Tips Cabaran Perkahwinan Semasa Raya Sebagai Isteri

Hari raya adalah hari yang cukup dinantikan bagi kebanyakkan orang terutama kanak-kanak dan ibu ayah di kampung. Tetapi, bagi pasangan yang ada masalah rumah tangga, raya adalah masa yang paling serabut dan tertekan. 

Ada yang masih dilema dengan perkahwinan sendiri terutama masa raya. Ada pula yang memikirkan raya kali ini mungkin raya terakhir bersama keluarga. 

RESET EXPECTATION

Untuk melalui fasa krisis semasa raya, sebagai isteri anda perlu reset expectation bahawa perkahwinan anda sekarang TIDAK seperti perkahwinan yang normal kerana fokus dan peranan telah berubah disebabkan oleh tinggal berasingan. 

Anda mungkin keliru dengan peranan isteri samada perlu ke pujuk atau mengambil semula hati pasangan? Sebenarnya ketika krisis, anda hanya perlu fokus untuk tidak memburukkan keadaan dengan menjaga air muka suami di depan ramai orang.

Analogi perkahwinan anda sekarang boleh disamakan seperti perang di Ukraine. Pada awalnya, keadaan harmoni dan tenang. Tetapi apabila berlaku peperangan, keadaan menjadi huru-hara. Ia memerlukan masa untuk pulih dan banyak jiwa terkorban. 

Begitu juga, ketika dalam fasa krisis terutama semasa raya banyak perkara yang akan menambahkan stress anda. Oleh itu, anda perlu:

  • FOKUS kepada perkara yang anda BOLEH KAWAL dengan melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan. 

NEGATIVE SENTIMENT OVERRIDE

Kajian menunjukkan, pasangan yang stuck dalam krisis perkahwinan akan mengalami Negative Sentiment Override (NSO). NSO adalah perasaan, tindakan dan respon yang hadir disebabkan oleh seseorang yang terperangkap dengan perasaan negatif yang berpanjangan tanpa ditangani dengan baik seperti marah, kecewa, atau sedih. Akhirnya, segala tindakan dan perbuatan mendapat reaksi negatif.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Negative Sentiment Override, lihat artikel ini. 

TAHAP KRISIS PERKAHWINAN 

Terdapat 4 fasa krisis perkahwinan sebelum perceraian. 

Fasa Pertama: Anda atau pasangan mula berfikir tentang perceraian.

Fasa Kedua: Anda atau pasangan meluahkan hasrat untuk bercerai.

Fasa Ketiga: Anda atau pasangan melakukan perkara kearah perceraian seperti tidur berasingan atau tidak tinggal serumah.

Fasa Keempat: Anda atau pasangan membuat keputusan muktamad untuk bercerai. 

________________________________________________________

Berikut merupakan masalah yang dihadapi isteri semasa musim perayaan dan tips yang praktikal untuk isteri berdasarkan tahap krisis perkahwinan yang dialami. 

MASALAH KEWANGAN

Nak beli baju raya untuk anak, tapi..

Fasa Pertama: 

  1. Kawal cara berfikir supaya tidak overthinking. 

Semakin banyak anda stuck dengan fikiran anda, semakin tinggi peluang untuk anda bersangka-sangka kepada suami. Akhirnya ia akan mempengaruhi hubungan anda dan suami.

❌ Monolog isteri: “Suami aku ni, senyap je nak raya ni.. Baju raya budak-budak pun takde lagi.. dah nak habis puasa dah ni.. Kalau takde duit untuk beli baju budak-budak, entah ke manalah dia spend duit dia. Ni mesti kes mak minta lagi. Kalini apa pula alasan orang tua tu..hey suami aku pula, tang anak bini sure berkira..”

✅ Monolog isteri: “anak-anak aku ni tahun ni puasa penuh. Teringin lah nak belikan baju raya untuk dorang.. Better aku bincang dengan suami kalau dia ok..”

  1. Berterus-terang kepada suami tanpa perli  tentang keperluan anak-anak. 

❌ “Hai awaknya, tengok budak-budak tu tak nampak ke baju dah makin singkat?” 

