Menetapkan Cara Berfikir Yang Sihat Dalam Perkahwinan

Share

Fikiran sihat mempengaruhi tingkahlaku. Perbaiki rumah tangga dengan ubah mindset

Sabda Rasulullah s.a.w di atas jelas menyebut fikiran atau anggapan memang mempengaruhi perilaku kita. Berfikiran yang positif ini juga adalah berfikir secara sihat dan yang baik-baik sahaja. Dalam kehidupan umumnya dan perkahwinan khususnya, menetapkan cara berfikir yang sihat akan membawa perkahwinan ke tahap yang jauh lebih baik.

Menurut Latha Girish, ahli psikologi dari Westminset Healthcare di Chennai ada menyebut, fikiran membentuk kepercayaan. Keyakinan terbentuk dari pengalaman serta kenangan seumur hidup. Maka anggaplah bahawa sesuatu yang boleh dipercaya inilah yang kemudiaannya mempengaruhi tindakan kita.

1. Bersyukur

Syukur ini tanda kita menghargai apa sahaja yang hadir dalam hidup kita. Bila bahagia, bersyukur Allah beri nikmat. Namun, jika diuji, bersyukur juga Allah pilih kita untuk mendengar rintihannya dan untuk menjadikan kita lebih kuat. Syukur juga akan buatkan kita menerima diri dan pasangan seadanya. Tiada lagi perbandingan pasangan siapa paling kaya, paling baik, paling romantik dan sebagainya.

Jadi, rajin-rajinlah kita merenung kembali nikmat Allah yang kita kecapai selama ini agar hadir rasa syukur di hati.

2. Berfikir secara rasional dan terbuka

Manakala rasional itu menjadikan kita berfikir dahulu sebelum bertindak. Jangan kerana marahkan anak, ditengkingnya isteri dan sebaliknya. Sebaiknya, bertindaklah rasional dalam setiap tindakan terutama pada yang tersayang.

3. Tidak membesarkan perkara kecil

Setiap orang punya kelemahan tersendiri. Jika kelemahan itu terlalu kecil dan tidak memberi kesan pada kehidupan seharian, abaikan sahaja. Namun jika perkara itu sedikit sebanyak memberi kesan yang tidak baik dalam kehidupan, maka carilah penyelesaian.

Namun, ada perkara kecil yang kita rasa tak selesa tapi dipendam hingga boleh menjadi barah. Sebagai contoh, pasangan tidur berdengkur. Mungkin pasangan pun tidak tahu dia tidur berdengkur hingga menganggu tidur orang lain. Perkara itu boleh dibincang bersama dan cari penyelesaian menerusi perubatan. Begitulah.

4. Bertenang dan tidak terus membuat kesimpulan

Begitu juga ketika kita sedang dalam tekanan, ambil masa dan carilah penyelesaian. Ketenangan ini boleh dicapai jika kita keluar dari keadaan itu. Sebagai contoh, andai sedang marahkan isteri untuk sesuatu kesalahan, tarik nafas dan mungkin keluar ke balkoni sebentar. Duduk di situ dan berfikir sejenak sebelum mengeluarkan perkataan atau tindakan yang mungkin boleh menghancurkan kebahagiaan seumur hidup.

5. Fokuskan kepada perkara yang boleh dikawal

Jangan terlalu banyak bercerita tentang orang lain yang mana mungkin kita boleh mengawal dirinya. Tapi fokuslah pada ‘circle’ dalam kawalan kita. Seperti contoh diri sendiri, isteri, anak-anak dan keluarga sahaja.

Jika ada seseorang yang ingin menghancurkan hubungan suami isteri dengan bercakap buruk tentang pasangan, elakkan dari berjumpa dengannya. Elakkan mendengar kata-katanya dan elakkan kita dipengaruhi olehnya. Mungkin sudah ditegur, dia tidak juga berubah. Maka kitalah yang perlu menjarakkan diri darinya kerana kita mampu mengawal diri sendiri.

6. Hormat batasan dan hak pasangan

Setiap orang wajib dihormati. Tidak kira di peringkat mana kehidupan dia, tapi kehormatan itu adalah haknya. Apatah lagi pasangan kita, mereka juga ada hak yang perlu dihormati. Dengan masing-masing tahu meletakkan nilai dalam perhubungan, dengan itu hubungan akan menjadi lebih baik dan indah.

Bila hubungan itu menjadi jernih dan indah, maka pemikiran yang sihat juga akan mula berkembang.

7. Jangan terus membuat andaian

Fikiran yang sihat adalah fikiran yang waras. Waras bermaksud kita berfikir dalam keadaan sedar atau dalam kawalan. Jadi elakkan dari membuat andaian sendiri tanpa ada bukti yang kukuh.

Ada suami yang kurang ucapkan ‘I Love You’ maka dianggap sudah tiada lagi rasa sayang pada si isteri. Walhal mungkin karakter suaminya begitu walaupun sayang masih menggunung.

Jadi, dari asyik membuat andaian sendiri, baik beritahu suami agar sikapnya ditambahbaik demi kebahagiaan isteri..

Dalam kehidupan, tak semua yang disukai adalah yang terbaik buat kita dan begitulah sebaliknya. Jadi belajarlah menerima pasangan seadanya kerana itulah jodoh yang dikirim Tuhan. Fikirlah yang baik-baik tentangnya dan sayangilah rumahtangga itu dengan seikhlasnya.

Pokok pangkalnya, bersyukur. Kerana syukur itu kunci utama dalam membina fikiran yang sihat hingga mempengaruhi tindakan.

Jadi, jom kita renungi sekejap lirik lagu patriotik yang sering berkumandang di acara kemuncak sukan negara kita kerana dalam lirik itu sangat menekankan cara kita berfikir mempengaruhi tindakan kita.

Jika kau fikirkan kau boleh

Kau hampir boleh melakukan

Jika kau fikirkan ragu-ragu

Usahamu tidak menentu

Jika kau fikirkan kekalahan

Kau hampiri kegagalan

Jika kau fikirkan kemenangan

Kau hampiri kejayaan

Engkaulah apa kau fikirkan

Terkandung dalam pemikiran

Kau fikir boleh melakukan

Fikirkan boleh

Percaya apa kau lakukan

Tabah apa kau usahakan

Bertindak atas kemampuan

Engkau boleh

Ditulis oleh: Noni Wahab

Anda juga mungkin berminat