Tanda Rumah Tangga Tidak Bahagia, Mungkin Tanda Awal Penceraian
Tujuan utama anda berada di sini kerana anda inginkan kepastian benar atau tidak rumah tangga anda mempunyai tanda-tanda rumah tangga tidak bahagia.
Anda perasan semenjak dua menjak, anda sering:
- Bergaduh dengan pasangan.
- Rasa semua perkara menjadi serba tak kena.
- Rasa serabut.
- Tidak fokus di tempat kerja.
- Rasa nak marah semua orang terutama anak.
Anda buntu tidak tahu apa yang perlu dilakukan sekarang, dan anda sedang mencari solusi untuk rumah tangga anda.
Jangan risau, jika anda mula mengambil tindakan berdasarkan ilmu rumah tangga yang betul, anda dapat selamatkan rumah tangga anda.
Sebelum anda mengorak langkah untuk mencari solusi yang tepat dalam rumah tangga, anda perlulah mengetahui terlebih dahulu realiti keadaan rumah tangga supaya anda dapat mengambil langkah yang tepat dan sewajarnya berdasarkan realiti yang berlaku.
Hal ini penting supaya segala tenaga, masa dan wang yang digunakan tidak sia-sia dihabiskan begitu sahaja dengan try and error tanpa terlebih dahulu mengetahui kedudukan rumah tangga anda.
Fasa Krisis Lima ‘M’
Berikut adalah tanda-tanda rumah tangga tidak bahagia yang disusun berdasarkan fasa-fasa ke arah penceraian. Kami memanggil ini sebagai fasa 4M:
- Pertama: Merasakan tak bahagia dan tawar hati.
- Kedua: Mempunyai niat atau menyuarakan tentang penceraian.
- Ketiga: Melakukan perkara ke arah penceraian seperti mengasingkan diri atau tempat tidur, berpindah rumah lain dan sebagainya.
- Keempat: Menfailkan penceraian, di mana telah melibatkan undang-undang.
- Kelima: Memulakan tempoh iddah, peluang terakhir selama 3 bulan untuk berbaik semula.
Jadi, anda perlu tahu di mana fasa krisis perkahwinan anda berada. Ia bertujuan untuk mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran rumah tangga.
Supaya, segala tindakan yang anda lakukan selepas ini mempunyai tujuan dan tindakan yang tepat tanpa mengikut perasaan. Bak kata pepatah:
Anda perlu tahu bahawa setiap perkahwinan mempunyai kadar kelajuan berbeza untuk bergerak dari satu fasa krisis ke fasa seterusnya.
Ada pasangan yang mengambil masa 10 tahun untuk sampai ke fasa 4 krisis perkahwinan dan ada juga yang mengalaminya kurang dari setahun.
Di Selangor, 40% pasangan yang membuat pengesahan lafaz cerai adalah perkahwinan yang kurang dari setahun.
Ini bermakna sekiranya anda berada difasa awal krisis perkahwinan, anda perlu segera mengambil tindakan kerana kita tidak tahu apa akan jadi pada masa akan datang. Boleh jadi cepat atau lambat perubahan fasa berlaku. Sedar tak sedar sudah sampai ke fasa empat krisis.
Berdasarkan pengalaman kami mengendalikan krisis rumah tangga, kami perasan salah seorang daripada pasangan suami isteri mempunyai kecenderungan berikut:
- Leaning Out: Cenderung untuk keluar dari rumah tangga tetapi tidak yakin akan keputusan tersebut.
- Leaning In: Cenderung untuk menyelamatkan perkahwinan.
Jadi, mari kita selami dengan lebih mendalam tanda-tanda rumah tangga tak bahagia bagi setiap fasa dan perhatikan jika anda mempunyai sebarang tanda tersebut atau tidak.
Fasa Pertama: Merasakan tak bahagia dan tawar hati.
Analogi fasa pertama krisis perkahwinan boleh diibaratkan seperti bekas air yang bocor. Anda sendiri tidak perasan air mengalir keluar. Tahu-tahu ketika fasa keempat krisis, air dah pun kering.
Jadi ketika fasa ini, biasanya anda tidak perasaan akan tanda-tanda awal rumah tangga tak bahagia. Ramai mula sedar akan tanda-tanda rumah tangga tak bahagia apabila berada difasa ketiga atau fasa keempat.
