Pornografi boleh meruntuhkan rumah tangga

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, Malaysia menduduki carta empat negara teratas di dunia selepas Slovakia, Bulgaria dan Ireland serta pertama di Asia yang paling banyak melakukan carian bahan atau video lucah di laman sesawang internet. Malah, kajian turut menunjukkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat daripada 10 rakyat negara kita didapati melayari bahan lucah atau pornografi dalam tempoh seminggu.

Ini menunjukkan pengaruh pornografi dalam kalangan rakyat negara ini tidak kira remaja atau yang sudah berkahwin bukanlah sesuatu yang ganjil atau tidak normal. Ianya sudah menjadi kebiasaan terutama dalam kalangan kaum lelaki.

Maksud pornografi

Menurut kamus Melayu, pornografi ini bermaksud penggambaran atau pengisahan sesuatu perlakuan dengan cara yang mengghairahkan atau yang bertujuan untuk membangkitkan nafsu seks.

Rasa ingin tahu terhadap pornografi itu lumrah. Namun ia tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang mesti, apalagi menjadi sesuatu yang diketagihkan. Justeru, menjadi peranan ibu bapa untuk mendidik anak-anak mengenal apa itu ponografi dan menjauhinya apabila mereka dewasa kelak kerana banyak kesan buruk pornografi seperti zina dan ketagihan.

Melentur buluh biar dari rebungnya

Bahkan dalam Islam sendiri, usaha membenteng diri anak-anak daripada pengaruh seks ini bermula dari awal mengikut tahap perkembangan anak-anak itu sendiri. Ia bermula dengan didikan meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapa menerusi surah An-Nur ayat 58-59 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali (dalam satu hari) iaitu: sebelum sembahyang subuh, ketika kamu menanggalkan pakaian (luar)mu di tengah hari dan sesudah sembahyang Isya’. (Itulah) tiga aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas mereka selain dari (tiga waktu) itu. Mereka di sekeliling kamu, sebahagian kamu ke atas sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Menurut adab ini, anak kecil perlu biasakan diri mengetuk pintu atau meminta izin sebelum memasuki bilik ibu bapa dalam tiga masa yang disebut kerana kebiasaan suami isteri sedang duduk bersama dan mungkin keadaan itu tidak sesuai dilihat anak-anak meskipun usia mereka masih kecil.

Begitu juga dengan larangan melihat aurat Muslim yang lain serta banyak hadis tentang lelaki perlu tundukkan pandangan agar terdidik hati dan jiwa dari sebarang perbuatan yang menjerumus kepada kerosakan akhlak seperti seks dan pornografi. Ini kerana ketagihan kepada pornografi itu dikatakan lebih teruk dari ketagihan pada dadah.

Kerana di zaman teknologi hari ini, banyak faktor yang boleh menyebabkan ketagihan  pornografi terutama dari laman sesawang yang semudah satu klik sahaja untuk akses padanya. Berbanding dadah yang lebih susah untuk didapati dan dadah juga ada ubat serta terapi khusus untuk mereka yang ketagihan. Tapi pornografi, tiada ubat dan hanya perlu keazaman yang tinggi untuk tinggalkan ketagihan seksual ini. Disebabkan itulah ianya lebih parah dari dadah.

Beza soft porn dan hardcore porn

Ramai dalam kalangan kita yang kadang kala tidak sedar, sedikit demi sedikit mula ketagihan pornografi. Ia disebabkan terlalu banyak bahan ‘soft porn’ yang sudah menjadi normal dalam kehidupan kita. Tengok sahaja di majalah, filem melayu dan juga dalam laman sesawang internet seperti youtube, perkara seperti ciuman di bibir, pandangan mata lelaki di suatu tempat sulit wanita serta adegan-adegan yang tidak sepatutnya, sudah dianggap biasa dan menjadi tontonan umum. Ia sedikit sebanyak membangkitkan rasa ingin tahu dan lebih buruk membangkitkan rasa berahi dalam diri.

