21 Ciri-ciri lelaki yang baik untuk dijadikan suami

Dalam Islam, kita sememangnya dituntut untuk mencari pasangan yang memiliki keperibadian yang baik berbanding mengutamakan kedudukan, pemilikan harta, atau kecantikan paras rupa seseorang kerana ianya tidak akan berkekalan. Oleh yang sedemikian, di sini kami kongsikan 21 ciri-ciri lelaki yang baik agar dapat membantu anda untuk mengenal pasti lelaki yang sesuai untuk dijadikan suami.  

Lelaki yang baik 

Seringkali kita mendengar isu keretakan rumah tangga yang berpunca daripada sikap suami. Malangnya, ciri yang tidak baik pada lelaki tersebut membuatkan dia gagal melaksanakan peranannya. Inilah sebabnya mengapa anda perlulah mengenali ciri-ciri lelaki yang baik sekiranya ingin menjadikan si dia sebagai suami.

Pada zaman kini, pandangan tentang sifat lelaki ideal yang sesuai dijadikan suami agak berbeza berbanding pandangan Islam. Masyarakat sekular moden lebih mengutamakan status seseorang manakala Islam lebih menekankan kepada aspek keperibadian seseorang. Secara umumnya, lelaki yang baik membawa pengertian terhadap lelaki yang menyedari tanggungjawabnya serta tujuan kewujudannya di muka bumi ini. 

Ciri-ciri keperibadian yang baik mampu memberi impak positif bukan sekadar dalam institusi rumah tangga, malah terhadap masyarakat. Dari aspek kekeluargaan, ia dapat memberi kesan positif terhadap hubungan sesama pasangan, akhlak anak-anak, malah hubungan bersama ahli keluarga (mertua dan saudara mara).

Sifat-sifat lelaki ideal untuk dijadikan suami :

1. Jujur dan amanah 

Kejujuran merangkumi aspek ucapan dan perbuatan yang melibatkan maklumat serta kenyataan yang benar. Sifat ini adalah penting dalam setiap perhubungan kerana ia merupakan faktor yang menyumbang kepada kebahagian sesebuah rumah tangga.

Lelaki yang jujur akan membina rumah tangga yang kukuh disebabkan tiada wujudnya sikap prasangka buruk atau curiga sesama pasangannya. Hubungan mereka diberi kepercayaan penuh lalu menghasilkan institusi kekeluargaan yang lebih damai dan tenteram, dan semua masalah boleh diselesaikan dengan sikap terbuka.

Sifat amanah pula bergerak seiring dengan kejujuran. Amanah berkait rapat dengan kepercayaan  terhadap seseorang dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Dalam sudut kekeluargaan, lelaki diamanahkan untuk memimpin keluarganya. Sekiranya lelaki itu bersifat amanah, maka dia termasuk dalam golongan orang yang baik. 

2. Minda terbuka 

Lelaki yang memiliki ciri-ciri minda terbuka bermakna dia mampu menerima perbezaan dan pandangan orang lain, terutamanya si isteri. Kepentingan ciri ini bagi lelaki yang ingin dijadikan suami adalah kerana perkahwinan meliputi pelbagai dugaan dan cabaran yang perlu dihadapi bersama.

Walaupun suami memegang peranan kepimpinan, sikap keterbukaan dapat membantu pasangan tersebut dalam mengharungi permasalahan melalui  perbincangan yang terbuka. Apabila pendapat atau teguran dapat diterima dalam mencari jalan penyelesaian bersama, hubungan tersebut akan menjadi lebih kukuh.

3. Mempunyai sifat melindungi 

Berdasarkan sepotong ayat dalam surah An-Nisa; ayat 34 iaitu:

الرِّجَالُ قَوّٰمُونَ عَلَى النِّسَاءِ

Ia membawa maksud, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan”. 

Di sini, Allah SWT menekankan sifat “qawwam” terhadap lelaki dimana dia perlu bertanggungjawab memimpin dan melindungi ahli keluarganya. Secara fitrahnya, wanita akan berasa lebih tenang dan tenteram apabila merasakan bahawa dia dilindungi. Hal ini boleh dilihat melalui cara dia mengambil berat terhadap anda. 

Tanpa ciri ini dalam diri seorang lelaki yang ingin dijadikan suami, maka akan timbullah pelbagai kes keganasan rumah tangga seperti yang diperkatakan melalui berita ini

4. Matang 

Kita sedia tahu bahawa kematangan tidak boleh diukur berdasarkan usia. Menurut pakar motivasi, Datuk Prof. Dr. Muhaya Mohamad; kematangan seseorang boleh dikenal pasti menerusi beberapa tanda. Antaranya ialah seperti sikap lebih menilai diri sendiri berbanding orang lain sambil berusaha untuk menjadi lebih baik, serta menerima perbezaan pendapat dan sifat orang lain seadanya. 

