Seringkali kita dengari bahawa lelaki Melayu dikatakan tidak berguna, lagi-lagi apabila melibatkan isu perkahwinan. Mengapakah hal ini terjadi. Kita bakal membincangkan tentang isu ini dengan lebih lanjut di ruangan bawah.
Isu ini sebenarnya melibatkan dua aspek utama; iaitu aspek romantik dan aspek tanggungjawab. Sekiranya anda keliru tentang aspek yang diperkatakan, mari kita lihat contoh berikut:
Anda mungkin pernah merasa kecil hati kerana suami anda enggan memegang tangan ketika berjalan bersama-sama. Ataupun… suami anda tidak pernah menawarkan jaketnya walaupun sudah berkali-kali anda mengadu kesejukan. Oleh itu, anda merasakan bahawa suami anda tidak sensitif dan tidak memahami anda. Hal ini merangkumi aspek romantik. Ia boleh dikaitkan dengan rasa kekurangan kasih sayang yang diterima daripada pasangan anda.
Dari aspek tanggungjawab pula, ia melibatkan isu tanggungjawab seorang suami terhadap isteri dan anak-anaknya. Mungkin anda perasan bahawa suami anda sudah lama tidak memberi nafkah, atau dia tidak pernah membantu dalam sebarang kerja rumah. Perkara-perkara ini membuatkan seorang wanita mempersoalkan fungsi suaminya dalam hubungan rumah tangga mereka. Wanita yang terlibat dalam isu ini merasakan bahawa dia tidak mendapat hak yang sepatutnya diterima sebagai seorang isteri.
Oleh yang sedemikian, mari kita mengenal pasti punca mengapa lelaki Melayu sering dikatakan tidak berguna.
Punca lelaki Melayu selalu dikatakan tidak berguna
Selalunya, terdapat dua sebab utama yang menyebabkan lelaki Melayu dikatakan sebagai tidak berguna… sama ada lelaki tersebut tidak romantik ataupun tidak bertanggungjawab. Sekiranya anda merasakan sebegitu terhadap suami anda, kenal pasti terlebih dahulu ciri manakah yang membuatkan anda tidak berpuas hati terhadapnya. Sekiranya dia tidak romantik, sifat itu masih boleh dipupuk atau kita sendiri boleh bertolerensi dengan memahami bahawa cara dia meluahkan kasih sayang berbeza dengan harapan kita.
Namun sekiranya ia berkaitan dengan sikap tanggungjawab, suami anda hendaklah menyedari kesilapannya dan tanggungjawabnya yang sebenar terlebih dahulu sebelum membetulkan kesalahannya.
Setiap masalah boleh diselesaikan dengan cara yang baik, insya-Allah. Walau bagaimanapun, anda hendaklah mengetahui puncanya dengan jelas agar tindakan anda yang seterusnya lebih tepat dan berkesan.
Pertama sekali, kita akan membincangkan tentang isu yang berdasarkan aspek romantik. Kita mempunyai persepsi dimana lelaki Melayu memiliki kelakuan yang jauh berbeza berbanding lelaki Barat. Menurut kajian yang dijalankan oleh Hariyati Ariffin, orang Barat dilihat lebih penyayang dan tidak takut untuk menunjukkan kasih sayangnya secara terbuka. Manakala lelaki Melayu pula dilihat sebagai individu yang malu, kurang menunjukkan kasih sayangnya (secara terbuka), serta memiliki ego yang besar kerana memegang peranan sebagai ketua keluarga. Hal ini dikatakan terjadi disebabkan pengaruh budaya yang telah membentuk cara mereka meluahkan kasih sayang terhadap pasangannya.
Keduanya, kekecewaan kaum wanita terhadap perangai suaminya juga merupakan salah satu punca mengapa lelaki Melayu dikatakan tidak berguna. Secara ringkasnya;
“Reality doesn’t meet expectations.”
Malah, kita sering membandingkan sifat suami kita dengan sifat watak daripada dalam filem atau media luar negara yang tertentu kerana ia merupakan sumber rujukan yang paling senang untuk kita perolehi. Apabila kita memiliki jangkaan yang tidak realistik tentang suami kita, dan kemudian jangkaan tersebut terpesong… kita akan berasa hampa. Kita harus faham bahawa budaya Melayu dan budaya negara lain adalah jauh berbeza. Maka kita tidak seharusnya mengharapkan jangkaan kita dapat dipenuhi 100%.