Malah lebih buruk, kerana ‘soft porn’, ramai yang mula terdedah dengan ‘hardcore porn’. Ia terjadi apabila mereka mula mencari di laman sesawang lucah yang secara jelas menyediakan bahan pornografi kepada pengikut. Selain mencari sendiri, teknologi hari ini yang memudahkan berkongsi dan menyimpan video juga antara penyumbang ramai yang terdedah kepada ‘hardcore’ pornografi.

Pasangan berkahwin ketagih pornografi:
Buruknya pornografi ini bukan hanya pada remaja, tapi ia turut beri kesan buruk pada pasangan yang telah berkahwin. Kajian dari American Socilogical Association menunjukkan pasangan berkahwin yang suka menonton video lucah didapati dua kali ganda bercerai berbanding pasangan yang tidak menonton.

Satu kajian dari Universiti Cambridge ada menyatakan bila seseorang itu menonton video lucah atau bahan pornografi, akan berlaku satu perubahan kimia dalam otak kita. Perubahan tersebut berlaku apabila menonton pornografi dan seterusnya menyebabkan ketagihan.

Tahukah dalam otak manusia ada satu hormon yang dipanggil dopamine. Dopamine mempunyai banyak fungsi, salah satu fungsinya adalah memberi kita ‘hadiah’ dalam bentuk perasaan gembira, seronok, ghairah dan motivasi. Perasaan ini membuatkan kita lebih fokus pada objek yang merangsang dopamine tersebut tanpa memperdulikan masalah dan hal-hal lain. Situasi ini membuatkan kita lebih tenang dan bebas daripada masalah-masalah yang serabut di minda.

Tetapi penghasilan dopamine dalan jumlah yang banyak tanpa mekanisma yang normal (natural) akan menyebabkan ketagihan. Dan inilah apa yang dadah, alkohol dan pornografi lakukan terhadap otak kita. Peliknya, semasa melakukan hubungan seks, otak akan merembeskan dopamine sebanyak 3 kali sahaja. Tapi, bila menonton video lucah, otak akan merembeskan dopamine sebanyak 100 kali ganda lebih banyak!

Apa berlaku bila hormon dopamine ini dirembes terlalu banyak melebihi had normal? Ia akan memberikan kesan yang mengujakan kepada si penonton pornografi. Mereka tidak cukup terangsang dengan pornografi yang biasa. Penggemar porno perlu mendapatkan pornografi yang lebih eksotik dan ekstrem. Ini bertujuan merangsang penghasilan dopamine yang lebih tinggi bagi mengekalkan perasaan keterujaan ketika menonton pornografi.

Akibat ketagihan bahan lucah

Akhirnya pengguna tidak akan berasa normal tanpa dopamine yang tinggi kerana otak mereka sudah terbiasa dengan kadar dopamine yang tinggi. Di sinilah berlakunya keruntuhan dalam rumahtangga.  Jom kita lihat lima kesan buruk ketagihan pornografi kepada rumahtangga.

Sukar mencapai kepuasan seksual sebenar

Suami kalau sudah ketagih, dia akan berfantasi dan terbayang-bayang akan liuk lentuk wanita di dalam video yang ditonton serta membandingkan dengan isteri. Begitu juga aksi-aksi yang dilihat dan dia akan cuba mempraktikkan ketika bersama isteri sehingga kadang kala isteri tidak selesa mengenainya. Disebabkan itu hubungan menjadi semakin dingin dan masing-masing cuba menjauhkan diri sehingga berlaku perpisahan,

Emosi tidak stabil dan mudah terganggu

Menurut kajian, mereka yang ketagihan pornografi ini menyebabkan saraf otak menjadi rosak hingga menjejaskan fungsinya yang sebenar. Ekoran daripada itu, individu yang ketagihan tidak dapat berfikir secara waras dalam keadaan tertentu dan mengubah mereka menjadi seorang yang baran dan agresif. Perubahan ini yang antara punca berlaku keganasan dalam rumahtangga.

Rasa rendah diri pada pasangan

Jika salah seorang pasangan ketagihan pornografi, sudah pasti ia menuntut tindak balas yang luar biasa dari pasangan seorang lagi. Sama ada dari segi kekerapan atau aksi-aksi yang cuba dilakukan menyebabkan pasangan tidak larat untuk melayan. Ia membuatkan pasangan contohnya si isteri akan merasa rendah diri kerana tidak dapat memenuhi hasrat dan keinginan suami sehinggakan mungkin merasakan lebih elok andai dia menarik diri dari risaukan suaminya terlibat dengan perkara yang tidak baik di sisi agama seperti zina dan sebagainya.