“Abg, tahun ni anak-anak dapat puasa penuh. Dorang pun cepat membesar. Banyak baju yang dah tak muat. Kalau bajet bulan ni ok, kita beli baju raya untuk dorang ok tak?”.

  1. Terima realiti kemampuan kewangan keluarga. 

Apa sahaja respon suami selepas anda meluahkan dan berterus-terang, anda perlu menerima kemampuan kewangan suami. 

Sekiranya suami bersetuju dengan cadangan anda, carilah keperluan mengikut bajet yang bersesuaian berbanding jenama atau keluaran mana. 

“ishh awak ni,, tak habis-habis cakap takde duit.. dah tu, pergilah buat kerja part time ke.. Takkan tu pun tak reti? saya muaklah dengan awak ni.. Macam ni ke jadi bapak?”.

“Kalau macam tu, tak mengapa abg. Nanti saya usahakan tengok baju budak-budak yang masih ok untuk pakai lagi.. Terima kasih abg, sebab dah berusaha cari nafkah untuk kami sebaiknya”.

  • Ambil inisiatif untuk terangkan pada anak sekiranya keadaan kewangan tidak mengizinkan. Apabila raya, tidak semestinya perlu pakai baju baru. Memadai pakai pakaian yang terbaik.

“Kakak, adik.. Ibu ayah tak dapat nak sediakan baju raya baru tahun ni.. Sebabnya haritu baru je beli barang sekolah kan? Kita guna baju yang ada je ya.. Lagipun ibu tengok baju dalam almari cantik lagi tu..”.

  1. Anda boleh tukar cara hargai anak dengan mengajak anak:
  1. Masak makanan kegemarannya. 
  2. Mandi sungai bila balik kampung nanti. 
  3. Peluk, puji dan berikan sentuhan fizikal kepada mereka. 

Fasa Kedua, Ketiga & Keempat: 

Kebiasaannya, apabila suami isteri berada dalam fasa krisis, keperluan dan hubungan dengan anak-anak masih terjaga. Tetapi, suami berkemungkinan sukar membelanjakan duit untuk isteri disebabkan oleh rasa tidak puas hati disebabkan oleh Negative Sentiment Override. 

Tindakan yang isteri perlu lakukan:

  • Beritahu suami untuk menyediakan keperluan anak-anak semasa raya.

❌ “Awak, saya tak heran tau duit awak tu. Yang saya tahu, raya ni anak-anak mesti ada baju raya. Pandai-pandai awaklah fikir sendiri nak buat macam mana.”

“Awak, dah nak raya ni. weekend bila tak kerja, awak keluarlah dengan anak-anak. Bawa dorang cari baju raya. Untuk saya tak perlu.”

  1. Maklumkan kepada suami untuk raikan dan hargai anak-anak raya ini sebaiknya supaya menjadi kenangan terindah untuk anak-anak andai kata ini merupakan raya terakhir anda dan keluarga. 

❌ “Saya takde moodlah nak fikir pasal raya. Kita pun dah nak bercerai kan? Awak buatlah hal awak sendiri. Budak-budak tu pakai jelah apa yang ada.”

“Saya tahu mungkin hubungan kita dah tak lama sebagai suami isteri. Tapi kita tetap ibuayah anak-anak. Bukan mudah untuk anak-anak terima realiti nanti. Tapi sekurangnya untuk raya ni, boleh kita bagi yang terbaik untuk anak-anak? Saya cadang nak belikan baju raya dorang. Tapi guna duit awak”. 

MASALAH DENGAN SUAMI

Gaduh nak bincang balik raya mana

Fasa Pertama & Kedua: 

  1. Berfikir sebelum bercakap. Anda perlu fokus kepada tujuan perbincangan dan elakkan emosi mengawal diri

Anda boleh mulakan inisiatif untuk berbincang. Tetapi anda tidak boleh mengawal suami untuk bersetuju dengan cadangan anda kerana ia akan mengeruhkan keadaan. 

