Semakin banyak rintangan, semakin kuat cinta bersemi dalam jiwa. Betul ke? Atau ia sekadar retorik bagi menyedapkan jalan cerita. Hakikat sebenar, hanya tuan badan yang tahu bagaimana merana separuh nyawa pertahankan rumahtangga.
Lebih perit, andai pasangan ambil sikap sambil lewa. Ada jodoh adalah, kata mereka. Kalau berpisah, nak buat apa lagi, sudah tertulis begitu takdir hidup.
Kadang kala, bila hubungan mula berantakan, lebih mudah untuk pasangan meluahkan api kemarahan. Terhambur segala kata-kata berbisa yang terbungkam dalam hati bagi memuaskan amarah.
Mana mungkin boleh bertenang, cinta yang dulu hangat tiba-tiba suram. Itu jalan paling mudah kerana perasaan marah tak seperit perasaan hiba. Marah lebih mudah ditangani berbanding kesedihan dalam hati.
Nak dibiarkan cinta hanyut atau terus menunggu sehingga hubungan pulih sendiri? Bak kata orang, masa dapat memulihkan segalanya.
Tapi tahu kan hidup takkan menunggu kita?
“Ada perasaan sakit yang tidak akan disembuhkan, hanya bisa dilupakan.”
Hubungan yang rosak tidak selalunya berakhir dengan perpisahan. Ramai pasangan menyedari ujian yang hadir sebenarnya menguatkan lagi ikatan cinta dalam rumahtangga namun ia harus disulami cinta, kesabaran dan kerja keras.
Terus berusaha
Formula rumahtangga bahagia sebenarnya cukup mudah. Menurut hasil penelitian John M. Gottman, kebahagiaan pernikahan itu disuburkan oleh keadaan sederhana sehari-hari, makan bersama sambil berbual santai, menonton televisyen, tolong menolong di dapur.
Namun Gottman turut mendapati adanya “The Four Horsemen” yang merujuk kepada empat jenis sifat atau tingkah laku boleh digunakan untuk menjangkakan kehancuran mana mana perkahwinan.
Gottman menyatakan dan menjangkakan dengan kehadiran 4 perkara tersebut, mana-mana perkahwinan akan lebih cenderung untuk ke arah perpisahan kerana setiap sifat dan tingkah laku yang digariskan dalam the “The Four Horsemen” adalah seperti mengikis kasih sayang antara suami isteri seperti sikap mengkritik pasangan, menghina, membela diri dan mengelak serta berpaling dari berhadapan dengan masalah.
Macam mana nak bahagia kalau ada sahaja yang tidak kena setiap hari kan? Pantang salah sedikit, kutukan yang diterima. Masa bercinta, kita selalu mendengar ramai yang sanggup redah lautan api, terima semua baik buruk pasangan namun sebaliknya yang jadi apabila sudah berkahwin.
Ini merupakan antara tanda-tanda untuk mengingatkan supaya pasangan suami isteri untuk semak semula cara kita menyelesaikan satu satu masalah dan pentingnya sifat tolerasi dan rahmah dalam sesebuah perkahwinan.
Dengar luahan pasangan
Memperbaiki hubungan cinta memerlukan dua pihak saling berusaha. Setiap pasangan mempunyai peranan tersendiri untuk membaiki hubungan yang sudah terbina. Namun, jangan resah jika anda merasa keseorangan dalam usaha menjadi lebih baik kerana setiap tindakan anda akan mengimbangi sistem keluarga.
Solusinya berbicara dari hati ke hati. Buka hati, tenangkan jiwa dan mula berkomunikasi dengan pasangan. Walaupun berat, mungkin ia akan berakhir dengan pertengkaran lebih besar. Jadi selesaikan masalah yang sedia ada sebelum ia menjadi lebih serius.
Antara perkara yang perlu diingat sebelum anda memulakan proses komunikasi dengan pasangan adalah untuk melihat keadaan sekeliling dan emosi pasangan anda.
