7 Cara Pikat Kembali Hati Suami

Mudahnya nak pikat hati suami, ini 7 tip yang boleh korang cuba.

Walau bahtera perkahwinan sudah lama belajar, jangan sesekali lupa pentingnya memikat hati pasangan agar hubungan antara suami isteri kekal hangat dan romantis.

Ibarat ombak dan pantai, ada pasang surutnya. Begitu juga kehidupan berumahtangga. Ada yang bahagianya bukan kepalang, tapi ada yang deritanya tak juga berakhiran.

Ada ketika kita gembira, seronok berbunga bahagia. Tapi ada juga ketika kita dijentik sedikit ujian oleh Sang Pencipta. Bila segalanya berjaya diharungi walau penuh onak duri, percayalah hubungan itu menjadi makin indah dan erat bak berputiknya kembali sang cinta si jejaka dan gadis jelita.

Bila usia perkahwinan di awal permulaan, biasanya masing-masing berusaha mencari keserasian. Mencari dan mencari hingga kadang kala lupa apa yang dah dinikmati sebenarnya sebesar-besar rahmat.

Itu bagi perkahwinan baru yang diuji. Tapi bagaimana pula perkahwinan yang sudah capai usia satu dekad? Ada yang meluahkan rasa jemu kerana mengadap wajah yang sama setiap hari? Atau boleh jadi mungkin terlalu lama bertahan hingga sampai ke tahap yang tidak sanggup lagi untuk berkorban?

Cuba sehabis baik

Walau apa pun yang berlaku, bagi pasangan yang sedang diuji, bertahan dan teruslah melangkah. Cuba sehabis baik untuk mempertahankan mahligai yang telah dibina sekian lama agar mencapai ke destinasi seperti kita pernah berjanji di awal mula perhubungan dahulu.

Walaupun suami tonggak dalam rumahtangga, tapi peranan penting si isteri juga tidak boleh dipertikaikan. Isteri perlu bijak mengatur langkah memperbaiki hubungan rumahtangga. Jika merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam hubungan, cepat-cepatlah bertindak memperbaiki kelemahan itu agar hubungan kembali utuh.

Berbicara dengan suami hati ke hati dan tanya padanya, kenapa dia atau mungkin kita yang berubah. Andai isteri merasakan perubahan suami, inilah masalah anda tukar taktik serangan dengan mengambil kembali hatinya. Jangan hanya bertahan. Yakinlah, cara ini tidak pernah pernah salah andai anda tahu di mana titik kelemahan dan kelebihan suami.

Cara memikat hati sang suami

Ini antara tujuh tip mudah untuk pikat Kembali hati suami. Mana tahu lepas amalkan semua ini, hubungan kembali erat dan semakin utuh bak tersergam indahnya Taj Mahal.

1. Tingkatkan keyakinan diri

Orang yang berasa rendah diri dengan dirinya sendiri pasti membantutkan banyak perkara termasuk hubungan suami isteri. Rendah diri akan sentiasa dipengaruhi pemikiran negatif yang sedikit sebanyak menghadirkan perasaan dan prasangka tidak baik terhadap diri dan pasangan.

Merasa diri tak layak untuk suami, tak cukup baik untuk dia, tak layak menjadi ibu bapa pada anak-anaknya dan perlunya dia mendapat pasangan hidup lain yang jauh lebih sempurna dari kita merupakan perasaan orang yang tidak berkeyakinan.

Jika kita tidak cukup baik untuk suami, kenapa suami memilih kita sebagai suri sebelum ni? Jadi, singkirkan rasa rendah diri dan bina balik keyakinan untuk menangi hatinya kembali.

Percaya atau tidak, keyakinan diri merupakan senjata ampuh untuk pikat hati suami.

2. Ambil langkah pertama

Lenturkan ego dan mulakan langkah terlebih dulu sebelum mengharap pasangan lakukan. Jika hanya menunggu tindakan dari suami, mungkin kita terlepas peluang untuk bersama kembali. Lebih buruk, mungkin hubungan yang sepatutnya masih ada harapan terputus begitu sahaja.

Justeru, jangan biarkan ego membunuh hubungan kita. Harus difahami, ada lelaki atau suami yang kurang dalam tindakan terutama yang membabitkan hati dan perasaan. Kebiasaannya, ego orang lelaki lebih tinggi dan fikirannya juga lebih tertumpu pada perkara-perkara besar berbanding perkara kecil yang dianggapnya remeh.

Oleh itu, kita isteri yang perlu mulakan langkah pertama bagi memikat kembali hati suami. Mungkin, satu tindakan permulaan kita itulah menyelamatkan hubungan rumahtangga dan menyuntik kembali cinta yang bersarang di hati masing-masing.

3. Kerap ucapkan sayang

Kajian mendapati banyak pasangan yang berpisah kerana kurangnya ucapkan sayang. Bagaimana ucapan ini mempengaruhi hubungan suami isteri? Ucapan sayang dan romantik dalam hubungan suami isteri akan menguatkan lagi cinta yang ada.

Ada orang yang lebih selesa mempamerkan kasih sayang dengan tindakan dan dia tidak tahu bagaimana meluahkan perasaan. Namun ada sesetengahnya pasangan, hanya dengan tindakan dia sudah memahami orang itu menyayanginya.

Sebagai contoh, kebiasaannya isteri akan bertungkus lumus menyiapkan bekal untuk suami, menjaga makan pakainya, membantu daripada sudut kewangannya dan berkorban sebahagian hidupnya untuk apa? Tentunya kerana tanggungjawab dan rasa sayang. Begitu juga suami.

Tetapi ada pasangan yang tidak mengerti semua itu. Diungkitkan isteri tidak menyayanginya lagi, dipertikaikan rasa sayang serta setia si isteri. Maka terjadilah perbalahan kerana perkara remeh.