  1. Menerima realiti situasi giliran raya

Sekiranya dari awal perkahwinan sudah setuju untuk balik secara bergilir, terima dengan berlapang hati. Giliran lambat atau cepat, tujuan balik raya untuk ziarah keluarga tetap akan tercapai. 

  1. Berterus-terang dengan suami sekiranya anda ada keperluan untuk utamakan giliran keluarga anda. 
  2. Minta izin untuk dapat balik berbuka dengan keluarga di kampung sekiranya raya ini giliran raya bersama mentua. 

Fasa Ketiga & Keempat: 

  1. Buat kompromi dan persetujuan dengan mengambil jalan tengah berdasarkan pilihan anak-anak nak beraya di kampung mana.
  2. Be rational supaya anak-anak tidak menjadi mangsa. 

Serumit apa pun masalah anda dengan suami, anak-anak tetap memerlukan kasih-sayang dan perhatian ibu ayahnya. Ini bermaksud, setiap keputusan yang anda dan suami buat, akan memberi kesan kepada anak-anak.

Suami tak bantu persiapan raya 

Tidak dinafikan bahawa kemuncak kepenatan seorang isteri adalah dibulan Ramadan dan apabila Syawal menjelma. Sekiranya semua perkara isteri perlu tanggung dan lakukan sendiri, isteri akan mudah burn out.

Jadi, perkara yang isteri perlu lakukan untuk menjaga diri dan emosi ialah: 

Fasa Pertama: 

  1. Set limit dan reset peranan suami isteri.  

Kadang, bukan suami tidak mahu membantu. Tetapi, isteri tidak menyedari kesilapan diri yang: 

  1. terlalu banyak mengarah, 
  2. membetulkan apa yang suami buat dan 
  3. membebel sehingga suami rasa isteri boleh buat sendiri. 

Akhirnya, semua tugasan rumah dan uruskan anak-anak dilakukan oleh isteri sendirian. Kesannya isteri melihat bahawa suami tidak berperanan dan pemalas. 

Jadi, bahagikan tugas dengan suami dengan persetujuan bersama. Kalau isteri uruskan hal di dapur, minta bantuan suami untuk jaga anak-anak. 

  1. Gunakan pendekatan yang lembut untuk meminta bantuan suami dengan cara:
  1. Mulakan dengan penyataan “saya”

“awak ni tak peduli langsung dengan saya. Saya penat tahu tak uruskan rumah sorang-sorang”.

“Saya rasa lebih dihargai bila awak dapat tolong saya”.

  1. Bertenang dan tidak membebel supaya mesej utama anda kepada suami dapat difahami olehnya. 

Fasa Kedua: 

  1. Reset expectation bahawa anda dan suami ketika dalam krisis sukar untuk menjalankan peranan seperti perkahwinan yang normal. Anda perlu menghadkan tugasan di rumah mengikut kemampuan diri. Kurangkan expectation untuk melihat keadaan rumah kelihatan sempurna. 
  2. Ketika berkomunikasi, beritahu secara jelas apa keinginan anda dan tidak menunding jari kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan dan sukar mencapai kata sepakat. 

Sekiranya anda merasakan sukar untuk berbincang, PAUSE kan seketika perbincangan tersebut untuk memberi masa kepada diri supaya bertenang.

Fasa Ketiga & Keempat:

  1. Dapatkan perkhidmatan part-time cleaner untuk membantu anda mengemas rumah menjelang raya. 
  2. Lakukan aktiviti dengan melibatkan anak-anak

Semasa krisis, anda tidak mempunyai semangat dan tenaga untuk membuat persiapan raya seperti waktu biasa perkahwinan. Jadi, anda boleh melakukan aktiviti mengemas bersama anak. Anda boleh menggalakkan anak membantu anda dan berikan reward melalui penghargaan anda kepada mereka. Lakukannya dalam keadaan yang menyeronokkan.

MASALAH DENGAN ANAK

Anak-anak tak nak raya asing 

Sekiranya anda dan suami bersetuju untuk tidak beraya bersama disebabkan oleh krisis yang berlaku, anak-anak pasti akan terkesan dengan keputusan tersebut. 

