Dilema suami bergaji rendah

Ini antara kata-kata yang biasa kita dengar dan mutiara kata ini biasanya menjadi justifikasi atau alasan dalam kita menolak kebendaan atau dalam mempertahankan prinsip. Begitu juga dalam mempertahankan cinta yang berbeza dan terpisah oleh kedudukan ekonomi si dia.

Money is not everything. Money can’t buy happiness.”

Ada perkahwinan yang dibina di mana sebelum berkahwin lagi isteri memang sedia maklum bahawa bakal suaminya bergaji rendah; dan ada juga keadaan dimana kedudukan ekonomi suami atau sumber kewangannya terjejas dan menurun setelah mereka berkahwin.

Dalam situasi pertama, kemungkinan besar isu ini telah dibincangkan oleh kedua-dua pihak dan sudah ada perancangannya, namun dalam situasi kedua, pasangan mungkin tidak bersedia untuk menghadapi realiti sedemikian dan seterusnya akan menggugat kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga.

Namanya pun rezeki, dan ia penuh rahsia. Ada orang mendapat rezeki yang banyak hitungannya namun tidak merasa nikmatnya; dan ada orang mendapat rezeki yang sedikit hitunganya namun sangat bahagia dengannya dan merasa serba cukup.

Bagi suami yang gajinya lebih rendah dari isteri, tentulah ianya merupakan sesuatu yang mengganggu perasaan kerana antara naluri suami yang normal ialah menyediakan segala jenis kesenangan buat isteri dan menggembirakan hati isteri.

Kaum lelaki itu adalah pemimpin (yang bertanggungjawab) terhadap kaum wanita kerana Allah melebihkan sebahagian daripada mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) kerana mereka (lelaki) menafkahkan sebahagian daripada harta mereka…”

Surah an-Nisa, ayat 24, Allah berfirman (bermaksud)

Di dalam surah al-Baqarah, ayat 24, Allah berfirman (bermaksud):

“Dan ibu-ibu hendaklah menyususi anak-anaknya selama dua tahun sempurna, bagi sesiapa yang ingin menyempurnakan penyusuan itu; dan ke atas ayahnya (hendaklah) dia memberi rezeki (nafkah) kepada si-ibu dan pakaian untuknya dengan cara yang baik (sesuai untuknya).

Di dalam satu hadis (Riwayat Abu Daud – 1692), Rasulallah (s.a.w) bersabda, “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggung jawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.”

Dari rujukan yang dinyatakan tadi, maka memang jelas bahawa Islam meletakkan tanggungjawab menjaga, memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, satu kewajipan ke atas suami dan mengabaikan tanggungjawab itu merupakan satu dosa.

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menulis dalam al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, (10/7349) menyatakan bahawa majoriti ulama berpendapat bahawa nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, makanan, barang-barang dapur, pakaian, tempat tinggal, peralatan untuk membersihkan diri, barangan rumah dan pembantu kepada isteri (pembantu rumah) jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu.

Perihal wang dan pendapatan isteri

Kebanyakan isteri tidak berkira dengan suami dan sangat terbuka untuk berkongsi rezeki mereka dengan suami dan anak-anak. Namun janganlah sikap pemurah isteri ini mendorong suami untuk memindahkan tanggungjawab memberi nafkah atau memenuhi keperluan asas keluarga itu kepada isteri.

Konflik rumahtangga yang terkait dengan isu ini boleh terjadi dari pelbagai sebab, antaranya, emosi suami yang terganggu oleh kerana rasa rendah dirinya; atau suami yang tidak mengatur perbelanjaan rumahtangga yang membuatkan isteri merasakan hasil penat lelah dia bekerja dibelanjakan sepenuhnya untuk keperluan rumah tangga manakala gaji suami dibelanjakan untuk dirinya sendiri.

Ada juga keadaan di mana emosi isteri tertekan kerana suaminya berasa selesa dengan keadaan demikian dan tiada usaha untuk merapatkan jurang perbezaan gaji mereka.

6 cara untuk menangani konflik yang berpunca dari suami bergaji rendah

1. Suami perlu berusaha untuk keluar dari situasi tersebut

Ada situasi dimana sang suami suami menerima gaji yang tidak setimpal dengan kelulusan atau pengalamanya. Dalam keadaan ini suami perlu berterusan memohon pekerjaan lain yang menawarkan gaji yang setimpal.