Sifat matang menunjukkan bahawa lelaki itu bijak mengendalikan hubungan dan tahu mencari jalan penyelesaian dalam mengatasi masalah. Lelaki yang matang menyedari tanggungjawabnya terhadap diri sendiri dan keluarga. Oleh yang sedemikian, lelaki yang mempunyai ciri ini pasti tidak akan mempersia-siakan kehidupan isterinya.

5. Penuh kesabaran 

Ciri-ciri lain yang perlu diutamakan terhadap lelaki yang ingin dijadikan suami adalah kesabaran. Lelaki yang memiliki sifat sabar bermaksud mereka mampu menghadapi dugaan dengan tenang serta mengawal tindakannya, lebih-lebih lagi dalam isu perkahwinan dimana dia memegang tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga. 

Lelaki yang menitikberatkan sifat ini ternyata adalah lelaki yang baik kerana dia tidak akan membuat keputusan secara terburu-buru apabila menghadapi masalah. Apabila sudah berkahwin nanti, insya-Allah dia mampu memimpin serta menjadi teladan bagi keluarganya.  

6. Celik agama 

Lelaki yang celik agama peka dalam membezakan perkara baik dan buruk, berlandaskan konsep agama. Pentingnya ciri ini dalam sesebuah perkahwinan adalah disebabkan lelaki perlu memainkan peranan dalam membimbing keluarganya. Dia bertanggungjawab mendidik isteri serta anak-anaknya dalam perihal kehidupan dan agama supaya boleh berjaya di dunia dan akhirat. 

7. Penyayang 

Menurut kajian yang dijalankan oleh Siti Norlina, asas pembinaan keluarga yang bahagia adalah kebolehan dalam mencurahkan kasih sayang. Dengan berkasih sayang, hubungan kekeluargaan juga mampu dieratkan. 

Oleh itu, lelaki penyayang adalah ideal untuk dijadikan suami. Lelaki itu haruslah sentiasa melayan isterinya dengan baik dan menyayanginya walaupun dia tidak menyukai sebahagian daripada perbuatan isterinya. Sifat inilah yang sering didambakan oleh kaum hawa.  

8. Pendorong 

Seorang lelaki yang baik adalah pendorong kepada isterinya setelah mereka berkahwin. Ciri ini boleh dilihat apabila lelaki itu rela mendengar dan memahami situasi anda terlebih dahulu, sebelum memberi nasihat serta sokongan dalam menyelesaikan masalah. Dia juga akan turut serta berganding bahu bersama anda dalam usaha mengecapi matlamat anda. 

9. Penuh ilmu di dada 

Ciri ini membawa maksud bahawa lelaki yang baik haruslah memiliki ilmu dalam kehidupan serta mengetahui hak orang di sekelilingnya. Hal ini termasuklah tanggungjawabnya serta hukum agama yang berkaitan dengan kehidupannya (misalnya perihal nafkah apabila telah berkahwin). 

Sekiranya dia jahil, dia tidak mampu melaksanakan peranannya sebagai ketua keluarga lalu akan menyebabkan keruntuhan sesebuah rumah tangga.  

10. Takwa 

“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Al-Hujuuraat, ayat 13

Berdasarkan firman Allah SWT dalam potongan ayat di atas, orang yang bertakwa akan sentiasa peka terhadap perbuatannya kerana dia menyedari bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikannya. Maka, dia sentiasa berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu. Sifat inilah yang harus diutamakan dalam mencari lelaki yang ingin dijadikan suami. 

11. Tidak panas baran 

Sikap panas baran merupakan ciri yang tidak baik untuk dijadikan suami, malah perlu dielakkan sama sekali. Kenal pasti dahulu sama ada lelaki tersebut memiliki sifat ini sebelum anda membuat keputusan untuk hidup bersama. 

Ada beberapa cara untuk mengesan sama ada lelaki itu memiliki sifat panas baran atau tidak. Antaranya tandanya adalah dia sering memaki hamun, melakukan serangan fizikal, marah yang tidak dapat dikawal, dan banyak lagi. Ini menunjukkan bahawa orang yang bersifat panas baran seringkali akan hilang pertimbangannya apabila berasa marah. Semua ini akan membawa kesan negatif terhadap kehidupan anda sekiranya anda berkahwin dengannya.  