Fasa Pertama & Kedua:

  • Stop overthinking.

Apabila anda sudah memikirkan dan meluahkan tentang perceraian, anda akan mula berasa tidak selesa dan sebolehnya nak mengelak dari beraktiviti atau beraya bersama suami. Anda perlu kawal tindakan, perasaan dan fikiran anda. Kerana ia akan mempengaruhi diri anda dan akhirnya tempias kepada anak-anak. 

  • Berikan perhatian kepada anak-anak.

Mungkin sukar untuk anda mendapatkan semula cinta yang semakin pudar dari suami. Tapi ketahuilah, anak-anak sangat merindukan dan mengharapkan cinta dan kasih sayang anda sebagai ibu. Jadi, berikan perhatian anda kepada anak-anak dengan mengajak anak-anak buat aktiviti bersama seperti menyediakan kuih raya kegemaran mereka. Berikan wajah anda yang ceria dan gurauan bersama mereka. 

  • “Wayang” raya.

Apa jua masalah yang anda hadapi dengan suami, cuba untuk bertindak dengan akal yang waras. Bukan emosi. Cuba sedaya upaya untuk turunkan sekejap ego diri agar dapat meraikan anak-anak raya ini walaupun terpaksa buat-buat ok dengan suami semasa raya. Berikan raya yang terbaik sebagai keluarga kepada anak-anak.

Fasa Ketiga & Keempat:

Bahagian ini adalah cadangan tindakan yang boleh dilakukan oleh isteri mengikut usia anak-anak.

  • (6-9 tahun): Tidak perlu berterus-terang dengan anak-anak

Anda dan suami sudah tekad untuk berpisah dan tak raya bersama. Sedangkan anak-anak tidak memahami apa yang berlaku antara anda dan suami. Jadi, anda perlu memberikan alasan yang bersifat double meaning kepada anak-anak. Contohnya: 

✅ “Kakak, adik.. Raya ni kita balik kampung naik bas dengan ibu ya.. Ayah balik ‘nanti’ sebab ayah kena work.”

  • (6-13 tahun): Bahagikan giliran masa raya anak dengan pasangan

Sekiranya kampung anda dan suami berdekatan atau dalam satu negeri, anda boleh bergilir dengan suami untuk raya bersama anak dalam sehari. Mungkin waktu pagi anak-anak beraya dengan anda dulu supaya anda dapat siapkan pakaian terbaik untuk mereka. Bila petang, giliran suami pula. 

Tapi sekiranya kampung berlainan negeri, anda boleh bahagikan giliran masa raya anak-anak dengan pasangan beberapa hari kemudian. 

Apa pun, giliran tersebut pastilah yang bersesuaian dengan situasi anak-anak dan mudah dari segi logistik.  

  • (6-13 tahun) Cipta kenangan raya anak-anak

Kebiasaan bagi keluarga yang sedang krisis, tak tahu nak buat apa selepas solat raya. Dari menghabiskan masa dalam bilik dengan handphone atau tengok tv, anda boleh bawa anak-anak buat aktiviti luar bersama mengikut kemampuan kewangan. Cadangan aktiviti seperti:

  • Pergi shopping mall. Jalan-jalan makan aiskrim.
  • Mandi sungai di kampung.
  • Bermain di theme park.
  • Tengok wayang.

Anda juga boleh bawa bersama sepupu yang anak-anak rapat untuk join aktiviti tersebut supaya anak tak terasa sangat kalau anda dan suami tak raya bersama. 

untuk mengetahui tentang double meaning, rujuk artikel ini

MASALAH DENGAN MENTUA

Tak nak jumpa orang sebab keluarga dingin 

Fasa Pertama & Kedua:

Beritahu pada diri: “Dear myself, raya setahun sekali je. Tak apa kalau rasa tak selesa nak balik jumpa in law. Fasa ini sekejap saja. You can do it.”

Sekiranya anda rasa ada perkara yang akan mencetuskan kemarahan atau kesedihan anda, segera tinggalkan perkara tersebut dan lakukan deep breathing supaya emosi anda lebih terkawal. 