Sering keseorangan

Menurut Dr Gray Brooks, semakin kerap seseorang seseorang menonton pornografi, semakin kerap dia akan berseorangan. Ini kerana tontonan itu akan membuat seseorang itu berasa khayal, sunyi dan keseorangan. Ini seterusnya akan mengakibatkan mereka bergantung kepada pornografi untuk mengubati perasaan mereka lalu mengendahkan pasangan yang ada di depan mata mereka.

Mengurangkan kualiti pengurusan hidup

Ketagihan terhadap pornografi boleh menurunkan keyakinan seseorang sehingga menyebabkan prestasi dalam pekerjaan juga menjadi semakin merudum dan tidak produktif. Ketagihan itu juga membuatkan minda mereka dikotori oleh sesuatu yang cenderung ke arah seks sehingga ia gagal dikawal pada masa tertentu. Ia seterusnya memberi kesan yang negatif terhadap kerjaya serta pengurusan hidupnya.

Akibat ketagihan bahan lucah

Justeru, apa yang perlu dilakukan jika sudah terjebak dengan ketagihan pornografi yang buruk ini?

Antara langkah yang boleh diambil adalah berkomunikasi dengan pasangan. Jika merasakan ada yang kurang dengan pasangan, cubalah bercakap dan toleransi agar kedua-dua pihak mengetahuinya dan perbetulkan jika perlu.

Selain itu, dapatkan juga bantuan dari profesional seperti pakar kaunseling dan psikologi. Pakar kaunseling dan psikologi telah dilatih untuk menguruskan kes-kes berkenaan ketagihan lebih-lebih lagi ketagihan terhadap pornografi yang semakin meningkat saban hari.

Berhenti secara beransur-ansur juga akan membantu untuk keluar dari ketagihan. Memang sukar, ya sangat sukar dipermulaan tindakan kita. Tapi cubalah kawal diri sedaya upaya dan sentiasa istighfar melawan nafsu yang datang agar dapat kekuatan dari Allah SWT.

Percayalah, perasaan resah dan gelisah akan berlaku, ini membuatkan keadaan menjadi lebih sukar untuk melawan ketagihan tersebut. Tapi dengan azam yang tinggi, pasti beroleh hasil yang baik.

Antara lain yang boleh diamalkan adalah elakkan tinggal bersendirian. Kadang kala bila bersendirian, syaitan mudah masuk untuk menghasut kita berbuat apa yang sedang dilawan. Selalulah berkumpulan dan sibukkan hari dengan aktiviti sosial bersama keluarga, bersenam, membeli belah dan sebagainya.

Ingatlah! Sebelum terjebak pastikan kita kawal diri, anak-anak dan keluarga agar tidak terdedah dengan perkara buruk seperti ketagih pada pornografi. Sentiasalah letakkan agama Islam kita yang mulia di hadapan dengan mengikuti segala perintah dan meninggalkan laranganNya. Firman Allah menerusi surah an-Nur ayat 30-31 jelas menyebut;

“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Mahamengetahui apa yang mereka perbuat.” Katakanlah kepada wanita yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya.”

Berkata Syeikh Muhammad Amin Asy-Syinqiti, “Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa yang menjadikan mata itu berdosa kerana memandang hal-hal yang dilarang berdasarkan firman Allah yang bermaksud “Dia mengetahui khianatnya (pandangan) mata dan apa yang disembunyikan oleh hati”. (Surah Ghafir ayat 19).

Malah Rasulullah saw juga pernah bersabda yang bermaksud “Seorang laki-laki tidak boleh melihat aurat laki-laki lain, dan seorang perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan lain. Seorang laki-laki tidak boleh bersatu (bercampur) dengan laki-laki lain dalam satu pakaian (selimut), dan seorang perempuan tidak boleh bercampur dengan perempuan lain dalam satu pakaian (selimut).” (HR. Muslim dan Ahmad)

Ditulis oleh: Noni Wahab