Jadi, anggaplah pasangan kita jenis yang suka dipamerkan rasa sayang dengan ucapan. Pikat hati suami dengan zahirkan rasa cinta dengan sesekali hadiahkan kad ucapan dan letak di tepi katilnya. Sesekali hantar kejutan dengan ayat-ayat cinta ke pejabat. Mesej dengan kata rindu sewaktu si dia bekerja. Dan begitulah selanjutnya.

Biarkan hati si dia berdebar-debar untuk ke pulang ke rumah bersua muka dengan si isteri kerana cintanya kian mendalam.

4. Jadi pendengar yang baik

Pikat hati suami tak susah mana. Dengarlah kata-katanya, cerita dia dan jadilah sahabat baik yang sentiasa di sisi. Ketika suami pulang bekerja, berilah layanan dan dengar celotehnya setelah seharian di pejabat. Meskipun hanya kisah remeh, jadilah pendengar yang setia, sesekali ketawa kepada jenaka lucu suami.

Kenapa lelaki suka melepak dengan kawan-kawan di kedai Mamak andai bukan kerana mereka suka interaksi semasa perbualan dan bercerita? Itulah yang perlu diterapkan dalam rumahtangga. Apabila isteri rajin mendengar cerita dan setiap jenaka yang diluncurkan daripada bibir, pasti masanya banyak dihabiskan di rumah. Dengan itu, banyak juga ruang dan peluang isteri untuk memikatnya kembali.

5. Pakai pakaian yang disukai suami

Setiap orang ada ‘taste’ tersendiri. Begitu juga dalam pemilihan pakaian dan minyak wangi. Bila kita suka, tidak kisah berapa kerap dipakai, pasti tidak jemu. Selidik fesyen yang digemari suami dan lakukan kejutan padanya. Iyalah, nak pikat suami mestilah bermula dari pandangan mata kan?

Sesekali terima pandangan suami dalam mebuat pemilihan. Selagi pakaian itu tidak melanggari batas agama, pakailah demi menggembirakan hatinya. Mungkin ada baju yang dibelinya, lama disimpan dalam almari tidak disentuh.

Saat sedang bergolak, ambillah baju itu dan gayakan kembali di hadapannya. Pasti suami tersentuh dan gembira kita menghargai pemberiannya. Begitu juga minyak wangi, sembur bauan kesukaannya dan mulakan perbualan ringkas dengan suami. Jangan disangkal keajaiban pakaian dan wangian, mungkin ini dapat menjadi titik tolak keakraban semula antara suami dan isteri.

6. Kurangkan tabiat membebel

Wanita dan bebelan berpisah tiada. Jarang nak jumpa isteri tidak suka membebel kan? Jika kita salah satu daripadanya, kurangkanlah tabiat itu. Tahan diri dan mulut daripada memberikan reaksi segera terhadap sesuatu perkara. Bebelan pada sesetengah orang membingitkan walaupun ia bukan ditujukan padanya.

Contohnya isteri membebel pada anak-anak rumah bersepah di hadapan suami. Pasti suami rasa bingit dan ada perasaan yang bebelan itu juga ditujukan padanya. Hal demikian buatkan suami tidak betah duduk di rumah dan merasakan keluar itu lebih baik.

Disebabkan itu hubungan semakin menjauh. Suami tidak lekat di rumah, isteri makan hati dan anak-anak kurang kasih sayang. Keadaan bertambah buruk dan makin membarah dalam rumahtangga andai tidak dibendung awal-awal.

Jadi isteri, andai nak pikat hati suami, kurangkan membebel.

7. Pikat dengan sentuhan

Sentuhan itu berbisa. Isteri patut tahu di mana titik sentuhan yang betul untuk suami. Sentuhan ini boleh jadi rutin dan boleh juga jadi istimewa sekali sekala. Contoh bersalaman, cium tangan, peluk dari belakang dan sebagainya itu adalah sentuhan rutin yang perlu dilakukan setiap pasangan.

Sentuhan istimewa mungkin berlaku di dalam bilik. Sentuhan di tempat tertentu dapat membangkitkan rasa betapa kuatnya cinta kita. Cuba praktikkan dan jadikan sebagai rutin sebelum tidur, peluk pinggang suami dan lena dalam dakapannya. Sejurus bangun pagi, kucup dada suami.

Walau bagaimanapun, ikhlaskan hati dan lakukan dengan penuh kelembutan. Insya Allah suami akan merasakan kembali kehangatan cinta si isteri.

Setiap yang renggang jangan disangka tidak boleh ditautkan kembali. Begitulah hubungan, setiap darinya pasti diuji. Tapi kematangan dan kasih sayang yang membezakan sama ada kita mahu harungi bersama ataupun tidak.

Letakkan landas-landas Islam dalam hubungan, contohi layanan isteri-isteri nabi, letakkan ego ketepi dan jalanilah kehidupan rumahtangga dengan seikhlas hati. Usah mengharap kita mendapat pasangan yang sempurna, tapi usahalah untuk sempurnakan diri dan pasangan. Pasti berkekalan hingga hujungnya. Insya Allah.

Masih buntu walau sudah lakukan semua Langkah yang dikongsikan? Sertai MySakinah untuk khidmat nasihat dan bantuan mengenai hubungan suami isteri.

Ditulis oleh: Noni Wahab

Open chat
Masih bergaduh? atau menuju penceraian?
MySakinah
Assalamua'laikum 👋
Perkahwinan masih dalam fasa dingin/bergaduh atau dah menuju perceraian? Sebab kami ada program berbeza mengikut situasi anda. Kami sedia membantu. Chat dengan kami segera.