Difasa inilah, mereka yang leaning out, mula merasakan ada jarak antara mereka dan pasangan. Mereka dah mula rasakan rumah tangga tidak lagi seperti dulu. Mereka mula mengatakan pada diri sendiri:
“Aku tak happy, tapi biasalah rumah tangga mana yang tak diuji”.
Jadi mereka pejamkan mata pada tanda-tanda awal rumah tangga tak bahagia dan jalani kehidupan seperti biasa dengan harapan apa yang berlaku akan menjadi semakin baik.
Manakala mereka yang leaning in, merasakan semua perkara dalam keadaan baik sahaja, dan clueless terhadap apa yang pasangan leaning out mereka rasakan dan langsung tidak perasan akan tanda-tanda awal rumah tangga tak bahagia.
Tanda-tanda awal rumah tangga tak bahagia seperti:
- Kurang berkomunikasi, lebih memilih untuk berdiam daripada bercakap dengan pasangan.
- Sering bertengkar.
- Keengganan untuk menghabiskan waktu bersama.
- Mengelak untuk berbincang mengenai sesuatu perkara kerana ingin mengelakkan pergaduhan.
- Kerap balik lambat ke rumah dan lebih selesa menghabiskan masa di tempat kerja atau bersama kawan-kawan.
- Lebih banyak menumpukan perhatian terhadap anak.
- Sudah mula berkira-kira tentang perbelanjaan yang dikeluarkan untuk rumah tangga.
- Mula membandingkan usaha anda vs usaha pasangan anda untuk rumah tangga.
Ketika fasa ini, mungkin bagi orang terdekat seperti rakan dan keluarga, rumah tangga anda tampak sempurna. Namun realitinya, tidak seperti yang digambarkan dan hanya anda sahaja yang tahu apa yang sedang berlaku. Pasangan anda mungkin tidak perasan akan keadaan yang berlaku dalam rumah tangga anda.
Walaupun pada permulaannya, tidak menunjukkan tanda-tanda yang membimbangkan tetapi ini adalah tanda awal yang menunjukkan tanda-tanda rumah tangga tak bahagia. Lebih baik mengambil langkah sewajarnya ketika anda masih lagi difasa ini.
Jika perasaan tidak bahagia berlarutan, leaning out akan mula give up untuk cuba melakukan sesuatu bagi menyelamatkan rumah tangga erti kata lain, mereka dah malas nak fikir pasal masalah rumah tangga tetapi masih lagi tidak mempunyai niat untuk bercerai atas apa jua alasan. Oleh itu mereka mula mencari distraction atau jalan untuk menjalani kehidupan harian dengan keadaan rumah tangga sebegini.
Contoh distraction:
- Mula mencari hobi baru
- Menggunakan kesibukan bekerja untuk melarikan diri daripada realiti rumah tangga.
- Mula menghabiskan masa di media sosial.
- Ada yang tanpa sedar mula meluahkan masalah rumah tangga kepada rakan sekerja berlainan jantina.
- Jika tiap kali pergaduhan, lebih memilih untuk diam tidak menjawab apa-apa dan biarkan sahaja pasangan dalam keadaan marah.
- Lebih fokus pada anak-anak sahaja.
Tidak kira apa yang berlaku, pasangan yang leaning out akan mula menjauhkan diri daripada pasangannya dengan mengantikan perkara atau aktiviti lain.
Manakala pasangan yang leaning in pula, sudah mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada pasangan mereka. Mereka akan mula menyuarakan pada pasangan yang mereka dah berubah seperti:
“Awak dah lain” atau “Awak dah tak macam dulu”.
Namun individu yang leaning out hanya mendiamkan sahaja atau menidakkan kenyataan pasangan mereka seperti:
“Yeke? Mana ada” atau “Tak ada apa lah, saya stress kerja je ni”.
Fasa pertama ini boleh bernanah sehingga membawa kepada fasa kedua apabila leaning out mula menyuarakan penceraian kepada pasangan mereka yang leaning in.
Fasa Kedua: Mempunyai niat atau menyuarakan tentang penceraian.
Saat leaning out memasuki fasa kedua ini, perasaan tidak bahagia dan tidak puas hati akan beralih kepada mula mempertimbangkan keburukan dan kebaikan penceraian.