Maka dari situ mulalah untuk memulakan bicara yang mudah dari hati ke hati supaya anda dan pasangan boleh berkomunikasi dalam keadaan yang tenang dan bersahaja tanpa membangkit. Bertenang, dan menangislah jika perlu andai itu dapat melegakan. Walau sekecil-kecil isu, bangkitkan dan lihat reaksi pasangan.
- Apa perasaan pasangan?
- Apa yang berbeza dulu dan sekarang?
- Apa yang anda inginkan daripada mereka?
- Apa perbuatan pasangan yang tidak disukai?
- Luahkan harapan pada pasangan
Dan tanya pasangan adakah mereka mahukan perkara yang sama? Jika ya, inilah masanya perbaiki kembali hubungan yang retak. Mulakan bersama dan ingat, teruskan berkomunikasi. Jangan pernah berhenti berkongsi cerita. Biarlah komunikasi luput pada nafas terakhir, bukan kerana lafaz perceraian. Anda juga boleh mendapatkan kaunseling rumah tangga untuk bantuan yang lebih lanjut.
Memetik laporan Harian Metro, Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, komunikasi adalah dasar dan kunci kejayaan dalam setiap perhubungan itu.
“Dalam bidang psikologi kaunseling, komunikasi diberi fokus paling utama sebenarnya. Ia kerana dalam 10 perhubungan yang gagal, mungkin sembilan dari sebab kegagalan itu boleh diletakkan pada proses komunikasi yang kurang cekap atau kurang berkesan.
“Adakah ini bererti pasangan suami isteri atau mereka yang sedang dalam perhubungan romantis perlu bersembang 24 jam sehari atau duduk menatap wajah masing-masing dari Subuh ke tengah malam? Sudah tentu tidak!,” katanya seperti yang dipetik.
Dan maafkan diri dan pasangan!
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam situasi tertentu dimana anda merasa emosi tidak stabil dan mudah merasa marah dan sinikal, supaya kita tidak melukakan hati pasangan kita. Andai ada rasa tidak puas hati, simpan dahulu ‘peluru’ dan tarik nafas sedalam-dalamnya.
Dengar dengan teliti setiap butir kata yang meluncur dari bibir pasangan dan buka hati. Dengar dan cuba untuk fahami punca kepada ketidak puasan hati pasangan anda. Anda juga perlu ingat yang anda tidak semestinya perlu bertindak atau menjawab kepada pasangan, cukup sahaja dengan mendengar dan memahami masalah yang sedang dihadapi.
Dan jika anda ingin meluahkan perasaan anda, buatlah dengan penuh kelembutan. Elakkan menggunakan ayat yang kasar dan menyakitkan hati dengan tuduhan. Jelaskan secara terang berkenaan dengan permasalahan yang anda kenalpasti.
Selepas menyelami permasalahan yang timbul, jangan berhenti setakat itu sahaja. Cuba untuk perbaiki hubungan anda dan maafkan diri dan pasangan!
Sukar untuk memulakan langkah baru andai tidak memaafkan. Biarpun masih perit, masih sakit, memaafkan pasangan berupaya melepaskan satu bebanan besar dalam jiwa. Daripada kemaafan akan membawa kepada kebahagiaan.
Benar, tidak mudah mengungkap kata maaf dan bukan mudah untuk memaafkan. Ia bukan sekadar ungkapan pada bibir, namun lahir dari lubuk hati paling dalam. Ketahuilah dengan memaafkan, Allah memberikan ketenangan dalam jiwa.
Sabda Rasulullah SAW: “Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan ALLAH tidak menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain), melainkan kemuliaan dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan ALLAH akan mengangkatkan darjatnya.” (Riwayat Muslim)
Hubungan yang retak tidak pulih hanya semalaman. Bukan hanya dengan petik jari semuanya kembali kepada keadaan asal. Berikan masa dan serahkan segalanya kepada Allah SWT.
Jika cinta itu milik kita. Sesulit mana pun jalannya. Pasti akan jadi milik kita.
Di tulis oleh: Noni Wahab