12. Akhlak mulia 

Lelaki yang berakhlak mulia pasti akan melayan pasangannya dengan baik. Salah satu cara untuk menilai akhlaknya semasa perkenalan adalah dengan memerhatikan bagaimana lelaki tersebut melayan orang sekelilingnya, lebih-lebih lagi ibu bapanya. 

Sifat ini penting demi memastikan institusi kekeluargaan anda dapat mengamalkan akhlak mulia secara berterusan, supaya dapat membentuk masyarakat yang positif.

13. Berfikiran positif 

Orang yang berfikiran positif lebih cenderung menjadi sentiasa gembira dan ceria kerana mereka memiliki pandangan baik terhadap kehidupan. Mereka tidak mudah berputus asa walaupun berdepan dengan masalah yang sukar, malah mereka akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaiannya. 

Ciri inilah yang perlu anda utamakan dalam mencari calon suami yang baik kerana ia membantu untuk memupuk hubungan yang sihat. 

14. Setia 

Tiada siapa inginkan hubungan yang dikhianati. Kesetiaan adalah sifat menepis godaan yang mendatang dengan tegas dan tidak melayan godaan tersebut. Ciri ini penting bagi lelaki yang ingin dijadikan suami kerana ia berkait rapat dengan kepercayaan dalam hubungan rumah tangga tersebut, lalu memberi kesan secara langsung terhadap kebahagiaan mereka.

15. Penuh kasih sayang 

Layanan yang baik menunjukkan bahawa lelaki itu penuh dengan kasih sayang. Setiap wanita akan merasa istimewa dan dihargai apabila diberi layanan penuh dengan kasih sayang. Kadangkalanya, cara lelaki menunjukkan kasih sayang jauh berbeza daripada jangkaan wanita. Oleh itu, kenalilah cara dia memaparkan kasih sayangnya kepada anda. 

16. Berduit 

Berduit di sini bukanlah bermaksud kaya raya. Ia bermakna bahawa lelaki tersebut pandai menguruskan kewangannya dan gigih berusaha untuk memperoleh rezeki. Ciri ini dapat membantu anda dalam menilai potensi serta keupayaannya untuk menanggung keluarganya. Hal ini dapat memastikan kehidupan perkahwinan anda pada masa akan datang lebih terjamin; dimana suami mampu menyediakan tempat tinggal serta nafkah kepada anda. 

17. Pemurah 

Lelaki yang baik juga perlu memiliki sifat pemurah. Walaupun sudah menjadi tanggungjawab suami untuk menanggung perbelanjaan keluarga dan nafkah, apa salahnya jika dia lebih prihatin dengan berkongsikan rezekinya demi menggembirakan isterinya. 

18. Kelakar dan suka berseloroh

Perwatakan serius sepanjang masa bukanlah ciri ideal untuk dijadikan suami. Ada masanya, ciri-ciri kelakar dan suka berseloroh ini dapat menceriakan lagi kehidupan perkahwinan. Orang sebegini mudah membahagiakan pasangannya kerana dia bijak mengambil hati isterinya. 

19. Bercita-cita tinggi

Orang yang bercita-cita tinggi memiliki pandangan yang jauh. Ciri ini baik untuk lelaki yang ingin dijadikan suami kerana ia menunjukkan bahawa dia mempunyai matlamat untuk menjadi lebih baik dan maju ke hadapan. Malah, ia juga menunjukkan bahawa lelaki tersebut ingin bersungguh-sungguh untuk memperbaiki keadaan semasanya demi menjadi lebih berjaya. 

20. Berkeyakinan tinggi 

Dalam sesuatu perhubungan, sifat ini membuatkan lelaki itu lebih bersifat terbuka untuk menceritakan masalahnya kepada pasangan. Walaupun menghadapi dugaan, sikapnya ini akan membantunya supaya tidak berputus asa dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Ciri ini juga akan membuatkan anda lebih yakin terhadapnya kerana dia boleh diharap dalam membuat sebarang keputusan.  

21. Sayang kepada anda 

Setiap wanita pastinya berasa bahagia apabila mengetahui bahawa pasangannya sentiasa menyayanginya. Namun begitu, kasih sayang mungkin ditunjukkan dalam pelbagai cara yang tersendiri. Dalam suatu perhubungan, kedua-dua pasangan itu tidak semestinya memiliki  ‘bahasa cinta’ yang sama. Maka, kenalilah bahasa cinta masing-masing supaya anda tidak terlepas daripada menyedarinya.

Ditulis oleh: Fasha Hilya