Mereka dah mula memikirkan kehidupan di luar perkahwinan dan bagaimana kehidupan bila mereka single. Oleh itu, leaning out mula mempersoalkan mengenai situasi “kalau” sesuatu perkara terjadi selepas mereka membuat sesuatu keputusan.
Sebagai contoh:
- “kalau” bercerai apa akan jadi?
- “kalau” stay dalam perkahwinan ni, macam mana?
- “Kalau” bercerai anak macam mana?
Lagi teruk, bila keinginan bercerai semakin jelas. Pasangan yang leaning out mula mencari maklumat mengenai penceraian dan dah mula menyuarakan penceraian sama ada secara lisan atau bukan lisan.
“Saya dah tak tahan, saya dah tak boleh teruskan kalau macam ni, saya nak cerai”
Bagi mereka yang leaning in pula, mereka mula panik dan terkejut, seolah-olah tersentak dari lamunan tidur yang panjang sebaik sahaja pasangan mereka menyuarakan penceraian. Merasa rasa keliru dan tidak tahu nak buat apa dengan situasi tersebut. Ada di antara mereka yang:
- Melarikan diri atau mengelak berjumpa dengan pasangan sehingga keadaan reda.
- Memujuk pasangan dengan menjadi extra romantis dan extra caring terhadap pasangan.
- Melakukan perkara-perkara yang selama ini pasangan menyuarakan tetapi tidak diendahkan.
Tanda-tanda lain bagi fasa kedua krisis:
- Banyak pasif-agresif dalam rumah tangga.
- Mula meminta pandangan dan nasihat dari orang yang anda percaya dan selesa seperti rakan dan keluarga.
- Kerap menyakiti hati pasangan dengan sengaja untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap pasangan.
Fasa Ketiga: Melakukan perkara ke arah penceraian.
Lagi mengecewakan buat mereka yang leaning in dan leaning out ketika fasa ketiga ini. Fasa ini merupakan fasa paling sakit, paling sunyi dan paling serabut buat mereka yang mengalami krisis rumah tangga.
Tahap ini menjadi lebih serius, dengan tindakan yang lebih jelas ke arah penceraian. Mereka yang leaning in kebiasaanya akan:
- Tidur di bilik yang berbeza.
- Pengasingan diri.
- Berpindah ke tempat tinggal lain.
- Keliru dan buntu dengan keputusan yang bakal diambil.
- Tidak pasti adakah penceraian merupakan keputusan yang tepat.
- Memberikan pelbagai alasan untuk tidak balik ke rumah.
- Mula menjalani kehidupan seolah-olah sudah “single”.
Buat mereka yang leaning in, ketika fasa ketiga ini, mereka semakin panik dan desperate untuk menyelamatkan rumah tangga mereka. Mereka akan melakukan apa sahaja janji pasangan mereka menerima mereka semula. Ketika ini, leaning in akan:
- Melipatgandakan usaha memujuk.
- Menggunakan pelbagai taktik dan helah.
- Mula mencari bantuan luar seperti badan profesional yang lain.
Nak tahu yang paling mengejutkan anda? Fasa inilah fasa yang akan menjadi penentu rumah tangga anda. Jika anda selaku yang leaning in kerap melakukan:
- Menghubungi rakan dan ahli keluarga pasangan anda untuk bantu memujuk pasangan anda.
- Siang malam cuba menghubungi pasangan dengan ayat-ayat cinta.
- Memberi hadiah.
- Cuba berkomunikasi dan berbincang.
Anda hanya akan membuatkan pasangan anda yang leaning out rimas dan semakin tidak boleh bernafas. Kerana itulah sebahagian mereka yang leaning out merasa lega dan boleh bernafas kembali ketika berlakunya separation.
Ada juga yang merasa serba salah terpaksa mengasingkan diri kerana masih lagi status suami isteri, namun mereka meneruskan tinggal berasingan demi menjaga mental mereka supaya tidak serabut dengan tindakan desperate pasangan mereka yang cuba untuk memujuk mereka.
Untuk mengetahui lebih lanjut, baca artikel ini.
Fasa Keempat: Menfailkan penceraian, atau melibatkan undang-undang.
