Niat sebelum bernikah dan semasa dalam perkahwinan adalah penting untuk membantu kita mendapatkan konsep yang jelas tentang hubungan tersebut demi meneruskan kehidupan yang lebih harmoni.
Seperti hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim;
“Segala amalan adalah berdasarkan niat.
Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan.
Justeru, sesiapa yang penghijrahannya adalah menuju kepada Allah dan RasulNya, maka penghijrahannya adalah kepada Allah dan RasulNya.
Sesiapa yang penghijrahannya kerana dunia yang bakal diperolehi atau kerana wanita yang bakal dikahwini, maka penghijrahannya adalah penghijrahan yang menuju kepada apa yang diingininya.”
Berdasarkan hadis yang disebutkan di atas, ia membawa maksud bahawa setiap niat yang kita tetapkan… hendaklah dilakukan demi mencari keredaan Allah SWT.
Maksud Niat
Secara umumnya, semua perbuatan kita akan dimulakan dengan niat. Niat dalam perkahwinan yang diperkatakan bukan sekadar melibatkan pasangan yang baru ingin bernikah, malah ia juga merupakan aspek yang penting bagi mereka yang telah lama melayari bahtera perkahwinan.
Niat secara ringkasnya bermaksud keinginan atau kehendak; yang meliputi tujuan sebenar atau matlamat yang kita impikan dalam setiap tindakan (perbuatan) yang dilaksanakan.
Pembaharuan niat pernikahan atau perkahwinan amat penting untuk diketengahkan dalam setiap hubungan perkahwinan demi menambah baik kualiti perkahwinan tersebut. Dengan kata lain, tinggalkan versi lama hubungan anda bersama pasangan… dan seterusnya berusaha lebih gigih untuk menambah baik hubungan perkahwinan semasa – dengan niat yang baru dan lebih jelas kerana ianya lebih sesuai bagi kehidupan semasa anda. Seperti moto yang diketengahkan oleh mySakinah;
“Grow together be better.”
(Hidup bersama sambil menjadi versi diri yang lebih baik)
Kepentingan Niat
Pasti anda tertanya-tanya apakah kepentingan niat dalam pernikahan atau perkahwinan. Niat sebenarnya memberikan nilai bagi setiap perbuatan yang kita lakukan, berdasarkan motif, objektif, atau tujuannya. Apabila ‘sebab’ bagi sesuatu tindakan yang kita lakukan itu jelas, maka kita akan berasa lebih positif dalam kehidupan perkahwinan walaupun dilanda perkara yang tidak diduga.
Selain itu, niat juga membantu kita dalam proses menciptakan tabiat atau amalan yang baik dalam diri kita. Niat menjadi panduan kerana kita perlu sentiasa mengamalkan amalan yang seiring dengan niat.
Adakah perlu untuk kita ‘update’ niat dalam hubungan perkahwinan dan meneruskan kehidupan dengan niat yang telah diperbaharui?
Manusia dan kehidupan sentiasa berubah seiring masa. Oleh itu, niat kita sebelum ini tidak akan mampu memenuhi keperluan hidup semasa kita. Begitu juga dengan kehidupan berumah tangga, ianya tidak pernah statik. Malah ia boleh berkembang menjadi lebih baik ataupun menjadi lebih buruk; bergantung kepada tindakan kita. Makanya, niat yang sentiasa diperbaharui akan dapat membantu kita melihat matlamat dengan lebih jelas serta mengubah tindakan serta cara kita untuk mencapai matlamat tersebut.
Niat juga adalah salah satu aspek yang diutamakan dalam agama Islam kerana ia mampu membantu kita dalam membezakan ibadah daripada adat (perbuatan kebiasaan) atau ibadah-ibadah yang lain. Dalam konsep agama Islam, setiap niat bagi ibadah yang dilakukan hendaklah ikhlas kerana Allah SWT. Ia memainkan peranan penting dalam menentukan tujuan bagi setiap amalan kita. Pentingnya niat yang ikhlas bagi amalan seseorang itu adalah agar amalannya diterima dan diberkati oleh Allah SWT.
5 Cara Menetapkan Niat
Penetapan niat yang baik akan menghasilkan kesan yang positif, dengan izin Allah. Apabila anda memulakan sesuatu perbuatan dengan niat yang betul, tindakan serta tingkah laku anda pasti akan selari dengan niat tersebut.
