Pernah tak anda terfikir atau monolog dengan diri sendiri mengenai hubungan anda dengan pasangan?
“Kenapa pasangan aku kebelakangan ini asyik marah-marah je, balik rumah marah, nak tidur marah, nak mandi marah, ada je benda tak kena.”
Anda dah cuba macam-macam cara nak pujuk tapi pasangan anda masih lagi marah tak tentu pasal sehingga anda menjadi buntu mencari jawapan kepada persoalan anda:
“Kenapa pasangan anda selalu marah?”.
Ia membuatkan anda berasa sangat serabut dekat rumah. Apabila tanya pasangan anda apa yang mereka tak puas hati atau kenapa mereka sentiasa dalam keadaan marah, mereka menyerang semula anda.
Buat para suami, anda perasan isteri marah sebab perkara yang remeh-temeh. Kadang anda tak faham kenapa perkara yang kecil boleh di besar-besarkan.
Berdasarkan kes yang kami terima di MySakinah, apabila para suami marah, mereka lebih suka mendiamkan diri dan bermain handphone. Bila ditanya, akan jawab dengan nada yang marah.
Disini saya nak beritahu anda satu punca utama mengapa pasangan anda selalu marah lebih-lebih lagi kepada pasangan lama yang dah kahwin bertahun lama. Saya yakin anda belum pernah mendengar punca disebalik ini. Namun punca ini telah terbukti melalui kajian saintifik oleh Dr. John Gottman, bahawa pasangan yang mempunyai ciri ini, mempunyai 50% pandangan negatif terhadap hubungan dan pasangan mereka.
Punca utama pasangan selalu marah
Punca anda perlu menghadapi kemarahan pasangan yang berpanjangan adalah disebabkan oleh Negative Sentiment Override (NSO) atau dalam bahasa Melayu ia dipanggil sebagai tanggapan negatif terhadap pasangan.
Suami atau isteri menzahirkan negative sentiment override melalui tindakan dan juga percakapan. Ia bermaksud NSO mempengaruhi cara interaksi dan komunikasi dengan pasangan.
Negative Sentiment Override
Negative Sentiment Override (NSO), terjadi apabila emosi dan persepsi negatif dalam diri seseorang itu melebihi perspektif positifnya terhadap pasangan mereka.
Anda boleh bayangkan NSO seperti instagram filter. Pernah tak anda bermain instagram filter black and white dimana semua gambar yang anda tangkap akan bertukar warna menjadi hitam atau putih walaupun gambar asalnya bukan berwarna hitam atau putih. Filter tersebut merupakan NSO, manakala niat murni anda adalah gambar asal yang penuh dengan warna warni, manakala gambar hitam putih pula adalah gambaran dari kaca mata pandangan anda.
Filter NSO tersebut berada di dua bahagian utama iaitu, dari sudut:
- Akal fikiran
- Hati dan perasaan
Dalam bahasa mudahnya, pasangan anda telah pun ada pandangan negatif dekat anda sekarang ni. Jadi apa-apa tindakan, niat baik atau perkara positif yang anda buat, mungkin tak akan ada makna di mata pasangan anda disebabkan filter NSO di fikiran dan juga hati mereka.
Pasangan anda akan cepat:
- mengkritik,
- menghakimi, atau
- menyalahkan,
- memikirkan kesakitan atau kekecewaan masa lalu.
Perkara mudah seperti, anda puji pasangan anda “you nampak cantiklah hari ni” pun boleh jadi gaduh dan salah faham. Baginya, tindakan anda bukan ikhlas dari hati tapi nampak macam perli dan seolah cuba nak manipulasi dia.
Saya berikan contoh berdasarkan kisah benar mengenai pasangan yang sedang mengalami krisis rumah tangga:
Anda dan pasangan dah seminggu tidak bercakap, dan tiba-tiba pasangan anda jatuh sakit demam panas yang teruk. Anda sangat risaukannya lalu belikan makanan dan ubat. Anda pelawanya untuk hantar ke klinik namun pasangan anda kata:
“Awak tak payah nak tunjuk yang awak care sangat dekat saya, padahal kalau saya tak ada lagi awak happy, tak ada menyusahkan awak”
Anda terkejut dengan kata-kata pasangan anda, kerana niat anda ikhlas sebab anda risaukan pasangan anda. Perkara ini boleh terjadi kepada anda atau vice versa.
