Adat Melayu yang tidak dituntut agama berkenaan dengan hal perkahwinan dan perceraian

Lumrah sebagai manusia yang hidup bermasyarakat, setiap daripada kita memiliki adat resam tersendiri. Kadangkalanya, kita lebih mementingkan adat resam perkahwinan berbanding perkara yang dituntut agama. 

Masyarakat Melayu juga begitu. Ramai yang berpegang teguh kepada adat, terutamanya dalam majlis perkahwinan.

Ada yang menganggap sesuatu majlis perkahwinan itu tidak lengkap sekiranya adat resam diketepikan. 

Adat Semasa Majlis Perkahwinan

Jelasnya, adat bagi majlis perkahwinan masyarakat Melayu agak meluas. Antaranya adalah berinai, pemberian wang hantaran, dulang hantaran (barangan), bersanding di atas pelamin, menghadiahkan doorgift (cenderamata) kepada tetamu, bunga telur, serta hiburan semasa majlis resepsi seperti kompang dan silat.

Tidak dinafikan, perkara ini sememangnya memeriahkan lagi sesebuah majlis. Namun, ia berkait rapat dengan kos yang perlu ditanggung sedangkan perkahwinan yang dituntut agama adalah mudah. Apabila perbelanjaan untuk perkahwinan menelan kos yang besar, hal ini akan membebankan pasangan pengantin.

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengharapkan kehidupan yang berkekalan bahagia. Walaubagaimanapun, kadangkalanya perpisahan tidak dapat dielakkan

Sebagaimana Allah SWT mensyariatkan perkahwinan dengan tujuan tertentu, begitu juga dengan pensyariatan talak. Yakni, Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya dalam hubungan yang tidak harmoni.

“Allah SWT tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kemampuannya”

Surah Al-Baqarah, Ayat 286

Perceraian bukanlah satu pengakhiran

Sesungguhnya, perceraian bukanlah sesuatu yang menamatkan kehidupan anda.

Sebaliknya, ia merupakan permulaan baru bagi seseorang dalam meneruskan kehidupannya; tanpa perlu berhadapan konflik rumah tangga yang sama.

Terdapat beberapa perkara yang sering dilakukan oleh masyarakat Melayu berkaitan dengan perceraian, namun ianya bukanlah perkara yang dituntut agama.

Bermusuhan dengan Bekas Pasangan

Jelasnya, setiap perpisahan adalah pahit bagi pasangan yang melaluinya. Namun begitu, ia bukanlah kebenaran bagi seseorang untuk bermusuhan dengan sesiapa. Hubungan silaturrahim sesama insan tetap harus dijaga. Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang inginkan rezekinya diluaskan dan dipanjangkan usianya, maka jalinkan hubungan silaturahim (dengan ihsan)”

Hadis Riwayat Bukhari & Muslim

Sekiranya bekas pasangan bermusuhan, hal ini akan memberi kesan terutamanya terhadap anak-anak dari pelbagai aspek. Contohnya berkaitan dengan hak penjagaan dan kebenaran bagi penjaga seorang lagi untuk menemui anaknya sendiri. Hal ini akan merumitkan keadaan dan akhirnya memberi impak kepada emosi dan psikologi anak-anak. 

Oleh itu, kedua-dua bekas pasangan haruslah menjaga hubungan yang positif demi memelihara kesejahteraan psikologi anak-anak yang sedang membesar. 

Menganggap Perceraian adalah Perkara Malang Atau Negatif Semata-mata.

Tanggapan ini adalah tidak benar sama sekali. Walaupun dalam perceraian, yakni terdapat banyak hikmah disebaliknya. Bak kata pepatah;

“Langit tidak selalu cerah, awan pula tidak selalu mendung.”

Selepas malam pasti datangnya siang. Selepas ujian, pasti datang nikmat-Nya.” 

Walaupun perpisahan adalah perkara yang menyedihkan, Allah SWT sentiasa bersama kita. Bersangka baiklah dengan Allah kerana kebahagiaan adalah hak milik semua insan. Namun, kita hendaklah memilih jalan dan bertindak untuk mendapatkan kehidupan yang kita idamkan. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” Surah Ar-Rad, ayat 11

Berhentilah berfikiran negatif dan cuba bermuhasabah diri. Perceraian yang berlaku seringkali berpunca dari kedua-dua belah pihak. Dengan ini, anda akan bangkit dengan lebih kuat lagi.

Tidak Melaporkan Perceraian kepada Mahkamah

Sejak kebelakangan ini, banyak kes yang dilaporkan dimana pasangan bercerai dan merujuk kembali tanpa kebenaran atau merujuk kepada mahkamah.

Pentingnya kebenaran mahkamah ini adalah bagi tujuan pengesahan dan ketentuan jumlah talak yang dilafazkan, serta baki talaknya. Sekiranya pasangan tersebut kurang arif tentang syariat agama, perbuatan mereka ditakuti akan melanggar syarak.

Menyalahkan Sebelah Pihak Sahaja

Perkara ini sering berlaku di kalangan masyarakat Melayu. Ibu bapa, saudara-mara, atau rakan-rakan hanya menyebelahi sebelah pihak tanpa mengambil tahu hal sebenar.

Sesungguhnya, perceraian selalunya terjadi berpunca dari kedua-dua belah pihak.

Kesudahannya, pihak satu lagi dipinggirkan dan tidak diberi peluang untuk berbuat baik atau membetulkan kesilapannya.

Pandangan Negatif Masyarakat Terhadap Status ‘Janda’ Atau ‘Ibu Tunggal’

Sesetengah masyarakat mempunyai pandangan negatif terhadap golongan berkenaan sehingga kadangkalanya berlaku diskriminasi. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada individu terbabit, malah juga kepada anak-anak di bawah jagaannya.

Kesanya termasuklah masalah stigma, ekonomi, emosi, hubungan dengan anak-anak serta bekas suami, dan banyak lagi. Hal demikian memberi impak mental yang besar untuk mereka bergerak bebas dalam masyarakat.

Oleh itu, pentingnya untuk kita menanamkan kesedaran yang mendalam pada diri dan masyarakat untuk mengelakkan daripada perkara-perkara ini berlaku. Dapatkan kaunseling rumah tangga sebelum berkahwin.

Ditulis oleh: Fasha Hilya

Open chat
Masih bergaduh? atau menuju penceraian?
MySakinah
Assalamua'laikum 👋
Perkahwinan masih dalam fasa dingin/bergaduh atau dah menuju perceraian? Sebab kami ada program berbeza mengikut situasi anda. Kami sedia membantu. Chat dengan kami segera.