Dalam kehidupan kita, istilah keluarga sempurna tidak wujud kerana kita sendiri sebagai hamba Allah tidak diciptakan untuk menjadi sempurna. Sesungguhnya sifat sempurna itu adalah milik Allah SWT sahaja. Namun begitu, kita masih boleh melihat kewujudan keluarga yang bahagia… walaupun mereka mengharungi kehidupan yang penuh pancaroba. Rasa bahagia tersebutlah yang mencetuskan kedamaian serta ketenangan dalam hubungan perkahwinan mereka. Hal ini menunjukkan bahawa keluarga tersebut memiliki ciri-ciri perkahwinan yang berdaya tahan.
Menurut Gottman, 69% daripada konflik rumah tangga datangnya dari masalah yang berterusan (dalam perhubungan tersebut). Manakala 31% yang selebihnya berpunca dari masalah yang boleh diselesaikan. Masalah yang berterusan itu dikatakan sebenarnya berlandaskan daripada perbezaan personaliti atau keperluan kehidupan individu dalam hubungan rumah tangga tersebut. Oleh yang sedemikian, ia menunjukkan bahawa setiap perhubungan pasti akan menghadapi masalah.
“ Life isn’t living without problems. Life is about solving problems”.
Masalah bukanlah perkara yang buruk semata-mata. Malah ia merupakan perkara yang memberi pelbagai pengajaran kepada kita, sama ada kita sedar ataupun tidak. Walau bagaimanapun, cara kita menghadapi dan menangani masalah itulah yang penting kerana ia memberi kesan terhadap kehidupan kita.
Bagi membina hubungan rumah tangga yang berdaya tahan, kita perlu mengenal pasti ciri-ciri perkahwinan tersebut terlebih dahulu agar kita boleh mempelajari serta mengaplikasikannya dalam kehidupan kita.
Maksud Rumah Tangga yang Tenang dan Berdaya Tahan
Perkahwinan yang berdaya tahan membawa maksud rumah tangga yang mampu menangani masalah dan kembali berdiri, walaupun hubungan tersebut menghadapi pelbagai dugaan. Dalam hubungan rumah tangga ini, pasangan suami isteri sanggup menghadapi dan menempuhinya bersama-sama. Di samping itu, kita juga perlu menitikberatkan aspek kemaafan kerana ianya bergerak seiring dengan aspek berdaya tahan dalam sesebuah hubungan perkahwinan.
Ketenangan dari aspek kekeluargaan pula boleh bermaksud perasaan aman atau damai yang kita rasakan dalam kehidupan berkeluarga. Rumah tangga yang harmoni pastinya terdiri daripada isteri serta anak-anak yang menjadi penyejuk mata. Hal ini juga diketengahkan dalam firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Al-Furqaan: Ayat 74)
Ayat ini merupakan doa yang sering diamalkan bagi mereka yang ingin mencari pasangan hidup. Allah mengajar kita bahawa pasangan dan anak-anak yang menjadi penyejuk mata inilah yang terbaik bagi memperolehi kehidupan berkeluarga yang sakinah.
Sejak akhir-akhir ini, banyak kes perceraian bagi perkahwinan dalam masyarakat Melayu yang dilaporkan berlaku. Hal ini membuktikan bahawa kebanyakan ikatan yang dijalin tidak memiliki sifat daya tahan yang kukuh. Oleh yang sedemikian, usaha memupuk daya tahan dalam perkahwinan sememangnya penting bagi mempertahankan institusi rumah tangga anda.
Pada ruangan kali ini, kami ingin berkongsikan bersama anda tentang ciri-ciri perkahwinan yang tenang dan berdaya tahan. Semoga ianya bermanfaat untuk diaplikasikan dalam hubungan rumah tangga anda. Antara ciri-cirinya adalah seperti berikut.
1. Memupuk Sifat “Rahmah” (Belas Kasihan) terhadap Satu Sama Lain
Berdasarkan firman Allah SWT:
”Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati (sakinah) dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah Ar-Rum: Ayat 21)
Aspek “Rahmah” dalam perkahwinan telah pun diketengahkan melalui surah ini. Allah menyatakan bahawa sifat rahmah merupakan salah satu tanda kekuasaan Allah SWT. Malah, ia hanya dapat diketahui dan dirasakan oleh golongan yang berfikir.
Menurut kajian Norsaadiah Din dan rakan-rakannya, perasaan kasih sayang dan belas kasihan dalam suatu perkahwinan tersebutlah yang menjadikan ketenangan kepada jiwa, memberi kekuatan jasmani dan rohani, serta kemesraan hati nurani dan ketenteraman dalam hubungan suami isteri. Justeru itu, pasangan berkahwin hendaklah sentiasa memupuk sifat belas kasihan terhadap pasangan masing-masing demi menjamin keharmonian rumah tangga. Menurut Saadiah juga, ego bagi kedua-dua belah pihak hendaklah direndahkan demi memulakan pemberian kebaikan dan kasih sayang.
