Tanda suami tak sayang isteri? Para isteri jangan cepat buat kesimpulan menuduh sang suami tidak lagi sayang tau. Kebanyakan suami tak pandai nak tunjuk rasa sayang, lagi-lagi setelah bersama dalam jangka waktu yang lama. Isteri-isteri juga perlu faham kadangkala tak sayang bukan bermaksud benci tetapi sebenarnya kasih sayang yang semakin pudar.
Naik turun rasa cinta dalam rumah tangga
Rasa cinta dan sayang ni sebenarnya tidak pernah kekal dan sekata sahaja. Ianya sering turun naik mengikut situasi dan emosi pada ketika itu. Rasa cinta jika tidak semakin bertambah, ianya akan semakin berkurang. Sebab itu pentingnya kedua-dua individu, suami dan isteri, untuk memainkan peranan dalam membangkitkan rasa cinta dalam perkahwinan.
Rasa cinta dan sayang ini terletak didalam hati dan kita sedia maklum hati kita sering berbolak balik. Sedangkan iman pon boleh turun naik, inikan pula rasa cinta dan sayang, kan? Allah maha berkuasa untuk menyemai rasa cinta dan sayang didalam hati kita namun tugas kita untuk memastikan perasaan itu sentiasa mekar di hati kita.
Kalau anda sedang membaca artikel ini, ini bermakna anda sedang merasakan bahawa suami anda tidak lagi menyayangi anda, maksudnya rasa tarikan dalam perkahwinan anda makin berkurang bukan lah benci sebenarnya dan masih lagi boleh diselamatkan.
Setiap perkahwinan mempunyai tarikan yang tersendiri. Tarikan dalam perkahwinan sangat penting kerana dengan adanya tarikan dalam perkahwinan boleh menjadi benteng yang kuat untuk sesebuah perkahwinan itu mengharungi badai yang melanda perkahwinan mereka. namun sekiranya tarikan dalam sesebuah perkahwinan itu tidak cukup kuat, perkahwinan tersebut akan mudah goyah dan rapuh.
Tanda – tanda suami “tidak sayang” isteri lagi
1. Suami anda tidak lagi berasa bahagia atau tenang ketika anda disampingnya
Isteri sepatutnya menjadi tempat paling tenang bagi seorang suami. Hal ini kerana berada di samping orang yang tersayang adalah saat yang paling bahagia dan tenang. Namun sekiranya suami anda mula rasa tidak tenang ketika anda bersama mereka, kemungkinan besar ianya tanda suami dah tak sayang anda.
“ Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (rujukan: (koleksihadisnabi.blogspot.com/2011/03/mencintai-isteri.html)
Surah Ar-Ruum [30] : 21
2. Suami anda tidak lagi selesa untuk berkongsi cerita dengan anda
Sekiranya selama ini suami anda sentiasa berkongsi cerita dengan anda, hal pejabat, hal kawan-kawan dan lain-lain, tetapi tiba-tiba tiada lagi perkongsian cerita dari suami anda kepada anda. Ini juga tanda-tanda suami dah tak sayangkan isteri. Hal ini berkait rapat dengan point diatas, suami tidak lagi berasa tenang apabila berada di samping anda, oleh itu hendak berkongsi cerita pon suami tidak mahu.
Cerita berkaitan anak-anak juga suami sudah tidak teruja untuk bercerita dengan anda. Suami hanya berkomunikasi sekadar perlu sahaja. Nampak seperti lebih kepada menunaikan tanggungjawab berbanding rasa cinta.
Hati-hati ya para isteri ini adalah tanda-tanda rasa tarikan makin berkurangan.
3. Suami tidak lagi mempunyai dorongan seksual terhadap anda
Cuba semak kembali kekerapan anda dan suami menjalani hubungan intim? adakah semakin berkurang? Jika ya, anda kena cari puncanya. Adakah kerana suami sibuk dan penat? Adakah kerana anda tidak mahu? Atau adakah anda mahu tetapi suami mengelak? Sekiranya suami mula untuk mengelak, besar kemungkinan perasaan cinta dan sayang suami terhadap anda semakin pudar.
Sebagai isteri, anda perlu segera menambat semula hati suami dan menyemarakkan semula rasa cinta suami terhadap anda.
4. Suami lebih gemar melakukan aktiviti yang lain bersendirian
Adakah suami anda kini gemar melakukan aktiviti bersendirian? contohnya, makan bersendirian, beriadah bersendirian, minum kopi bersendirian atau menonton televisyen bersendirian? Lebih ketara sekiranya sebelum ini suami pasti minta anda untuk menemani mereka, tiba-tiba kini semuanya suami lakukan bersendirian. Adakah ini tanda suami dah tak sayang isteri?
Lebih parah lagi jika suami lebih kerap membuat aktiviti di luar rumah bersama kawan-kawan berbanding meluangkan masa bersama anda dan anak-anak. Setiap hujung minggu yang biasanya suami luangkan untuk anda dan anak-anak sudah bertukar kepada aktiviti bersama rakan-rakan. Apabila suami tidak lagi betah di rumah, ini mungkin tanda suami sudah tidak lagi tertarik untuk membuat sesuatu dengan anda.
