengikat hubungan mereka dengan perkahwinan. 

Tentunya terlalu janggal untuk kita katakan personaliti pasangan mengganggu atau menggugat kebahagiaan pasangan. Kekurangan dan kelemahan itu ada pada setiap insan, bak kata pepatah Melayu ‘gading mana yang tak retak’. 

Ramai yang mengatakan faktor utama mereka tertarik dengan seseorang kerana personalitinya, paras rupa merupakan faktor kedua. Tapi sebenarnya, perkahwinan yang kekal sehingga ke akhir hayat juga diuji dengan pelbagai konflik namun ianya ditangani dengan tekad untuk menyelamatkannya dan tidak membiarkan perkahwinan itu gagal. 

Ramai yang mengatakan faktor utama mereka tertarik dengan seseorang kerana personalitinya, paras rupa merupakan faktor kedua.   

Mitos dalam perkahwinan 7:

“Pasangan anda menyempurnakan diri anda.”

Di dalam surah al-Baqarah ayat 187, antara lainnya bermaksud, “…Mereka (para isteri) adalah pakaian bagi kalian (para suami), dan kalian (para suami) adalah pakaian bagi mereka (para isteri)…”. 

Pakaian di sini tidak membawa maksud menyempurnakan, tetapi membawa maksud ‘saling memerlukan’ atau ‘memberi ketenangan dan ketenteraman’. Hubungan pasangan suami isteri itu berbentuk ‘reciprocal’ atau ‘mutual’. 

Bila dia berfikir tentang makan pakai untuk dirinya, dia akan juga memikirkan tentang makan pakai untuk pasangannya. Hakikatnya, kita perlu sentiasa membaiki diri sendiri untuk mengecapi perkahwinan yang berjaya. 

Mitos dalam perkahwinan 8:

“Pasangan yang bahagia melakukan segalanya bersama.”

Ada satu mutiara kata yang menyebut, “A family that eats together, stays together,”yang bermaksud, keluarga yang makan bersama tidak akan berpecah. Lazimnya meja makan merupakan tempat berkomunikasi bagi sesebuah keluarga. 

Di meja makan akan terlihat keadaan kewangan keluarga, kesihatan, keceriaan ahli keluarga dan tempat untuk berbincang. Sikap peka dan mengambil berat tentang keadaan pasangan (atau ahli keluarga)  itulah yang akan membentuk kebahagiaan. 

Ada pasangan yang terpaksa berjauhan dan tidak dapat melakukan aktiviti bersama, namun sikap peka dan ambil berat tentang keadaan pasangan masing-masing tetap memberi kebahagiaan. 

Ditulis oleh: Saiful Anuar

Open chat
Masih bergaduh? atau menuju penceraian?
MySakinah
Assalamua'laikum 👋
Perkahwinan masih dalam fasa dingin/bergaduh atau dah menuju perceraian? Sebab kami ada program berbeza mengikut situasi anda. Kami sedia membantu. Chat dengan kami segera.