Seterusnya, fasa ke empat melibatkan proses undang-undang untuk mengakhiri sebuah perkahwinan.
Mereka yang leaning out, sudah pun membuat keputusan muktamad inginkan penceraian. Mereka sudah:
- Menfailkan penceraian di mahkamah.
- Menghubungi peguam.
- Mengemukakan dokumen perceraian.
- Mula membincangkan mengenai kehidupan selepas bercerai, seperti jadual giliran anak dan sebagainya.
Anda mungkin tertanya-tanya, ketika di fasa keempat ini, adakah boleh untuk anda menyelamatkan rumah tangga anda.
Jawapannya, tidak mustahil. Namun, setiap langkah yang anda ambil ketika fasa ini perlu dilakukan dengan ilmu dan bimbingan dari mereka yang pakar. Ini bertujuan memastikan anda menggunakan masa yang kritikal ini sebaiknya.
Buat mereka yang leaning in, ketika fasa terakhir ini, mereka:
- Berkemungkinan akan berputus asa atau membuat usaha terakhir.
- Mula menerima realiti bahawa perkahwinan tidak dapat diselamatkan.
- Perasaan marah dan geram kepada pasangan semakin membara.
Di dalam fasa inilah, bermula episod turun naik mahkamah untuk segala proses yang melibatkan undang-undang. Ada yang lama prosesnya, ada yang sekejap.
Nak tahu apa yang paling penting di fasa ini? Fasa inilah merupakan fasa penentu sama ada perkahwinan anda berakhir secara baik atau tidak. Fasa ini juga penentu sama ada anak anda akan terkesan dengan penceraian atau tidak. Ramai yang berakhir dengan menjadi musuh kepada pasangan masing-masing.
Jadi pengakhiran yang baik penting untuk memastikan anda dan pasangan dapat:
- Menjadi sahabat tanpa sebarang dendam.
- Co-parenting dapat dilaksanakan secara sihat.
- Mudah untuk move on ke fasa seterusnya.
- Tidak mempunyai trauma untuk bercinta semula.
- Kadar peratus penceraian kali kedua dapat dikurangkan.
Fasa Kelima: Memulakan Tempoh Iddah
Islam merupakan satu-satunya agama yang mengamalkan tempoh ‘U-Turn’ bagi pasangan yang bercerai. Ini merupakan peluang terakhir untuk berbaik semula. Tempoh ini dipanggil Iddah, secara teknikal adalah tempoh menunggu seorang perempuan setelah pemergian suami disebabkan perceraian atau kematian.
Tempoh iddah berbeza bagi setiap keadaan:
- Bercerai ketika talaq bain/ raj’ie: 3 kali suci
- Bercerai ketika mengandung: sehingga bersalin atau kandungan gugur.
- Kematian suami: 4 bulan 10 hari.
Ketika tempoh ini, ramai yang keliru atau tertanya-tanya sejauh mana mereka perlu menunaikan tanggungjawab mereka.
Hal ini kerana mereka sedang cuba menerima realiti bahawa penceraian benar-benar terjadi dan mereka tidak tahu bagaimana untuk menerima penceraian benar berlaku dan pada masa yang sama masih menunaikan tanggungjawab sebagai suami isteri (selain daripada hubungan bersama).
Ketika tempoh iddah, kemungkinan untuk rujuk semula boleh berlaku jika kedua-dua pihak melalui fasa muhasabah dan juga persoalkan kembali keputusan yang diambil.
Apakah kesimpulannya?
Bagi mereka yang merasakan ADA tanda-tanda rumah tangga tak bahagia, penting untuk tidak menunggu sehingga mencapai titik perpisahan.
Jika anda merasa perkahwinan anda sedang bergerak ke arah penceraian, dapatkan bantuan profesional dengan segera atau hubungi MySakinah untuk mendapatkan sokongan dan ilmu yang anda perlukan.
Gunakan wang, masa, dan tenaga yang anda ada sekarang dengan sebaiknya, dengan mendapatkan bimbingan ilmu yang tepat dan berkesan supaya segala usaha yang dilakukan tidak menjadi sia-sia.
Jangan ragu-ragu untuk mencari bantuan apabila anda merasa perlu. Tiada siapa yang perlu melalui cabaran perkahwinan ini secara sendirian. MySakinah ada untuk membantu anda.