5. Suami rasa serabut ketika berada di rumah
Suami anda mula rasa serabut ketika berada di rumah? Rasa serabut lebih menjurus kepada rasa rimas dan mula diekspresikan melalui perkataan atau perbuatan seperti suami mula marah-marah ketika berada di rumah, atau suami mula pertikaikan semua benda di dalam rumah seperti anak bising, rumah bersepah dan lain-lain.
Ini menunjukkan suami mula berasa serabut ketika di rumah dan ini boleh menjadi tanda sayang suami kepada semakin berkurang.
6. Suami anda tidak lagi mengambil berat mengenai anda
Adakah suami anda kini bukan lagi seperti suami anda yang dahulu? Yang sering mengambil berat dan bertanya khabar? Yang sering ingin tahu tentang aktiviti seharian anda dan sering meluangkan masa dengan anda? Jika suami anda tidak lagi bertanya khabar dan aktiviti anda serta tidak ambil peduli tentang anda, anda perlu berhati-hati. Ini juga tanda ikatan anda dan suami semakin renggang.
7. Tiada lagi kehangatan dalam hubungan anda dan suami
Antara perkara yang mewarnai sesebuah rumahtangga adalah senda gurau dan sentuhan fizikal. 2 perkara ini sangat penting dalam sesebuah perhubungan bagi memastikan perhubungan tersebut kekal hangat.
Sentuhan fizikal yang saya maksudkan adalah pelukan, berpegangan tangan atau sekadar meletakkan tangan pada paha suami ketika berbual. Apa-apa sentuhan fizikal antara suami isteri mampu untuk mengekalkan kehangatan sesebuah perhubungan itu.
Namun jika anda rasa sudah lama tidak melakukan sentuhan fizikal apatah lagi gurau senda, hubungan anda mungkin ada masalah. Kemungkinan besar rasa sayang semakin pudar dalam perkahwinan anda.
8. Suami tak lagi hormat kepada anda dan marah marah
Adakah suami anda yang dahulunya sangat berhemah apabila berbicara dengan anda kini sudah mula marah-marah? Suami anda tidak lagi ada rasa hormat kepada anda malah memperlakukan anda tidak seperti seorang isteri? Suami anda melayan anda tidak lebih seperti seorang pembantu rumah? Atau suami tidak lagi meminta pendapat anda untuk membuat keputusan?
Suami yang menghormati isterinya akan mendahulukan isteri dalam setiap keputusan yang ingin di buat. Jika suami anda menunjukkan perubahan sikap seperti ini, mungkin suami dah tak sayang isteri.
9. Suami tidak lagi memujuk apabila bergaduh
Anda dan suami sering bergaduh? Sudahlah bergaduh, suami tidak lagi memujuk anda seperti dulu-dulu. Jika dahulu pelbagai usaha suami lakukan untuk memujuk anda. Hadiahkan anda bungalah, coklatlah, belanja makan istimewa lah, tapi kini tiada lagi.
Suami buat-buat tidak tahu sahaja apabila bergaduh atau anda merajuk. Ini juga boleh jadi tanda suami tak sayang isteri.
10.Rasa tidak dihargai
Seorang isteri punyai naluri yang kuat kurniaan dari Allah. Sekiranya anda semakin kerap rasa diri tak dihargai, kemungkinan besar rasa kasih dan sayang suami anda semakin pudar. Seorang isteri akan merasakan dirinya tidak dihargai hasil dari perbuatan dan tindak balas suami itu sendiri.
Sekiranya dahulu, suami sering mengucapkan terima kasih dan memuji isteri dan kini tiada lagi pujian dan ucapan terima kasih, boleh jadi anda mungkin merasai perbezaannya dan rasa tidak dihargai.
Hasil dari perubahan sikap suami itu sendiri membuatkan si isteri terasa tak dihargai. Semakin kerap anda rasa tak dihargai smakin kuat tanda suami anda dah tak sayang isteri.
Apa yang perlu anda lakukan?
Sekiranya anda mendapati ada tanda-tanda diatas yang menunjukkan suami sudah tidak sayang anda, masih belum terlambat untuk membuat perubahan dan menghangatkan kembali perasaan anda dan suami.
Menjadi tanggungjawab sebagai isteri untuk berusaha mengembalikan semula perasaan cinta yang sudah pudar.
Anda masih lagi boleh memperbaiki perkahwinan dan pikat semula hati suami.
Jika anda rasa buntu, serabut dan tak tahu apa nak buat, anda boleh:
- Tenangkan diri dan berdoa agar Allah menambahkan rasa cinta dan melembutkan hati anda dan suami.
- Dapatkan khidmat nasihat dari orang ketiga yang profesional dan dipercayai seperti kaunseling.MySakinah bersedia membantu anda.
Di tulis oleh: Nor Azqa Norazmi