Hal ini juga sering dikaitkan dengan isu lelaki Melayu tidak “gentleman”.
Isu ini sering dibangkitkan kerana lelaki Melayu tidak pandai meluahkan kasih sayangnya secara terbuka. Malah, ia menjadi lebih serius kerana mereka dibandingkan dengan lelaki Barat di luar sana… berdasarkan pengaruh media. Walau bagaimanapun, ada kebenarannya dalam isu ini. Lelaki Melayu dikatakan pasif dan kurang memahami perasaan wanita oleh disebabkan faktor budaya.
Selain itu, budaya Melayu dari zaman dahulu juga sering memaparkan bahawa lelaki yang menunjukkan (meluahkan) emosinya dikatakan lemah dan kurang “kejantanannya”. Walaupun kita sudah berada di zaman moden, kadangkalanya hal ini masih terbawa-bawa dalam budaya masyarakat Melayu zaman kini. Ia membuatkan para lelaki kurang menunjukkan empati dan simpati terhadap pasangannya, malah mereka berasa takut diperli oleh rakan-rakan sekiranya mereka berkelakuan sedemikian.
Seterusnya, kita akan menyentuh tentang aspek tanggungjawab. Adakah anda pernah mendengar isu-isu seperti berikut?
-
- Si suami melayan isteri seperti orang gaji. Dia suka mengarah dan perkataan “tolong” sangat susah untuk diungkapkan olehnya.
- Si suami tidak pernah mengutamakan isteri. Suami lebih mementingkan kawan-kawan atau adik beradik dalam kebanyakan perkara dan keputusan.
- Suami lebih suka mengkritik isteri berbanding menasihatinya atau membantu untuk memperbaiki keadaan. Misalnya, masakan yang disediakan oleh isteri dikritik sebagai tidak sedap, malah menghina pula kemahiran isteri.
- Si suami tidak menghormati isteri di depan anak-anak. Hal ini mengakibatkan anak-anak juga turut menjadi kurang hormat kepada ibunya sendiri.
- Si suami tidak lagi memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya.
Isu-isu seperti inilah yang membuatkan kebanyakan lelaki Melayu dilabel sebagai lelaki yang tidak berguna. Punca utama isu ini terjadi adalah kerana kurangnya kesedaran tentang tanggungjawab mereka terhadap ahli keluarganya. Malah, sikap negatif yang dipaparkan oleh lelaki Melayu dalam hubungan rumah tangga mereka memburukkan lagi keadaan. Sikap negatif ini dikatakan berpunca daripada perasaan “insecure” atau tidak yakin dengan diri sendiri. Antara sikap negatif yang mungkin dipaparkan oleh lelaki yang memiliki perasaan sedemikian adalah merendahkan orang lain, mengambil kesempatan, dan pelbagai lagi.
Di samping itu, lelaki yang mengalami masalah sebegini mungkin tiada contoh “role-model” yang tepat untuk mengajar mereka bagaimana sebenarnya untuk menjadi lelaki yang bertanggungjawab. Ketiadaan contoh yang betul semasa individu itu membesarlah yang membuatkan ciri-ciri buruk ini terbawa-bawa sehinggalah dia membesar dan berkeluarga. Selain itu, mereka juga mungkin berasa keliru atau tidak tahu tanggungjawab sebenar mereka. Malah, mereka mungkin juga tidak pasti dari mana untuk memulakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
Oleh disebabkan isu ini semakin berleluasa, kita haruslah mencari jalan penyelesaian untuk menangani isu ini agar kehidupan generasi masa hadapan kita lebih terjamin dan harmoni.
Solusi untuk menangani masalah lelaki Melayu yang tidak berguna
Bagi menangani masalah ini, kesedaran terhadap tanggungjawab masing-masing serta hak orang di sekeliling kita adalah penting bagi setiap individu. Sebagai umat Islam, jalan penyelesaian yang terbaik hendaklah berlandaskan kepada Al-Quran dan Sunnah kerana ia sememangnya panduan utama kita.
Sebagai contoh, masalah sikap dari aspek romantik boleh dirujuk berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud;
“Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.” (Surah al-Nisa’: Ayat 19)
Menurut penafsiran Imam al-Qurtubi bagi ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan agar manusia bergaul dengan baik kepada semua (orang lain). Namun begitu, ia juga diterangkan bahawa ayat ini dikhususkan terhadap para suami; dimana suami hendaklah melayan isteri dengan baik. Malah, Syeikh al-Maraghi juga mengetengahkan tentang kewajipan pergaulan baik oleh para suami terhadap pasangannya. Beliau mengatakan;
“Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.”