Selalunya, individu akan bertindak balas terhadap kebaikan pasangannya. Apabila seseorang itu membantu pasangannya dalam kerja rumah, maka pasangan tersebut akan membalas kembali perbuatan itu dengan penuh keikhlasan serta penghargaan. Hal ini menunjukkan bahawa mereka memiliki sifat simpati dan empati dalam hubungan rumah tangga mereka. Mereka memiliki hubungan emosi yang kuat dan ini membolehkan mereka saling menyokong sama sendiri tanpa berkira.
2. Menggunakan Pendekatan yang Lembut apabila Berhadapan dengan Konflik
Selain itu, pendekatan yang lembut lebih memberi kesan yang mendalam terhadap suatu perhubungan, lebih-lebih lagi sekiranya pasangan anda memiliki sifat yang sensitif. Sekiranya seseorang itu menggunakan pendekatan lembut semasa pertengkaran atau konflik, hubungan mereka bersama pasangan akan menjadi lebih stabil dan bahagia. Ia membolehkan hubungan rumah tangga mereka memiliki daya tahan yang lebih tinggi.
Menurut Leslie dari Gottman Institute, pendekatan yang lembut berfungsi untuk melindungi anda dan pasangan anda daripada merasa diserang atau bertindak balas secara defensif. Ia merupakan cara yang terbukti berkesan untuk mengemukakan sebarang perselisihan faham, kebimbangan, isu, aduan, atau keperluan… tanpa menyalahkan atau menilai keperibadian pasangan anda.
Malah, kita boleh lihat sendiri bahawa dalam Islam juga mengambil berat tentang pendekatan yang bercirikan lemah lembut. Sebagai contoh, dakwah yang disebarkan oleh Rasulullah SAW tidak pernah dilakukan secara paksaan. Rasulullah SAW lebih menonjolkan contoh keperibadian yang mulia dimana ia menjadi salah satu sebab utama mengapa ramai masyarakat yang berminat untuk memeluk Islam.
Disebalik lelaki yang responsif semasa menghadapi konflik, selalunya dia memiliki pasangan yang menggunakan pendekatan secara lembut. Pendekatan ini mengelakkan sebarang tindakan kritikan, defensif, kebencian, pengabaian, atau agresif semasa pertengkaran/konflik berlaku. Hal ini membuatkan komunikasi anda bersama pasangan menjadi lebih teruk oleh disebabkan unsur negatif yang diselitkan. Konflik anda bukan sahaja semakin sukar untuk diselesaikan kerana pasangan berkecil hati dengan tindakan anda, malah hubungan anda berdua akan menjadi semakin tawar.
3. Mengalami Lebih Banyak Interaksi Positif Berbanding Interaksi Negatif daripada Konflik
Menurut kajian John Gottman, beliau mendapati bahawa hubungan yang unggul dapat dinilai berdasarkan keseimbangan interaksi positifnya yang melebihi interaksi negatif. Beliau menyatakan bahawa “magic ratio” perkara tersebut adalah 5:1. Ini bermakna bagi setiap interaksi negatif yang pasangan tersebut hadapi, mereka juga mengalami 5 interaksi positif.
Hal ini membawa maksud bahawa pasangan dalam perhubungan tersebut memiliki emosi dan tindakan yang lebih positif berbanding negatif kerana mereka memiliki sentimen yang positif terhadap pasangan mereka.
4. Sikap Toleransi
Toleransi antara pasangan bermaksud individu dalam hubungan perkahwinan tersebut mempunyai sikap bertolak ansur dari pelbagai aspek. Ia bukan sahaja merangkumi perangai atau tindakan pasangan, malah ia juga melibatkan sikap bertolak ansur terhadap ketidakselesaan (kondisi kehidupan, gaya hidup, dll).
Sikap toleransi yang dipupuk dalam hubungan suami isteri juga merupakan ciri perkahwinan yang berdaya tahan. Bagi pasangan yang mempunyai sikap toleransi, sebarang konflik yang berlaku tidak akan menjejaskan hubungan mereka kerana masing-masing sanggup bertimbang rasa serta berusaha untuk memahami satu sama lain. Sikap ini membolehkan mereka menyesuaikan hidup bersama pasangan dengan harmoni kerana masing-masing saling hormat-menghormati keputusan pasangannya.
Bagi individu yang memiliki sikap ini, mereka lebih bersedia untuk menerima pengaruh berbanding melawannya (pengaruh) kembali. Selain itu, mereka memiliki cara yang sihat untuk membincangkan masalah yang berterusan dalam hubungan perkahwinan mereka.