Saya berikan contoh kedua pula,
Pasangan anda kerap mengadu kepada anda bahawa rumah tangga anda hancur kerana anda terlalu sibuk bekerja. Setelah berfikir dengan teliti, anda mengambil keputusan untuk menukar pekerjaan anda supaya anda dan pasangan dapat meluangkan masa bersama walaupun pekerjaan baru ini mempunyai gaji yang rendah berbanding pekerjaan dahulu. Apabila anda memberitahu pasangan anda, pasangan anda marah kepada anda dan mengatakan:
“You sengaja nak tukar kerja time sekarang ni sbb nak prove yang you banyak sacrifice dalam marriage ni kan, so nanti senang you nak ungkit in future yang you buat macam-macam .. and I tak ada buat apa-apa for our relationship”
Jadi apa kaitan NSO dengan cerita di atas dengan rumah tangga anda sekarang ni?
Bila pasangan kita bagi respon macam cerita tadi, kita rasa seolah-olah pasangan kita benci dan sengaja cari pasal dengan kita. Lama-lama kita pun akan rasa penat dan give up nak selamatkan rumahtangga. Ini akan menyebabkan proses memperbaiki perkahwinan semakin sukar dan mencabar. Tetapi jika anda mempunyai kesedaran tentang NSO, anda dapat membuka jalan penyelesaian terhadap krisis rumahtangga anda, sekaligus dapat menguruskan interaksi antara dan pasangan dengan lebih berkesan.
Anda dah nampak tak bagaimana kesan Negative Sentiment Override ditambah dengan hasutan syaitan membawa kesan kepada rumah tangga anda?
Syaitan hanya perlu mengapi-apikan NSO yang sedia ada dalam diri anda dan pasangan untuk meruntuhkan rumah tangga, perkara ini terbukti didalam hadith:
Dari Jabir radhiyallahu ‘anhu, bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian mengutus bala tenteranya. Maka yang paling dekat dengannya adalah yang paling besar fitnahnya. Datanglah salah satu dari bala tenteranya dan berkata. “Aku telah melakukan begini dan begitu”. Iblis bekata, “Engkau sama sekali tidak melakukan apa-apa”. “Kemudian datang yang lain dan berkata; “Aku tidak meninggalkannya hingga aku berhasil memisahkan dia dan isterinya.” Maka iblis mendekati dan berkata; “Sungguh hebat (syaitan) seperti engkau.” – [HR Muslim].
Bagaimana cara mengenali dan memahami NSO?
Jika anda ingin mengetahui sama ada anda mempunyai NSO terhadap pasangan anda, cuba jawab soalan dibawah ini dengan menjawab betul atau salah:
- Masalah yang sering dibincangkan bukanlah berpunca dari kesalahan saya. (Betul/Salah)
- Susah untuk saya nak faham apa yang pasangan saya cuba sampaikan. (Betul/Salah)
- Ketika berbincang, saya rasa macam saya dipersalahkan. (Betul/Salah)
- Saya selalu teringat perkara lama yang menyakitkan yang pasangan saya lakukan dulu. (Betul/Salah)
- Semasa perbincangan, saya rasa diserang oleh pasangan saya. (Betul/Salah)
- Saya rasa masalah rumah tangga saya terlalu besar untuk diselesaikan. (Betul/Salah)
- Ketika berbincang, saya rasa dikritik oleh pasangan saya. (Betul/Salah)
- Selepas konflik atau bergaduh, saya rasa putus asa tentang masa depan hubungan saya dan pasangan. (Betul/Salah)
- Saya hanya mahu perkara-perkara negatif dalam hubungan saya dan pasangan berhenti je. (Betul/Salah)
- Saya rasa segala-galanya tentang hubungan saya terlalu sukar sekarang. (Betul/Salah)
Jika anda menjawab “betul” lebih daripada 3 kali ini bermakna anda berada dalam keadaan Negative Sentiment Override.
Jadi sekarang ini, apa yang anda boleh buat jika anda berada dalam keadaan Negative Sentiment Override?
Perkara pertama anda perlu buat adalah berhenti burukkan keadaan. Anda boleh langgani 7 Hari Program Email Untuk Pasangan Keluar Dari Pergolakan Rumah Tangga.