Mulakan semua perbuatan dengan niat yang baik. Sebagai contoh;
“Aku berniat __(perbuatan)__ agar __(tujuan / matlamat)__.”
Niat yang ditetapkan mestilah mengenai diri anda, bukannya berkenaan pasangan anda dan apa yang mereka boleh lakukan. Fikirkan tentang hasrat, cara, dan sumbangan anda untuk menjadi pasangan yang lebih baik dalam hubungan atau rumah tangga anda.
Langkah yang terbaik adalah dengan menetapkan niat serta matlamat akhir – demi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Apabila anda mencari keredaan Allah dalam setiap perbuatan, pasti kehidupan anda lebih diberkati dan dirahmati olehNya.
Dalam ruangan kali ini, kami ingin berkongsikan beberapa cara untuk menetapkan niat dalam hubungan pernikahan atau perkahwinan.
1. Ambil masa untuk fikirkan arah tuju perkahwinan anda
Luangkan masa untuk memikirkan tentang matlamat utama bagi hubungan perkahwinan anda, tidak kiralah sama ada anda baru hendak bernikah ataupun telah lama mendirikan rumah tangga. Setelah anda mengenal pasti matlamat utama hubungan tersebut, maka lebih senang untuk anda menetapkan niat yang jelas.
Bagi pasangan yang beragama Islam, adalah lebih baik untuk kita fokuskan kepada matlamat utama berdasarkan kehidupan di akhirat kerana jelasnya ia merupakan kehidupan abadi bagi kita semua selepas kematian nanti.
Sebagai contoh, matlamat utama seseorang itu adalah agar seluruh ahli keluarga dikumpulkan dan ditempatkan di syurga Firdaus. Oleh yang sedemikian, sebarang niat yang ditetapkan dalam usaha penambahbaikan hubungan perkahwinan hendaklah seiring dengan matlamat utama tersebut serta tidak mengganggunya.
2. Pastikan niat tersebut adalah realistik dan boleh dicapai
Niat yang ditetapkan dalam pernikahan atau perkahwinan mestilah realistik dan mampu dicapai. Niat yang tidak realistik hanya akan menimbulkan kekecewaan dan masalah dalam hubungan rumah tangga kerana mengharapkan perkara yang jarang berlaku dalam realiti… untuk menjadi kenyataan.
Hal ini sering berlaku lebih-lebih lagi apabila sebelah pihak memasang niat untuk mengubah pasangannya, sedangkan pasangan tersebut belum bersedia untuk mengubah dirinya sendiri. Ketahuilah bahawa Allah telah menjadikan manusia di muka bumi ini bukannya dalam keadaan sempurna. Seseorang itu pasti akan melakukan kesilapan dalam kehidupannya. Namun, dengan izin Allah SWT… dia akan menyedari kesilapannya dan berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Sesungguhnya setiap manusia sentiasa mengimpikan untuk menjadi versi diri yang lebih baik dari semasa ke semasa.
Cara yang terbaik untuk mengatasi perkara ini adalah dengan mengubah perspektif kita; tumpukan lebih terhadap kebaikannya atau kelebihannya. Selain itu, fokus kepada diri anda untuk memajukan serta menambah baik diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Apa yang penting lagi, iringi setiap niat dan perbuatan anda dengan doa.
3. Pastikan juga niat anda spesifik
Selain itu, spesifikasi niat juga penting bagi membantu anda untuk melihat matlamatnya dengan lebih jelas. Sekiranya niat anda terlalu kabur atau umum, ia akan menyukarkan anda untuk mengenal pasti tujuan sebenar perbuatan anda daripada niat tersebut. Sebagai contoh;
“Saya mengidamkan perkahwinan yang bahagia.”
Berdasarkan perkataan ‘bahagia’ itu sahaja, apakah yang dimaksudkannya? Apakah konsep bahagia yang diperkatakan, kerana perspektif setiap orang adalah berbeza. Adakah bahagia yang datangnya dari segi pemilikan harta yang banyak bersama pasangan, menikmati momen indah bersama, membesarkan anak bersama-sama, atau lain-lain?