Kalau anda perlu ‘lari’ sekejap ke tempat lain untuk menyendiri, buat saja dan lepaskan kemarahan atau kesedihan disitu. 

  • Berterus-terang dengan suami.

Jangan expect suami boleh baca fikiran anda. Anda perlu berterus-terang keperluan dan keinginan diri kepada suami dengan pendekatan yang berhemah dengan cara:

  1. Angkat status suami dan tunjukkan yang anda perlukan dia.

“Awak, saya perlukan sokongan awak untuk balik kampung awak nanti. Saya tak ready nak jumpa keluarga awak dan risau kalau saya tak boleh control diri.’’

  1. Sekiranya ada perkara yang tak diingini berlaku, jangan menyalahkan orang lain atau menjatuhkan air muka suami kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.

Fasa Ketiga:

    1. Elakkan masa kosong dengan cara:
      1. Berikan perhatian kepada anak-anak. Ingat! Jangan nampak sangat yang anda cuba mengelak kalau balik kampung. Perlu balance dengan suasana raya. 
      2. Sibukkan diri dengan aktiviti seperti cuci pinggan di dapur atau topupkan kuih raya dalam balang.
  • Hadkan komunikasi dengan keluarga.

Semasa di kampung, kalau anda rasa kekok untuk bersembang, cukup sekadar:

  1. Bersalaman dan bertanya khabar. 
  2. Tidak perlu bercerita perkara yang boleh membuka aib keluarga. 
  3. Elakkan dari puaskan hati orang (avoid people-pleasing). 
  4. Segera tukar topik dengan beri perhatian kepada anak-anak. 

Sekiranya ada keluarga mentua atau ipar yang akan membuat provokasi terhadap anda dengan mengatakan: 

“Kau bukan isteri yang baik”

“Kau tak pandai jaga suami”

“Kau bukan menantu pilihan aku”

Tinggalkan kejap apa yang anda tengah buat. Kalau duduk di dapur, pergi keluar sambil minum air atau hirup udara luar.

Anda tak perlu cuba untuk ‘blend in’ dengan mereka dan ‘telan’ kata-kata tersebut. Tenangkan diri dengan istighfar dan banyakkan berdoa. Fokus jalankan tanggungjawab anda dan jadi diri sendiri. 

Rasulullah saw bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاليَومِ الآخِرِ، فَلْيَقُلْ خَيْراً أَوْ لِيَصْمُتْ

“Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam”. 

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Fasa Keempat:

Ketika dalam fasa ini, pastinya ahli keluarga dan mentua sudah maklum tentang hubungan anda dan suami. Sekiranya anda tidak pulang beraya, ia tidak menjadi masalah. 

Tetapi sekiranya anda mahu meraikan anak-anak beraya di kampung mentua, anda boleh praktikkan tips-tips sebelum ini. 

PENUTUP

Apa jua yang anda rasakan mengenai perkahwinan anda saat ini terutama bila raya menjelang, ia bukanlah waktu untuk terus menyalahkan diri, pasangan atau takdir. 

Anda hanya perlu belajar untuk mengendalikan masalah dengan rasional agar tidak membiarkan emosi mengambil alih dan menguasai perkahwinan anda.

Sebagai manusia, tugas kita adalah berusaha untuk memperbaiki keadaan dan terus bergantung harap kepada Allah. Selagi kita ada Allah, selagi itu ada bantuan dariNYA. Apa jua resultnya nanti, serahkan kepada Allah. Allah yang tentukan. Sekurang-kurangnya anda tidak menyesal nanti. Sebab anda dah buat yang TERBAIK dalam perkahwinan.  

Sekiranya anda memerlukan Bantuan Profesional untuk selamatkan perkahwinan, klik sini.

Open chat
Masih bergaduh? atau menuju penceraian?
MySakinah
Assalamua'laikum 👋
Perkahwinan masih dalam fasa dingin/bergaduh atau dah menuju perceraian? Sebab kami ada program berbeza mengikut situasi anda. Kami sedia membantu. Chat dengan kami segera.