Selain itu, kita juga harus merujuk kembali pada cara Rasulullah SAW melayan isteri baginda. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Aswad;
Aku bertanya Saidatina Aisyah RA tentang apakah yang dilakukan oleh Rasulullah di rumah. Lalu Aisyah RA menjawab: “Baginda melakukan kerja-kerja rumah ahli keluarganya – iaitu Baginda membantu kerja ahli keluarganya – dan apabila tibanya waktu solat, Baginda keluar menunaikan solat.” (Sahih Bukhari)
Berdasarkan contoh yang diberikan sebelum ini, terbuktilah bahawa Islam sendiri menggalakkan agar para lelaki menyantuni isterinya; tidak kiralah melalui pergaulan ataupun perbuatan.
Apabila kita melihat solusi dari aspek tanggungjawab pula, Islam telah menggariskan dengan jelas bahawa lelaki perlu menjadi qawwam bagi para wanita. Seperti mana dalam surah An-Nisa’, ayat 34;
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
Berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat di atas, Allah SWT telah menerangkan salah satu ciri qawwam tersebut iaitu memberi nafkah kepada anak dan isteri. Kebanyakan masalah yang timbul dalam rumah tangga pada zaman kini adalah disebabkan ramai lelaki yang tidak memahami apakah maksud sebenar qawwam dan apakah yang perlu mereka lakukan untuk menjadi seorang yang qawwam.
Lelaki qawwam membawa maksud wali/penjaga yang mampu melindungi keselamatan dan maruah ahli keluarga yang berada di bawah tanggungannya. Sekiranya seseorang wali itu memainkan peranannya dengan baik, maka kebanyakan masalah sosial yang melibatkan institusi kekeluargaan boleh diselesaikan.
Manakala seandainya seseorang lelaki itu tidak memiliki sifat qawwam, maka akan berlakunya kezaliman terhadap isteri dan keluarganya. Ketahuilah bahawa kemuliaan lelaki dan suami terletak pada sifat tanggungjawab, prihatin, kepimpinan, sikap mengambil berat, memenuhi keperluan, mengawal, dan membela kaum wanita.
Selain daripada itu, komunikasi yang berkesan juga amat penting dalam hubungan rumah tangga. Dengan komunikasi yang baik, anda mampu menyampaikan dengan jelas tentang masalah dalam institusi kekeluargaan anda dengan efektif (pasangan tidak berkecil hati atau memendam rasa).
Malah, ia membantu dalam proses perbincangan suami isteri demi menyelesaikan konflik yang timbul dalam hubungan perkahwinan tersebut. Dengan ini, ia akan menciptakan hubungan rumah tangga yang lebih harmoni. Di samping itu, kasih sayang juga mampu berkembang melalui komunikasi yang berkesan dan salah faham boleh dielakkan.
Kesimpulannya, bukanlah semua lelaki Melayu dikategorikan sebagai tidak berguna. Hanya segelintir lelaki yang tidak bertanggungjawab dalam perkahwinan mereka menyebabkan ramai wanita menjadi mangsa penindasan dan hal ini membuatkan para wanita sukar untuk mempercayai lelaki lain. Janganlah jadikan perkara ini sebagai kata putus bagi sikap semua lelaki Melayu di luar sana. Bak kata pepatah:
“Hanya disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga”
Walau apa pun masalah yang sedang anda hadapi… kenal pasti dahulu punca sebenar mengapa anda merasakan sedemikian (berasa bahawa suami anda tidak berguna). Sekiranya anda mengalami krisis rumah tangga akibat daripada perangai suami yang tidak senangi, cubalah beberapa tips penting daripada artikel kami sebelum ini.
Jika masalah tersebut masih berlanjutan dan anda sedang mencari jalan terbaik untuk menyelamatkan perkahwinan anda… dapatkan bantuan professional seperti perkhidmatan kaunseling perkahwinan ataupun sertai program Marital Coaching seperti yang ditawarkan oleh MySakinah. Melalui program ini, anda boleh mendapatkan pelbagai ilmu berkaitan perkahwinan, khidmat nasihat daripada penasihat yang berpengalaman, dan pelbagai lagi.
Ditulis oleh: Fasha Hilya