Niat yang spesifik dalam konteks ini bermakna perkara yang boleh diukur atau dilihat hasilnya, supaya kita boleh lihat semula kemajuan yang telah dikecapi. Misalnya;
“ Saya mengimpikan perkahwinan yang bahagia, dimana kita akan mempunyai duit simpanan sebanyak RM15,000 pada tahun ke-5 perkahwinan kita. Lepas tu, kita akan pergi menunaikan umrah bersama-sama pada tahun tersebut. Jadi, saya akan mula berjimat dan menabung dari sekarang.”
Berdasarkan niat tersebut, jumlah wang simpanan dan tempoh masa yang ditetapkan merupakan perkara yang boleh diukur. Oleh itu, anda boleh merancang tindakan dengan lebih teliti dalam usaha mengecapi matlamat yang ditetapkan. Apa yang penting, pastikan niat tersebut realistik dan anda mampu untuk berpegang kepadanya serta melakukannya.
4. Kongsikan niat dengan pasangan anda
Terdapat banyak kelebihannya apabila anda berkongsikan niat bersama pasangan. Pertamanya, pasangan anda memahami dengan lebih jelas bagi setiap tindakan anda. Suami / isteri yang baik pasti akan menyokong niat pasangannya. Apabila pasangan anda mengetahui tentang niat tersebut, dia boleh berganding bahu untuk menolong anda mengecapi matlamat utama anda.
Tambahan pula, anda bakal mendapat penasihat yang setia dan jujur. Jika niat dan tindakan anda tidak sesuai untuk mencapai tujuannya, pasangan anda boleh memberi jalan penyelesaian berdasarkan pandangan. Malah, pasangan anda juga boleh memberi nasihat sekiranya dia melihat anda ‘lari’ daripada niat asal yang ditetapkan. Dengan itu, anda boleh kembali bertindak seiring dengan niat dalam perjalanan mengejar matlamat utama tersebut.
Seringkali, niat pernikahan atau perkahwinan akan melibatkan kesan terhadap hubungan kedua-dua belah pihak pasangan suami isteri. Apabila anda berkongsikan niat tersebut bersama pasangan, pastikan niat tersebut tidak mengganggu matlamat serta falsafah hidup masing-masing.
5. Kenal pasti apa yang tidak kena dalam kehidupan anda sebelum ini
Langkah terbaik sebelum menetapkan niat dalam hubungan perkahwinan adalah dengan mengenal pasti terdahulu masalah dalam kehidupan rumah tangga anda. Ia merupakan langkah yang penting bagi menambah baik hubungan setiap pasangan. Adalah lebih baik jika setiap masalah diselesaikan sehabis baik berbanding mengelak daripada menghadapinya.
Imbas kembali kehidupan seharian anda, adakah sebarang perkara yang anda lakukan… yang bercanggah dengan prinsip dan niat anda. Sebagai contoh, kita ungkai semula berdasarkan situasi daripada contoh niat spesifik yang diberikan di atas;
Anda telah menetapkan niat untuk solat berjemaah bersama ahli keluarga anda pada tahun hadapan, namun, anda berasa malas dan tidak bersemangat malah untuk menunaikan solat sekalipun dan anda sedar kepimpinan yang terbaik adalah melalui teladan. Jelasnya, perkara ini bukanlah membantu dalam menuju ke arah matlamat anda dan anda kenalpasti kekurangan anda menghalang anda dari mencapai gol anda.
Oleh yang sedemikian, proses renungan kembali dan mengenal pasti perkara-perkara yang membantu serta tidak membantu ke arah niat asal anda secara berkala – boleh menyedarkan anda terhadap prioriti sebenar anda. Kekalkan perkara yang membantu dalam mengusahakan niat anda, dan ubah secara perlahan perkara yang tidak membantu. Setelah anda mengenal pasti punca serta masalahnya, fikirkan jalan penyelesaian bagi mengecapi matlamatnya… dan sertakan ia ke dalam niat anda.
Kesimpulannya, niat perlulah diberikan perhatian yang sebaik-baiknya dalam setiap amal, perbuatan, dan tindakan yang dilaksanakan. Hal ini penting bagi memastikan setiap usaha dan amalan yang dilaksanakan agar tidak menjadi sia-sia. Yakni, setiap niat yang baik dan ikhlas dalam mencari keredaan Allah pastinya akan diiringi dengan bantuan serta rahmat Allah SWT. Apabila sesuatu perkahwinan itu dirberkati Tuhan Yang Maha Esa, maka kehidupan dalam institusi keluarga tersebut akan menjadi lebih harmoni.
Ditulis oleh: Fasha Hilya