5. Kemahiran dalam Membetulkan Keadaan
Dalam setiap perhubungan, pasti akan timbulnya keadaan yang bermasalah seperti salah faham. Keadaan ini akan menjejaskan perkahwinan sekiranya dibiarkan berlarutan dan tidak diselesaikan.
Oleh itu, kemahiran dalam membetulkan keadaan juga termasuk dalam ciri perkahwinan yang berdaya tahan. Pasangan suami isteri yang sanggup berusaha untuk memulihkan kembali situasi yang bermasalah serta mempunyai kemahiran dalam menangani perkara ini menunjukkan bahawa mereka memiliki hubungan berdaya tahan yang tinggi. Malah, hal ini menunjukkan bahawa mereka mementingkan hubungan yang dimiliki.
6. Proses Mengurangkan Perasaan Negatif
Perasaan negatif dalam perkahwinan meliputi perkara yang meluas. Sebagai contoh, perasaan negatif tersebut boleh merangkumi sifat cemburu, ketidakpuasan hati yang dipendam, dan pelbagai lagi perkara yang melibatkan kesan terhadap hubungan rumah tangga itu sendiri.
Perasaan tidak berpuas hati dengan tindakan atau kelakuan pasangan adalah perkara biasa dalam setiap perhubungan. Walau bagaimanapun, memendam perasaan tersebut tanpa meluahkannya lebih mendorong kepada pengumpulan perasaan negatif dalam diri individu tersebut. Walaupun anda menyangka ia akan hilang sekiranya ianya dipendam, sebenarnya anda tersilap. Ia tidak akan lenyap sekiranya anda tidak menyelesaikannya, malah ia mungkin akan menyebabkan kesan buruk yang lebih mendalam terhadap orang lain di sekeliling anda (misalnya anak-anak).
Oleh yang sedemikian, sekiranya anda mengalami perkara ini… belajarlah untuk menanganinya dengan berdepan dan menyelesaikannya. Walaupun anda berasa marah atau memendam perasaan negatif terhadap pasangan anda, cubalah untuk melakukan aktiviti bersama. Gunakan masa tersebut untuk memahami pasangan anda dari perspektif lain atau meluahkan perasaan negatif anda kepada mereka agar anda berdua menemui jalan penyelesaiannya bersama. Selain itu, anda boleh mencuba salah satu kaedah 10 “B” (bertenang, beribadat, berfikiran positif, dll) dalam proses mengurangkan stres daripada perasaan negatif yang dialami.
7. Melakukan Aktiviti Bersama
Pasangan suami isteri yang meluangkan masa untuk melakukan aktiviti bersama selalunya mempunyai hubungan yang lebih berdaya tahan. Masa berkualiti yang diluangkan bersama memberi kesan positif terhadap hubungan rumah tangga mereka kerana ia mampu menambahbaik tahap komunikasi, mengeratkan hubungan kekeluargaan, mengurangkan tekanan yang dihadapi, dan pelbagai manfaat lain lagi.
Tetapkan jadual anda supaya mempunyai sekurang-kurangnya 3 aktiviti yang boleh dilakukan bersama-sama sebagai keluarga. Menurut Mufti Perlis, Dr Mohd Asri; amalan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dapat membentuk keluarga yang lebih harmoni.
Antara contoh aktiviti bersama yang boleh anda lakukan adalah solat berjemaah, berjoging (atau hobi lain), makan bersama-sama, serta mengadakan majlis taklim di rumah.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara dan panduan untuk kita menambah baik perkahwinan kita agar ia menjadi hubungan yang berdaya tahan dan tenang. Walau bagaimanapun, sekiranya anda merasakan bahawa tiada perubahan dalam hubungan rumah tangga anda… janganlah melambat-lambatkan pertolongan dari pihak profesional.
Sebagai masyarakat yang beragama Islam pada zaman kini, cara yang terbaik untuk memulihkan semula atau mengukuhkan hubungan perkahwinan anda adalah melalui panduan yang memenuhi gaya hidup moden dan tentunya berlandaskan Al-Quran serta sunnah. Oleh yang sedemikian, carilah bantuan dari pihak professional yang memenuhi kriteria tersebut.
Sekiranya anda sedang mencari program Coaching yang mengambil kira kriteria penting tersebut, MySakinah merupakan pilihan yang terbaik untuk anda. Kami bukan sahaja menawarkan program yang boleh menambahkan ilmu perkahwinan anda, malah kami juga menawarkan khidmat nasihat daripada penasihat yang berpengalaman. Sekiranya anda ingin mendaftar untuk program Marriage Revival My Sakinah atau mengetahui butiran lanjut tentang MySakinah, sila klik di sini.
Di tulis oleh: Fasha Hilya