Jika suami bergaji rendah kerana kelulusan pendidikan yang rendah, beliau harus mencari peluang untuk meningkatkan taraf kelulusan pendidikannya, atau menyertai kursus latihan kemahiran, (ya, zaman sekarang kemahiran tinggi dibayar lebih lumayan dari kelulusan akademik!). Yang penting, usaha.

2. Suami hendaklah mendahulukan perkara yang wajib

Pengetahuan meletakkan keutamaan itu penting, seperti membezakan dan memberikan keutamaan kepada yang wajib dari yang sunat. Bersedekah itu amalan yang mulia namun keutamaannya adalah kepada kaum kerabat (keluarga) sendiri.

Isteri lebih menghargai sikap tanggung jawab suami dalam menguruskan perbelanjaan rumah tangga, dari hadiah mahal dari suami setahun sekali.

3. Suami tidak boleh mengambil duit isteri

Disebabkan suami dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah kepada isteri, sudah tentulah suami dilarang mengambil duit atau harta isteri.

Biasa juga kita dengar, ada suami yang menyangka mereka berhak ke atas sebahagian dari harta atau gaji isteri kerana mereka telah ‘memberi izin’ untuk isteri keluar bekerja; ini suatu pandangan yang silap dan tiada asas.

4. Sokongan dan penerimaan daripada isteri

Amat besar perasaan malu suami yang mengemudi rumahtangga dalam keadaan tidak berkemampuan untuk meyara keluarga sepenuhnya – dia paling malu kepada isterinya sendiri.

Ada juga yang keluar bekerja seharian dan cuma makan apabila pulang ke rumah, demi untuk memenuhi tanggung jawabnya. Bagi seorang suami, dalam menghadapi perit getir kehidupan atau permasaalahan, sokongan moral dari isteri amat penting, namun janganlah suami ambil mudah sekiranya isteri meminta suami berusaha untuk berjimat atau menambah pendapatan.

5. Budi bicara ihsan isteri untuk membantu

Jika melihat isteri bermurah hati untuk membantu meringankan beban kewangan dalam menguruskan rumahtangga, berterima kasihlah dan hargailah, kerana itu semua adalah atas kemurahan dan ehsan isteri dan jangan sekali-kali menganggap itu sebahagian dari kewajipannya.

Bagi isteri yang membantu suami dari harta atau gajinya, dia akan diberi ganjalan pahala oleh Allah s.w.t malahan ianya merupakan dari tingkatan pahala sedekah yang terbaik, berdasarkan hadis;

Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu.”
Riwayat Muslim (995)

6. Berbincang perihal keinginan isteri mahupun suami

Dalam surah al-Isra’, bermula dari ayat 26 Allah berfirman (bermkasud), “Dan berikanlah kepada kaum kerabat yang dekat akan haknya…” dan selanjutnya pada ayat 28, Allah berfirman (bermaksud),

Dan jika kamu berpaling dari mereka untuk memperolehi rahmat (rezki) daripada Tuhanmu yang kamu harapkan, maka katakanlah kepada mereka dengan ucapan yang lemah lembut.”
Dalam surah al-Isra’, bermula dari ayat 28

Subhanallah. Ayat yang memerintahkan untuk membelanjakan (memberi nafkah) kepada mereka yang dibawah tanggungan kita namun Allah Maha Mengetahui adanya mereka yang rezekinya sempit, maka Allah menyuruh agar mereka berbicara secara lemah lembut, berbincang secara baik, dengan orang-orang yang di bawah tanggungannya.

Para suami yang berada dalam situasi bergaji rendah, berbincanglah dengan isteri tentang pengurusan perbelanjaan. Jangan boros dan berikan perbelanjaan menurut kemampuan.

Pengajaran dari kehidupan Rasulullah

Ambil juga pengajaran bahawa Saidatina Khadijah (r.a) mengahwini baginda Rasulallah (s.a.w) sewaktu dia seorang ahli perniagaan yang kaya dan Baginda Rasulallah (s.a.w) pula membantu menguruskan perniagaannya. Islam tidak memberatkan seseorang itu perkara yang di luar kemampuannya.

Begitu juga para suami, setelah berusaha mendapatkan rezki yang halal dan berkat, mereka hanya dituntut memberikan apa yang mereka mampu. Allah berfirman (bermaksud),

Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa), Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”
Surah at-Talaq, ayat 7

Di tulis oleh: Saiful Anuar.

Open chat
Masih bergaduh? atau menuju penceraian?
MySakinah
Assalamua'laikum 👋
Perkahwinan masih dalam fasa dingin/bergaduh atau dah menuju perceraian? Sebab kami ada program berbeza mengikut situasi anda. Kami sedia membantu. Chat dengan kami segera.